Pertubuhan kemanusiaan serantau yang berpangkalan di Singapura, Humanity Matters (HM), telah mengerahkan pasukan bantuan ke wilayah Sarangani di Filipina yang dilanda gempa bumi, untuk bekerjasama dengan alumni program HM dan rakan tempatannya di negara itu.

Usaha ini menyusuli gempa bumi bermagnitud 7.8 yang telah menjejas kehidupan ribuan penduduk di rantau berkenaan.

Berkongsi perkembangan terkini dari Sarangani, penasihat khas HM, Encik Hassan Ahmad, berkata kawasan kemusnahan adalah meluas.

“Keadaan ini menjadi cabaran operasi yang besar bagi petugas penyelamat dan bantuan, memandangkan jarak yang amat jauh antara kawasan yang terjejas.

Tambahnya, keadaan diburukkan lagi dengan hujan lebat yang berterusan serta gegaran daripada gempa susulan, yang berisiko mencetuskan tanah runtuh dan mendatangkan bahaya kepada petugas yang menyampaikan bantuan di lapangan,” katanya.

Tambahnya, gempa bumi itu telah mengakibatkan kerosakan teruk pada banyak jalan raya dan jambatan dan pemerintah tempatan kini memberikan keutamaan kepada kerja memperbaiki prasarana berkenaan untuk memudahkan laluan bantuan kepada masyarakat yang terjejas.

Langkah itu juga diambil bagi meningkatkan penyelarasan serta penyampaian bantuan di lapangan.

Lebih 500,000 penduduk dilaporkan terjejas akibat bencana tersebut, dengan 65,000 daripada mereka terpaksa dipindahkan.

Kira-kira 10,000 orang kini ditempatkan di pusat pemindahan manakala sebahagian besar mangsa yang lain tinggal di tempat perlindungan sementara di luar rumah mereka atau menumpang di rumah saudara-mara yang berdekatan.

Sebaik tiba di Sarangani, pasukan HM telah bertemu dengan Speaker Dewan Perwakilan Filipina, Encik Faustino ‘Bogie’ Dy III, yang sedang mengadakan lawatan ke kawasan berkenaan.

Pasukan HM kemudiannya menyertai sesi taklimat situasi semasa yang dikendalikan oleh Pejabat Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Wilayah Sarangani (PDRRMO).

Menyusuli taklimat itu, mereka menjalankan penilaian lapangan bersama di kawasan yang terjejas termasuk di Malapatan dan Alabel.

Menurut Encik Hassan, hasil penilaian awal mendapati bahawa makanan yang sudah siap dimasak merupakan keperluan utama, khususnya semasa fasa kecemasan ini, memandangkan ramai penduduk yang terpaksa dipindahkan takut untuk pulang ke rumah masing-masing.

Selain itu, kekurangan kemudahan tandas di pusat pemindahan dilaporkan berada pada tahap kritikal, dengan ada dalam kalangan mangsa yang terpaksa membuang air besar di kawasan terbuka akibat terdesak.