Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Thailand tuduh Kemboja langgar gencatan senjata

Jul 29, 2025 | 10:22 AM
Orang ramai menerima makanan di sebuah pusat perlindungan untuk mangsa pemindahan berhampiran sempadan Kemboja-Thailand di wilayah Oddar Meanchey, barat laut Kemboja, pada 28 Julai 2025. Perdana Menteri Malaysia pada hari yang sama mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata “serta-merta dan tanpa syarat” susulan rundingan damai di Putrajaya
Orang ramai menerima makanan di sebuah pusat perlindungan untuk mangsa pemindahan berhampiran sempadan Kemboja-Thailand di wilayah Oddar Meanchey, barat laut Kemboja, pada 28 Julai 2025. Perdana Menteri Malaysia pada hari yang sama mengumumkan bahawa Thailand dan Kemboja telah bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata “serta-merta dan tanpa syarat” susulan rundingan damai di Putrajaya - Foto EPA

BANGKOK: Tentera Thailand mendakwa Kemboja telah melanggar perjanjian gencatan senjata yang baru dimeterai antara kedua-dua negara, apabila pertempuran dilaporkan masih berterusan di kawasan sempadan hutan yang menjadi pertikaian.

Jurucakap tentera Thailand, Mejar Jeneral Winthai Suwaree, dalam satu kenyataan rasmi berkata: “Ketika perjanjian itu mula berkuat kuasa, pihak Thailand mengesan bahawa tentera Kemboja telah melancarkan serangan bersenjata ke beberapa kawasan dalam wilayah Thai. Ini adalah satu pelanggaran yang disengajakan terhadap perjanjian dan jelas cuba menggugat kepercayaan bersama.”

Beliau menegaskan bahawa Thailand “terpaksa bertindak balas secara wajar dengan menggunakan hak sah untuk mempertahankan diri.”

Gencatan senjata tanpa syarat itu telah diumumkan pada 28 Julai hasil rundingan damai di Putrajaya, Malaysia, dan dijadualkan berkuat kuasa tepat tengah malam pada 29 Julai bagi menamatkan konflik berdarah selama lima hari yang melibatkan perebutan beberapa kawasan kuil purba di sepanjang sempadan sepanjang 800km antara kedua-dua negara.

Di bandar Samraong, Kemboja kira-kira 20 kilometer (km) dari sempadan, seorang wartawan AFP melaporkan bahawa bunyi letupan meriam masih kedengaran sepanjang hari pada 28 Julai, namun ia mulai senyap 30 minit sebelum tengah malam, dan keadaan tenang itu berterusan selama setengah jam selepasnya.

Gabenor wilayah Preah Vihear, Encik Kim Rithy, turut memaklumkan menerusi Facebook bahawa kawasan tersebut yang merupakan antara lokasi paling terjejas akibat pertempuran – masih dalam keadaan aman 20 minit selepas waktu gencatan ditetapkan.

Sejak pertempuran bermula pada 24 Julai, sekurang-kurangnya 38 orang dilaporkan terbunuh akibat serangan jet pejuang, roket dan artileri, manakala hampir 300,000 penduduk telah dipindahkan. Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, turut campur tangan pada hujung minggu lalu bagi meredakan ketegangan yang dikatakan sebagai paling buruk sejak konflik tahun 2008 hingga 2011.

Perjanjian damai ini menetapkan supaya komander tentera kedua-dua negara mengadakan mesyuarat pada pagi 29 Julai, manakala jawatankuasa lintas sempadan dijangka bertemu di Kemboja pada 4 Ogos untuk menyambung usaha meredakan ketegangan.

“Saya sangat gembira apabila mendengar berita ini kerana saya amat merindui rumah dan barang-barang yang saya tinggalkan,” kata Phean Neth, 45 tahun, seorang pelarian Kemboja yang kini berlindung di tapak kuil jauh dari kawasan pertempuran.
“Saya terlalu gembira sampai tak dapat nak gambarkan,” katanya lagi dengan penuh harapan.

Dalam kenyataan bersama oleh Thailand, Kemboja dan Malaysia negara tuan rumah rundingan gencatan senjata itu disifatkan sebagai “langkah pertama yang penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan dan keselamatan.”

Jurucakap Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, menyeru kedua-dua negara supaya “mematuhi sepenuhnya perjanjian itu dan mewujudkan suasana yang sesuai untuk menyelesaikan isu-isu lama serta mencapai keamanan berkekalan.”

Amerika Syarikat, yang kini menjadi tumpuan usaha diplomatik Thailand dan Kemboja bagi mendapatkan perjanjian perdagangan dan mengelakkan tarif tinggi daripada pentadbiran Trump, turut memainkan peranan aktif dalam rundingan damai. Jabatan Negara Amerika mengesahkan bahawa wakilnya berada “di lapangan” untuk menyokong proses perdamaian.

China juga dilaporkan menyertai secara aktif dalam rundingan tersebut yang diketuai oleh Perdana Menteri Malaysia merangkap Pengerusi Asean, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Perdana Menteri Kemboja, Encik Hun Manet, mengucapkan terima kasih kepada Encik Trump atas “sokongan tegasnya”, manakala Pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, menegaskan bahawa perjanjian itu perlu “dilaksanakan dengan niat baik oleh kedua-dua pihak.”

“Kalau mereka kata nak berhenti menembak, mereka mesti berhenti sepenuhnya,” kata Encik Prapakarn Samruamjit, 43 tahun, seorang pelarian Thai di bandar Surin.

Pada hari yang sama dengan pengumuman gencatan senjata, Raja Thailand, Raja Maha Vajiralongkorn, menyambut ulang tahun kelahiran ke-73. Namun, satu kenyataan dalam Warta Diraja menyebut bahawa semua sambutan awam di Istana Diraja Bangkok dibatalkan kerana konflik yang sedang berlaku.

Walaupun sebelum ini kedua-dua pihak telah bersetuju secara prinsip untuk menamatkan pertempuran, masing-masing terus menuduh satu sama lain menggagalkan usaha damai, termasuk dakwaan penggunaan bom kelompok dan serangan terhadap hospital.

Thailand mendakwa 11 tentera dan 14 orang awamnya telah terkorban, manakala Kemboja mengesahkan lapan kematian orang awam dan lima anggota tenteranya. Seramai 138,000 penduduk Thai dan 140,000 warga Kemboja telah dipindahkan dari kawasan sempadan masing-masing.

Konflik ini berpunca daripada pertikaian wilayah yang berakar umbi sejak zaman pentadbiran kolonial Perancis di Kemboja pada tahun 1907, dan terus menjadi duri dalam hubungan dua hala hingga ke hari ini. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg