VIENNA: Agensi pengawas nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah menemui kesan uranium di Syria dalam siasatannya terhadap sebuah bangunan yang dimusnahkan Israel pada 2007 dan lama dipercayai oleh agensi tersebut sebagai reaktor nuklear yang tidak diisytiharkan.
Demikian menurut laporan pada 1 September.
Pemerintah Syria yang kini telah digulingkan, di bawah pimpinan Encik Bashar al-Assad, mendakwa tapak Deir al-Zor, termasuk bangunan tersebut adalah pangkalan tentera biasa.
Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada 2011 membuat kesimpulan bangunan itu “kemungkinan besar” merupakan reaktor yang dibina secara rahsia dan sepatutnya diisytiharkan oleh Damsyik kepada agensi tersebut.
Sejak itu, agensi tersebut cuba membuat kesimpulan muktamad.
Menurut laporan sulit, mereka berjaya mengambil sampel persekitaran di tiga lokasi rahsia yang dikatakan ada kaitan dengan Deir al-Zor pada 2024.
Agensi tersebut menemui “bilangan partikel uranium semula jadi yang ketara dalam sampel yang diambil di salah sebuah daripada tiga lokasi tersebut.
“Analisis partikel itu menunjukkan uranium tersebut berasal daripada sumber antropogenik atau ‘buatan manusia’, iaitu dihasilkan hasil daripada proses kimia,” kata laporan itu.
Istilah ‘semula jadi’ menunjukkan uranium itu tidak diperkaya.
Laporan itu tidak membuat kesimpulan mengenai kesan uranium yang ditemui.
“Pihak berkuasa Syria kini menyatakan mereka tidak mempunyai maklumat yang boleh menerangkan kehadiran partikel uranium tersebut,” jelas laporan itu.
Ia menambah bahawa pemerintah telah membenarkan IAEA kembali mengakses tapak tersebut pada Jun 2025 untuk mengambil lebih banyak contoh dari persekitaran.
Dalam pertemuan pada Jun antara Ketua IAEA, Encik Rafael Grossi, dengan Presiden Syria, Encik Ahmed al-Sharaa, “Syria bersetuju untuk bekerjasama dengan Agensi, melalui ketelusan penuh, bagi menangani kegiatan nuklear masa lalu Syria,” tambah laporan itu.
Dalam pertemuan tersebut, Encik Grossi meminta bantuan Syria untuk kembali ke Deir al-Zor dalam “beberapa bulan akan datang bagi menjalankan analisis lanjut, mengakses dokumentasi berkaitan dan berbincang dengan mereka yang terlibat dalam kegiatan nuklear masa lalu Syria”.
Laporan itu menyatakan IAEA masih merancang untuk melawat Deir al-Zor dan akan menilai keputusan contoh persekitaran yang diambil di tapak lain.
“Sebaik sahaja proses ini selesai dan keputusan dinilai, akan ada peluang untuk menjelaskan dan menyelesaikan isu keselamatan tertonggak berkaitan kegiatan nuklear masa lalu Syria serta menamatkan perkara ini,” katanya. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg