MAKKAH: Daripada sistem yang membuat sekitaran berkabus kepada bahan penurap jalan raya yang memantulkan haba, pegawai Arab Saudi cuba membantu jemaah haji dalam menghadapi cuaca panas, tetapi saintis mengingatkan perubahan iklim mungkin mengatasi usaha itu.
Ibadah haji, antara perhimpunan keagamaan terbesar di dunia, pada 2024 sekali lagi bertepatan dengan musim panas di Arab Saudi, dengan pegawai meramalkan suhu purata tertinggi mencecah 44 darjah Celsius.
Malah, Kementerian Kesihatan Arab Saudi memberi amaran suhu permukaan di beberapa kawasan berbukit di tanah suci boleh mencecah hingga 72 darjah Celsius.
Oleh itu, kementerian tersebut mengingatkan jemaah haji supaya berwaspada mengenai bahaya pendedahan kepada suhu tinggi itu.
Ia memberi amaran kepada jemaah haji bahawa pendedahan kepada cahaya matahari bagi jangka masa panjang boleh menimbulkan risiko besar ke atas kesihatan.
Mengerjakan ibadah haji dalam keadaan suhu tinggi di Makkah boleh menjadi kesukaran terbesar yang dihadapi jemaah.
Berkunjung ke Makkah dari Chicago, di Amerika Syarikat, seorang anggota jemaah haji, Encik Shariq Memon, telah bersedia untuk menghadapi cuaca terburuk, walaupun beliau memberitahu AFP keadaan terurus setakat ini.
“Kami diberitahu ia akan menjadi sangat panas,” katanya, 44 tahun, ketika ditemui semasa meninggalkan Masjidil Haram.
“Ia panas, tetapi entah bagaimana dengan kuasa Allah, kami tidak merasai kepanasan itu.”
Langkah mengurangkan haba yang dilaksana di tapak suci sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini mungkin juga ada kaitan dengan keadaan itu.
Berhampiran Kaabah di Masjidil Haram, ruang berhawa dingin baru membolehkan jemaah menyejukkan diri, dan laluan yang iklimnya dikawal kini menghubungkan bukit Safa dan Marwah, tempat jemaah haji melakukan sai, di dalam kawasan masjid itu.
Sejak 2023, jalan raya diturap dengan bahan penyejuk putih, yang kata pegawai Arab Saudi mengurangkan suhu asfalt sebanyak 20 peratus.
Selain itu, sukarelawan mengedarkan air dan payung serta menawarkan nasihat kepada jemaah haji tentang mengelakkan hipertermia – suhu badan lebih tinggi daripada normal, manakala sistem membuat sekitaran berkabus dan pusat beli-belah berhawa dingin memberikan kelegaan sementara semasa solat.
Namun, para pegawai tidak mempunyai banyak pilihan untuk meringankan beberapa peringkat haji, terutamanya solat pada 15 Jun semasa wuquf di Arafah bagi yang melakukannya di Bukit Arafah.
Kementerian menggesa jemaah sentiasa menggunakan payung bagi mengelak pendedahan langsung kepada matahari, dan minum cukup air sepanjang hari, walaupun tidak berasa dahaga.
Ia juga menggesa jemaah supaya mematuhi semua arahan dan nasihat kesihatan, dan mengelakkan keluar dan terdedah terus kepada sinaran matahari pada waktu puncak kepanasan dari 11 pagi hingga 3 petang. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg