Sepuluh tahun selepas mendaftar, Encik Muhammad ‘Arif Azman akhirnya berdiri di tanah suci Makkah, bersedia untuk menunaikan ibadah haji pertamanya.
Walaupun cuaca panas terik, pendidik berusia 28 tahun itu berkata beliau tetap bersyukur perjalanan ibadah hajinya tidak menghadapi halangan besar setakat ini.
Ketika dihubungi, Encik ‘Arif berkata ia berjalan lancar dan beliau menghargai pelbagai kemudahan yang membantu jemaah menghadapi cuaca panas yang teruk, termasuk kawasan berteduh dan air sejuk untuk menyegarkan badan.
Cuaca di Makkah menjadi cabaran yang berbeza kerana “suhu di sana mencecah sehingga 44 darjah Celsius, jauh lebih panas dari Singapura”, kata Encik ‘Arif.
“Kami diberi air sejuk untuk memastikan diri kami kekal segar. Ia merupakan satu rahmat,” tambah beliau.
Dikurniakan rezeki dan kesempatan sekali seumur hidup ini, Encik ‘Arif tidak membiarkan panas terik menggugat semangatnya.
“Walaupun panas terik, ia adalah hari yang cerah dan Allah swt selalu memerhati dan menjaga kami,” kongsi beliau, yang menunaikan ibadah haji bersama ayahnya, Encik Azman Asisi, 63 tahun.
Sambil merenung dua hari pertamanya di Makkah, beliau menggambarkan pengalaman di tanah suci “seolah-olah seperti mimpi” dan “perasaan itu sangat menggembirakan”.
“Ia adalah salah satu pengalaman terbaik yang pernah saya alami. Saya masih menanti untuk melengkapkan ibadah haji saya,” kongsi beliau, yang mengambil pakej Barakah B daripada Jalaluddin Travel and Services Pte Ltd.
Encik ‘Arif, yang telah melakukan tawaf dan sai, meluahkan rasa syukur tidak mengalami sebarang masalah besar setakat ini dari segi kesihatan.
“Alhamdulillah, saya berasa sihat. Sokongan perubatan di sini juga sangat baik, sangat mudah untuk jemaah mendapatkannya,” tambah beliau, sambil memberikan penilaian sembilan per sepuluh bagi perkhidmatan penjagaan perubatan yang disediakan.
“Kakitangan perubatan juga mencukupi, masya-Allah. Semuanya berjalan lancar.”
Menurut Encik ‘Arif lagi, bilangan jemaah di Makkah agak ramai tetapi beliau “lebih fokus pada ibadah daripada orang ramai” di sekeliling.
Dari segi tempat penginapan pula, Encik ‘Arif dan ayahnya mendapat tapak perkhemahan yang baik.
“Kami sangat bertuah tahun ini. Tapak khemah penginapan yang kami dapat baik dan selesa,” ujarnya.
Encik ‘Arif menzahirkan bahawa ini adalah “kali pertama (beliau) menunaikan ibadah haji dan umrah”.
“Saya dilanda pelbagai perasaan, tetapi alhamdulillah, saya berjaya menyelaraskan niat dan fokus pada ibadah saya,” katanya.
Encik ‘Arif dan ayahnya berangkat pada 9 Jun. Mereka adalah antara 900 anggota jemaah Singapura yang menunaikan ibadah haji tahun ini.
“
“Alhamdulillah, saya berasa sihat. Sokongan perubatan di sini juga sangat baik, sangat mudah untuk jemaah mendapatkannya... Saya dilanda pelbagai perasaan, tetapi alhamdulillah, saya berjaya menyelaraskan niat dan fokus pada ibadah saya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg