RIYADH: Arab Saudi mengumumkan pada 27 Mei bahawa ibadah haji tahunan umat Islam di Makkah akan bermula pada 4 Jun selepas pemerhati astronomi melihat anak bulan.
Tarikh itu diumumkan oleh mahkamah agung dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh agensi media rasmi Saudi, SPA.
Dalam sidang media pada 26 Jun, Menteri Haji Arab Saudi, Encik Tawfiq al-Rabiah, berkata setakat ini lebih sejuta jemaah haji dari serata dunia sudah tiba di negaranya.
Pada 2024, 1.8 juta umat Islam mengerjakan ibadah haji, menurut perangkaan rasmi Arab Saudi.
Dari sejumlah 1,003,447 anggota jemaah haji yang tiba, 53 peratus ialah lelaki, manakala baki 47 peratus wanita, lapor portal berita Saudi Gazette.
Ibadah haji merupakan salah satu daripada lima rukun Islam yang wajib dilaksanakan oleh umat Islam sekurang-kurangnya sekali bagi yang mampu.
Tarikh melakukan ibadah itu diputuskan berdasarkan kalendar Islam, bermakna ia berubah setiap tahun.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ia dilaksanakan semasa bulan musim panas yang terik di Arab Saudi.
Pada 2024, suhu memuncak pada 51.8 Celsius dan lebih 1,300 orang dilaporkan meninggal dunia akibat panahan matahari yang sangat terik pada Jun, menurut pihak berkuasa.
Jemaah akan menyertai ibadah dengan kemuncaknya berwuquf di Arafah, tempat Nabi Muhammad saw menyampaikan khutbah terakhir.
Ibadah tersebut akan berlangsung pada 5 Jun, manakala Aidiladha disambut pada hari berikutnya.
Dalam pada itu, Arab Saudi menyatakan kesediaan penuhnya untuk memberikan khidmat terbaik bagi jemaah.
Ini termasuk menyediakan sistem digital termaju merentas sektor bagi memastikan pengalaman yang selamat dan lancar bagi para jemaah.
Dalam sidang media bersama pada 26 Mei, Menteri Haji dan Umrah, Kesihatan, Pengangkutan dan Penerangan menggariskan pelan strategik dan operasi untuk musim haji sejajar dengan matlamat Wawasan 2030 untuk kecemerlangan perkhidmatan.
Encik Al-Rabiah berkata, lebih 1.4 juta kad pintar Nusuk telah dikeluarkan dan lebih 30 perkhidmatan digital baru dilancarkan menerusi aplikasi Nusuk 2025.
Platform digital menyokong keseluruhan perjalanan jemaah, dari ketibaan hingga pelepasan, termasuk permit, pergerakan, bimbingan dan platform maklumat yang dikemas kini.
Menteri Kesihatan Encik Fahad Al-Jalajel berkata bahawa lebih 50,000 perkhidmatan penjagaan kesihatan telah diberikan, dengan tiada kes wabak dikesan setakat ini.
Menteri Pengangkutan Saleh Al-Jasser menyakan pihaknya akan menggunakan dron untuk memantau pergerakan jemaah dan jalan raya dilengkapkan dengan alat pengesan yang dapat mengurangkan haba sehingga 12 darjah Celsius. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg