Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Robot AI bantu lancarkan ibadah haji jemaah

May 22, 2025 | 11:26 AM
Haji, Robot, AI, Makkah
Seorang jemaah di Masjidil Haram di Makkah berinteraksi dengan Robot Manarat Al-Haramain yang versi keduanya digerakkan dengan kuasa kecerdasan buatan (AI). - Foto TANGKAP LAYAR SAUDI PRESS AGENCY

MAKKAH: Dengan persiapan ibadah haji yang sedang giat dijalankan di Arab Saudi, para jemaah yang memerlukan bantuan kini berpeluang mendapatkan khidmat pembantu berteknologi tinggi yang menggabungkan tradisi Islam dengan kemajuan terkini dalam kecerdasan buatan (AI).

Presidensi Hal Ehwal Agama di Masjidil Haram dan Masjid Nabawi melancarkan versi kedua Robot Manarat Al-Haramain yang telah dikemas kini dengan kuasa AI pada 21 Mei.

Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif bagi memanfaatkan kuasa teknologi canggih untuk meningkatkan pengalaman rohani jemaah haji daripada saentero dunia.

Presidensi tersebut berkata robot itu akan bertindak sebagai titik rujukan untuk pertanyaan mengenai ibadah dan ehwal agama di Masjidil Haram.

Robot tersebut juga boleh menghubungkan jemaah untuk membuat panggilan video dengan mufti-mufti yang sedia menjawab sebarang soalan yang mereka kemukakan, lapor Agensi Media Saudi.

Versi robot dan perisian yang dikemas kini itu menampilkan reka bentuk yang diilhamkan oleh motif dan seni bina Islam tradisional yang terdapat di dua masjid suci di Makkah dan Madinah.

Ia menggabungkan keaslian, kemodenan dan teknologi canggih untuk menyediakan akses mudah kepada maklumat, kata presidensi itu lagi.

Ibadah haji diwajibkan ke atas setiap Muslim sekurang-kurangnya sekali dalam hidupnya, jika mampu dari segi fizikal dan kewangan.

Musim haji 2025 dijangka bermula pada 4 Jun dan berakhir pada 9 Jun.

Namun, jemaah dari seluruh dunia telah mula tiba di Saudi sebagai persiapan untuk melakukan ibadah tersebut.

Dengan jangkaan kehadiran berjuta-juta anggota jemaah dari seluruh dunia, Arab Saudi terus memperkukuh kedudukannya sebagai tuan rumah ibadah haji yang cekap dan terurus, menampilkan pendekatan teknologi dan logistik moden demi memastikan ibadah suci itu dapat dilaksanakan dengan sempurna, selesa dan selamat.

Usaha itu juga merupakan sebahagian pelan pembangunan menyeluruh yang menumpukan kepada pemodenan prasarana, sistem pengangkutan serta penyediaan perkhidmatan kesihatan dan lapangan.

Pihak berkuasa juga berusaha memastikan kelancaran operasi di Mina, Arafah dan Muzdalifah. - Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg