Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Kempen vaksinasi polio mula dilaksana di Gaza

Sep 1, 2024 | 4:53 PM
Kanak-kanak di Gaza mula menerima vaksin bagi melindungi mereka daripada jangkitan polio, selepas Israel dan Hamas bersetuju mengadakan “gencatan atas tujuan kemanusiaan”. Langkah itu diambil selepas Gaza mencatatkan kes polio pertamanya dalam 25 tahun pada Ogos. 
Kanak-kanak di Gaza mula menerima vaksin bagi melindungi mereka daripada jangkitan polio, selepas Israel dan Hamas bersetuju mengadakan “gencatan atas tujuan kemanusiaan”. Langkah itu diambil selepas Gaza mencatatkan kes polio pertamanya dalam 25 tahun pada Ogos.  - Foto EPA-EFE

GAZA: Kempen vaksinasi polio mula dilaksanakan di Gaza pada 31 Ogos, menurut seorang pegawai kesihatan.

Usaha tersebut akan diperluas mulai 1 September, serentak dengan “gencatan atas tujuan kemanusiaan” yang dipersetujui Israel dan Hamas.

Langkah itu diambil selepas Gaza mencatatkan kes polio pertamanya dalam 25 tahun pada Ogos.

Pegawai kesihatan di Gaza bersama Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan pertubuhan bukan pemerintah “memulakan kempen vaksinasi polio hari ini”, kata pengarah jagaan kesihatan utama Kementerian Kesihatan Gaza, Encik Moussa Abed, kepada agensi berita AFP pada 31 Ogos.

Sejumlah kanak-kanak telah menerima dos pertama vaksinasi itu, yang memerlukan dua dos yang diberi melalui titisan ke mulut, di Hospital Nasser di bandar selatan Khan Younis.

Antara mereka ialah anak perempuan Cik Amal Shaheen yang berusia tiga tahun, yang sedang dirawat di hospital itu akibat radang paru-paru.

“Kami berada di hospital selama 17 hari... saya menghabiskan hari-hari saya bimbang tentang dia,” kata Cik Shaheen.

“Hari ini dia diberi vaksin polio untuk melindunginya, semua kanak-kanak di hospital sudah diberi vaksin,” ujar beliau.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyatakan pada 29 Ogos bahawa Israel bersetuju melaksanakan “gencatan atas tujuan kemanusiaan” selama tiga hari di Gaza, demi mempermudahkan vaksinasi.

Para pegawai sebelum ini menyatakan kempen itu dijangka bermula pada 1 September.

Menurut seorang kakitangan bantuan antarabangsa, pihak berkuasa Palestin telah mengadakan acara pelancaran pada 31 Ogos dan kempen vaksinasi itu masih dijangka bermula pada 1 September.

Cogat, badan Kementerian Pertahanan Israel yang menguruskan hal ehwal awam di wilayah Palestin berkata pada 31 Ogos bahawa vaksin akan diberi setiap hari dari 6 pagi hingga 2 petang selama tiga hari di kawasan pusat Gaza, tiga hari di selatan Gaza dan tiga hari di utara Gaza.

Kementerian Kesihatan Palestin pula mengeluarkan jadual berbeza sedikit dengan program vaksin itu berlangsung selama empat hari di setiap lokasi.

Ia telah mengenal pasti 67 pusat vaksinasi – kebanyakannya di hospital, pusat kesihatan lebih kecil dan sekolah – di kawasan pusat Gaza, 59 di kawasan selatan dan 33 di kawasan utara.

Kempen tersebut bertujuan menyediakan perlindungan kepada lebih 640,000 kanak-kanak berusia bawah 10 tahun. – AFP.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg