PERAK: Seekor anak gajah maut dalam kemalangan dengan sebuah lori pada 11 Mei ketika ia sedang menyeberangi lebuh raya bersama ibunya, menarik simpati meluas selepas video menunjukkan ibu gajah itu berada di sisi anaknya yang mati.
Video yang dirakam kenderaan yang lalu di tempat nahas dan tular dalam talian, menunjukkan ibu gajah dengan kepala menyondol sisi lori, seolah-olah ingin membebaskan anaknya yang terbujur kaku di bawah lori.
Menurut media tempatan Sinar Harian, kemalangan itu berlaku sekitar 2 pagi di Lebuh Raya Timur-Barat dan melibatkan sebuah lori pengangkut ayam.
Encik Yusoff Shariff, pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, berkata agensi itu dimaklumkan mengenai kemalangan tersebut sekitar 3.30 pagi.
“Seekor anak gajah jantan dianggarkan berusia lima tahun maut selepas dipercayai dilanggar sebuah lori ketika cuba melintas jalan.
“Kakitangan kami dikerahkan ke lokasi untuk menjalankan operasi memantau dan menangkap ibu gajah berkenaan bagi memindahkannya ke kawasan lebih selamat,” tambahnya.
Katanya, bangkai anak gajah yang mati itu telah dikeluarkan dan akan ditanam.
Menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN), gajah Asia diklasifikasikan sebagai haiwan terancam.
Beberapa sebab penurunan bilangannya ialah pemburuan haram, kehilangan habitat dan konflik manusia dengan gajah.
Akhbar harian Malaysia The Star memetik ketua polis daerah Gerik, Superintendan Zulkifli Mahmood, sebagai berkata bahawa siasatan awal mendapati pemandu lori berusia 28 tahun itu menyedari seekor gajah besar berada di bahu kanan jalan.
Memandangkan haiwan itu kelihatan sedang meragut rumput, pemandu itu “terus memandu apabila beliau melihat keadaan selamat,” kata Superintendan Zulkifli.
“Bagaimanapun, beberapa ketika kemudian, seekor anak gajah tiba-tiba muncul dari hutan di sebelah kiri dan cuba melintas jalan.
“Jarak pendek menyebabkan pemandu tidak dapat berhenti tepat pada masanya, lantas melanggarnya. Anak gajah itu mati di tempat kejadian,” jelasnya.
Superintendan Zulkifli menambah, ibu gajah itu kemudian menjadi gelisah, marah dan terus merosakkan bahagian hadapan lori itu. Pemandu lori tidak cedera.
Video kejadian itu menarik simpati netizen terhadap nasib ibu anak gajah itu.
“Alangkah sedihnya ibu – menunggu anaknya tetapi tidak keluar (dari bawah lori). Dia mempunyai hati seorang ibu walaupun dia haiwan,” kata seorang netizen.
“Ia seolah-olah ibu gajah berharap anaknya masih hidup,” kata yang lain.
Sesetengah netizen pula menyatakan kejadian itu berlaku secara tragis pada Hari Ibu.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg