SHAH ALAM (Malaysia): Perjalanan dari Kota Bharu, Kelantan ke Alor Setar, Kedah tergendala selama dua jam akibat 30 ekor gajah ‘bermain’ dan tidur di tengah jalan.
Kejadian itu dikongsi seorang pengguna TikTok, @isemaju, atau nama sebenarnya, Encik Mohd Hisham Yazid menerusi satu video di TikTok pada 15 November.
Menurut Encik Hisham, 38 tahun, kejadian itu berlaku di Tasik Banding, Perak pada 15 November sekitar 3 pagi.
Encik Hisham menambah bahawa beliau sering berhadapan dengan insiden haiwan liar mengganggu lalu lintas, namun jumlah gajah tidak banyak seperti kejadian yang dirakamnya pada15 November itu.
“Sebagai seorang pemandu lori yang sering menggunakan jalan ini sebagai laluan utama, ia bukan kejadian pelik atau menggerunkan.
“Ini kerana, saya boleh katakan setiap minggu pasti ‘terserempak’ dengan gajah yang mengganggu lalu lintas di Tasik Banding,” kata Encik Hisham kepada saluran berita Malaysia, Sinar Harian, pada 16 November.
Di dalam videonya yang sepanjang 53 saat itu, seekor gajah kelihatan menghampiri sebuah kenderaan.
Encik Hisham memberitahu bahawa haiwan liar tersebut bertindak sedemikian kerana pemilik kenderaan tidak mematikan lampu.
Jelasnya, cahaya akan menarik perhatian gajah tersebut untuk menghampiri dan bermain.
“Kalau terserempak dengan gajah ketika melalui mana-mana kawasan (waktu malam), perlu perlahankan dan mematikan lampu kenderaan.
“Bukan itu sahaja, jangan sesekali keluar kereta atau menonjolkan diri. Itu sahaja panduan untuk mengurangkan risiko daripada diserang haiwan liar berkenaan,” ujarnya.
Selain itu, Encik Hisham mengingatkan orang ramai untuk lebih berhati-hati sekiranya terserempak gajah bersama anak haiwan tersebut kerana ia akan bertindak ganas jika berasa terancam. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg