Topik diikuti
Pergi ke BHkuIbu kota Ukraine digegar bom tentera Russia
Ibu kota Ukraine digegar bom tentera Russia
Zelensky ikrar terus pertahan Ukraine; tentera Ukraine dilapor beri tentangan sengit kepada askar Russia
Ibu kota Ukraine digegar bom tentera Russia
KYIV: Beberapa siri letupan telah menggegarkan ibu kota Ukraine, Kyiv, mulai tengah malam hingga siang semalam - buat dua hari berturut-turut - sedang Presiden Volodymyr Zelensky berikrar mahu terus mempertahan Ukraine dan memberi amaran kepada warganya bahawa mereka "tidak mampu kehilangan" ibu kota dan mesti bersedia menghadapi "malam yang getir".
Pertempuran dilaporkan berlaku berhampiran bandar Mariupol, Kherson, Mykolaiv dan Odessa di selatan Ukraine, kata penasihat pejabat presiden Ukraine.
"Pertempuran hebat sedang berlaku berhampiran Mariupol," kata penasihat Mykhailo Podolyak dalam taklimat yang dipetik agensi berita Reuters.
"Tetapi tidak ada kemungkinan Mariupol akan menyerah kalah atau ditawan," katanya lagi.
Tentera Ukraine juga dilaporkan telah menangkis serangan Russia di wilayah Lviv berdekatan Brody di barat negara itu.
Datuk Bandar Lviv, Encik Andrey Sadovyi, dipetik sebagai berkata, Russia mendaratkan tiga helikopter dengan 60 askar, namun "kami masih mengawal keadaan".
Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS) secara rasminya telah melaksanakan sekatan ke atas Presiden Russia, Encik Vladimir Putin, dan Menteri Ehwal Luar negara itu, Encik Sergei Lavrov - yang dianggap sebagai "ketua propaganda" Encik Putin.
Dalam pada itu, Perancis mengumumkan bantuan 300 juta euro ($457.7 juta) kepada Ukraine, umum Presiden Emmanuel Macron kelmarin, lapor agensi berita Xinhua.
"Kami juga sedang berhubung dengan pihak berkuasa Ukraine untuk menyediakan peralatan pertahanan yang diperlukan," kata Encik Macron.
Presiden AS, Encik Joe Biden, turut memerintahkan Jabatan Negara menyalurkan AS$350 juta ($473.7 juta) bagi bantuan ketenteraan untuk Ukraine kelmarin.
Republik Czech turut mendermakan senjata, termasuk senapang, pistol dan peluru bernilai AS$8.6 juta kepada Ukraine.
Ukraine juga telah memohon sokongan tambahan daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) susulan pencerobohan Russia, kata Pengarah Urusan IMF, Cik Kristalina Georgieva, kelmarin.
Dalam pada itu, polis Russia telah menahan lebih 1,700 orang di belasan kota serata negara itu, yang terlibat dalam tunjuk perasaan di jalanan sebagai membantah tindakan Encik Putin berperang dengan Ukraine.
Sejauh ini Ukraine mendakwa telah melakukan kemusnahan besar ke atas Russia dengan lebih 1,000 maut.
Akhbar The Daily Mail semalam memetik kementerian pertahanan Ukraine sebagai melaporkan Russia kehilangan 2,800 askar akibat cedera dan sebagainya, dengan 80 kereta kebal dan 516 kenderaan berperisai, 10 pesawat dan tujuh helikopter dimusnahkan.
Moscow pula menyatakan ia telah menawan 160 askar Ukraine, memusnahkan 74 kemudahan darat, memusnahkan lima jet pejuang dan satu helikopter serta 18 kereta kebal dan kenderaan berperisai lainnya. - Agensi berita.
Laporan lanjut:
