GAZA: Cik Iman al-Masry kelihatan letih selepas melahirkan anak kembar empat di sebuah hospital di selatan Gaza, berbatu-batu jauh dari rumahnya di utara wilayah Palestin yang dilanda perang.
Beberapa hari selepas perang Israel-Palestin meletus, wanita muda itu melarikan diri dari rumah keluarganya di Beit Hanoon dengan berjalan kaki bersama tiga anaknya yang lain untuk mencari tempat perlindungan yang lebih selamat.
Mereka berjalan kaki lima kilometer ke kem pelarian Jabalia, untuk mencari kenderaan yang boleh membawa mereka ke Deir el-Balah yang lebih jauh ke selatan.
Cik Iman yang ketika itu mengandung enam bulan, berkata: “Jaraknya terlalu jauh untuk saya berjalan dan saya takut ia memberi kesan kepada kehamilan saya,” tambah ibu berusia 28 tahun itu kepada Al-Jazeera.
Beliau selamat melahirkan kembar empat melalui pembedahan pada 18 Disember.
Dua daripada kembar empat itu ialah perempuan, Tia dan Lynn. Dua lagi kembar ialah lelaki, Yasser dan Mohammed.
Tetapi Cik Iman telah diminta segera meninggalkan hospital bersama tiga bayi yang baru lahir dan seorang lagi terpaksa ditahan kerana perlu rawatan lanjut.
Beliau terpaksa berbuat demikian untuk memberi ruang kepada pesakit yang lain.
Kini, bersama Tia, Lynn dan Yasser, mereka tinggal di bilik sebuah sekolah yang sempit di Deir el-Balah bersama kira-kira 50 ahli keluarga besar mereka yang lain.
“Berat Mohammed hanya satu kilogram. Dia mungkin tidak boleh bertahan,” katanya mengenai Mohammed, yang ditinggalkannya di hospital di kem pelarian Nuseirat.
Sambil berbaring di atas tilam, Cik Iman menyingkap keperitan hidupnya dengan berkata: “Apabila saya tinggalkan rumah, saya hanya ada beberapa helai pakaian musim panas untuk kanak-kanak.
“Saya fikir perang akan berlangsung satu atau dua minggu dan selepas itu kami akan pulang ke rumah. Harapan saya musnah.”
Suaminya, Encik Ammar al-Masry, 33 tahun, melahirkan rasa sedih kerana tidak berdaya memberikan yang terbaik bagi membesarkan anak-anaknya.
“Tia ada penyakit kuning, perlukan susu badan ibunya, dan isteri saya perlukan makanan yang mengandungi protein. Bayi-bayi pula perlukan susu dan lampin tetapi saya tak boleh menyediakannya!’‘ keluh beliau. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg