KAHIRAH/GAZA/BAITULMAKDIS: Peperangan Israel terhadap Hamas akan berterusan beberapa bulan lagi, kata ketua tentera Israel sedang rentetan insiden di luar Jaluran Gaza menimbulkan risiko konflik yang lebih luas.
Ketua staf tentera Israel, Encik Herzi Halevi, memberitahu pemberita dalam satu kenyataan menerusi televisyen pada 26 Disember bahawa perang di Gaza akan berterusan “selama beberapa bulan lagi”.
“Tiada penyelesaian ajaib, tidak ada jalan pintas dalam membongkar organisasi Hamas melainkan menerusi pertempuran yang gigih dan berterusan.
“Kami akan akhirnya sampai ke kepimpinan Hamas juga, sama ada ia mengambil masa seminggu atau jika ia mengambil masa berbulan-bulan lagi,” ujarnya
Israel memperhebat serangan sekitar perayaan Krismas, terutamanya di kawasan tengah berhampiran selatan laluan air yang membelah Jaluran Gaza.
Tentera Israel telah memberitahu orang awam supaya meninggalkan kawasan itu, walaupun ramai yang menyatakan tiada lagi tempat yang selamat untuk mereka mencari perlindungan.
“Kami amat bimbang tentang pengeboman berterusan di tengah Gaza oleh tentera Israel yang telah meragut lebih 100 nyawa rakyat Palestin sejak malam Krismas,” kata jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Seif Magango, pada 26 Disember.
“Pasukan Israel mesti mengambil semua langkah yang ada untuk melindungi orang awam. Amaran dan perintah pemindahan tidak membebaskan mereka daripada keseluruhan kewajipan undang-undang kemanusiaan antarabangsa mereka,” tegas beliau.
Israel bertekad memusnahkan Hamas di sebalik gesaan pihak antarabangsa supaya gencatan senjata dilaksanakan dalam perang yang sudah berlangsung lebih 11 minggu itu.
Perang bermula apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober yang membunuh lebih 1,400 orang dan menahan sekitar 240 tebusan.
Israel bertindak balas dengan pengeboman udara dan serangan darat berterusan yang sehingga kini telah meragut nyawa sekitar 21,000 rakyat Palestin.
Bahkan, pihak berkuasa kesihatan Palestin berkata hampir semua 2.3 juta penduduk Gaza telah diarahkan supaya berpindah tetapi berdepan pula dengan masalah kebuluran dek kekurangan bantuan kemanusiaan.
Israel berkata ia melakukan apa yang boleh untuk melindungi orang awam dan menyalahkan Hamas kerana menggunakan penduduk sebagai perisai mereka.
Dalam pada itu, terdapat tanda-tanda semakin meningkatnya konflik di Timur Tengah ekoran tindakan pemberontak Houthi Yaman menyerang kapal kontena di Laut Merah dan percubaan untuk menyerang Israel dengan dron.
Militan Houthi mendakwa serangan itu adalah tindak balas terhadap serangan Israel ke atas Gaza.
Pada masa yang sama, satu serangan udara Israel pula membunuh seorang pemimpin kanan Pengawal Revolusi Iran di Syria pada 24 Disember.
Dan di sempadan Lebanon pada 26 Disember, Israel berkata Hezbollah telah melepaskan peluru berpandu antikereta kebal ke arah sebuah gereja, mencederakan sembilan askar Israel dan seorang awam, selepas itu ia melepaskan roket dari berhampiran sebuah masjid, menarik serangan balas udara oleh Israel..
“Kami berada dalam perang pelbagai barisan dan diserang dari tujuh sudut: Gaza, Lebanon, Syria, Judea dan Samaria di Tebing Barat, Iraq, Yaman dan Iran,” kata Menteri Pertahanan Israel, Encik Yoav Gallant, sambil menyenaraikan enam tempat di mana militan yang disokong Iran aktif, serta Iran sendiri. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg