ICC mulakan prosiding awal kes bekas Presiden Filipina Duterte
ICC mulakan prosiding awal kes bekas Presiden Filipina Duterte
THE HAGUE: Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) memulakan prosiding awal terhadap bekas Presiden Filipina Rodrigo Duterte bagi menentukan sama ada beliau perlu dibicarakan atas pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan berkaitan kempen berdarah “perang dadah”, meskipun beliau enggan hadir ke mahkamah.
Pendengaran pengesahan pertuduhan yang berlangsung selama empat hari itu akan menilai sama ada bukti yang dikemukakan mencukupi untuk memulakan perbicaraan penuh. Panel hakim dijangka mengeluarkan keputusan bertulis dalam tempoh 60 hari selepas prosiding tamat.
Encik Duterte, 80 tahun, berdepan tiga pertuduhan jenayah terhadap kemanusiaan termasuk pembunuhan dan cubaan membunuh yang didakwa berlaku ketika beliau menjadi Datuk Bandar Davao serta sepanjang pemerintahannya dari 2016 hingga 2022. Pendakwa ICC menuduh beliau terlibat sekurang-kurangnya dalam puluhan kes pembunuhan antara 2011 hingga 2019.
Bekas pemimpin itu tidak hadir selepas mahkamah membenarkan permohonan pasukan pembelaannya untuk mengetepikan kehadiran fizikal, walaupun hakim sebelum ini memutuskan beliau sihat untuk mengambil bahagian. Encik Duterte mendakwa beliau “tua, letih dan lemah” serta mengalami masalah ingatan, selain tidak mengiktiraf bidang kuasa ICC.
Dalam kenyataan terdahulu, beliau menolak tuduhan tersebut. “Dakwaan bahawa saya menyelia dasar pembunuhan di luar undang-undang adalah satu pembohongan besar,” katanya sambil menyifatkan penahanannya sebagai “penculikan” yang melanggar kedaulatan Filipina.
Bagi keluarga mangsa, prosiding ini dianggap detik paling penting selepas bertahun-tahun menunggu keadilan. Cik Llore Pasco, yang kehilangan dua anak lelaki pada 2017, berkata semua pihak bertanggungjawab mesti diadili. “Saya berasa gementar, tetapi ini saat kebenaran. Kami berharap hakim mendengar suara mangsa,” katanya.
Seorang lagi ibu, Cik Sarah Celiz, turut menuntut keadilan. “Anak saya merayu belas kasihan tetapi tidak diberi. Mengapa kami harus memberi belas kasihan sekarang?” katanya.
Pemantau Hak Asasi menyifatkan pendengaran itu sebagai “langkah kritikal memastikan keadilan untuk mangsa perang dadah Filipina”. Menurut pertubuhan hak asasi manusia, jumlah kematian akibat operasi antidadah dianggarkan antara 12,000 hingga 30,000 orang. Ramai ditembak dalam operasi polis atau oleh penyerang tidak dikenali.
Pendakwa raya menggariskan tiga kategori pembunuhan:
Pertama, 19 kes pembunuhan antara 2013 hingga 2016 ketika Duterte menjadi Datuk Bandar Davao.
Kedua, 14 pembunuhan sasaran bernilai tinggi pada 2016 hingga 2017 semasa awal pentadbirannya sebagai presiden.
Ketiga, 43 pembunuhan dalam operasi pembersihan terhadap pengguna dan pengedar dadah kecil antara 2016 hingga 2018.
Jika hakim berpuas hati terdapat “asas kukuh” bagi setiap pertuduhan, kes akan diteruskan ke perbicaraan penuh yang boleh membuka ruang lebih ramai saksi tampil memberi keterangan.
Encik Duterte dipilih pada 2016 selepas berjanji menghapuskan dadah melalui tindakan keras tanpa kompromi. Beliau pernah secara terbuka menggalakkan orang awam membunuh penagih dan berikrar tidak mendakwa anggota polis atas pembunuhan di luar proses undang-undang.
Dalam satu ucapan, beliau berkata sanggup “menyembelih jutaan penagih”, manakala dalam kenyataan lain mengaku pernah membunuh suspek jenayah ketika menjadi datuk bandar.
Walaupun dikecam antarabangsa, pendekatan keras itu menjadikannya sangat popular di dalam negara. Anak perempuannya, Naib Presiden Cik Sara Duterte, kini dijangka bertanding dalam pilihan raya presiden 2028 dan dilihat sebagai calon kuat.
Sesetengah keluarga mangsa bimbang kemungkinan tindakan balas jika beliau kembali berkuasa, namun ada yang tetap berani bersuara.
“Sejak anak saya mati, perkataan takut tidak lagi wujud,” kata Cik Celiz.
Filipina menarik diri daripada ICC pada 2019 atas arahan Encik Duterte, tetapi mahkamah memutuskan ia masih mempunyai bidang kuasa terhadap jenayah yang berlaku ketika negara itu masih menjadi ahli antara 2011 hingga 2019. Pasukan pembelaan telah merayu keputusan itu dan menunggu keputusan.
Encik Duterte ditahan di Manila pada Mac tahun lalu sebelum dihantar ke Belanda dan kini ditempatkan di pusat tahanan ICC di Penjara Scheveningen. Beliau sebelum ini hadir pendengaran awal melalui pautan video dalam keadaan lemah dan hampir tidak bercakap.
Dalam surat kepada mahkamah, beliau kekal berpendirian tegas. “Saya tidak mengiktiraf mahkamah ini dan tetap bangga dengan legasi saya,” katanya.
Kes ini dianggap penting kerana Encik Duterte merupakan bekas ketua negara Asia pertama dibicarakan di ICC. Pada hari pertama pendengaran, dua demonstrasi dijadual berlangsung di The Hague - satu menyokong beliau dan satu lagi menyokong mangsa.
Bagi mangsa, prosiding ini lebih daripada sekadar kes undang-undang. “ICC satu-satunya harapan kami untuk mendapatkan keadilan,” kata Cik Luzviminda Siapo, ibu kepada remaja 19 tahun yang terbunuh dalam operasi antidadah.
Keputusan hakim sama ada meneruskan perbicaraan penuh dijangka menjadi titik perubahan besar, bukan sahaja kepada nasib politik Duterte, tetapi juga kepada persoalan pertanggungjawaban negara terhadap kempen keselamatan yang membawa korban besar kepada orang awam. - Agensi berita

