THE HAGUE: Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) akan mengadakan sesi pendengaran pada 28 April bagi membincangkan tanggungjawab kemanusiaan Israel terhadap rakyat Palestin, selepas Tel Aviv menyekat penghantaran bantuan ke Jaluran Gaza pada awal bulan Mac ini.
Langkah ini susulan resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember lalu, hasil cadangan Norway yang dikemukakan pada Oktober.
Resolusi tersebut diterima dengan sokongan majoriti besar dan menggesa ICJ untuk memberikan pendapat nasihat berhubung kewajipan Israel dalam memastikan penghantaran bantuan kemanusiaan yang tidak terhalang kepada rakyat Palestin.
Menurut kenyataan rasmi ICJ, sesi pendengaran itu akan diadakan di ibu pejabat mahkamah di The Hague.
Meskipun keputusan ICJ berbentuk nasihat dan tidak boleh dikuatkuasakan secara langsung, ia tetap memberi tekanan diplomatik yang signifikan terhadap Israel. Malah, pada Julai 2024, ICJ pernah mengeluarkan pandangan bahawa pendudukan wilayah Palestin oleh Israel adalah “tidak sah” dan mesti ditamatkan secepat mungkin.
Krisis kemanusiaan di Gaza semakin memburuk selepas Israel menghentikan penghantaran bantuan pada 2 Mac. Tindakan itu diambil ketika rundingan gencatan senjata terus buntu, meskipun sejak 19 Januari pertempuran dilaporkan semakin reda selepas 15 bulan keganasan yang berterusan.
Jaluran Gaza, yang dihuni oleh lebih 2.4 juta penduduk Palestin, amat bergantung kepada bantuan antarabangsa untuk kelangsungan hidup. Namun, Israel terus mengawal ketat semua bentuk kemasukan bantuan ke wilayah tersebut.
Inisiatif Norway turut didorong oleh tindakan Israel yang mengharamkan Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA) daripada beroperasi di wilayahnya mulai hujung Januari. Israel menuduh beberapa kakitangan UNRWA terlibat dalam serangan yang dilancarkan oleh Hamas ke atas wilayah selatan Israel pada 7 Oktober 2023.
Ketua jurucakap ICJ dalam kenyataan medianya berkata: “Sesi ini bertujuan untuk menjelaskan sejauh mana tanggungjawab Israel dalam memudahkan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan untuk kelangsungan hidup penduduk awam Palestin.” - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg