TEL AVIV: Amerika Syarikat berikrar akan terus membekalkan senjata kepada Israel dalam kempennya menentang Hamas, meskipun ia mendesak agar lebih banyak bantuan kemanusiaan disalurkan kepada rakyat Palestin di Jaluran Gaza yang telah musnah.
Pertempuran berterusan pada bulan ketiga perang Gaza paling berdarah, dengan kementerian kesihatan yang dikendalikan Hamas melaporkan 110 lagi orang terbunuh dalam serangan ke atas kem Jabalia yang berhampiran Bandar Gaza.
Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York dijangka mengadakan undian dalam satu lagi gesaan untuk gencatan kemanusiaan di wilayah yang dikepung, selepas resolusi sebelumnya telah diveto oleh sekutu utama Israel, Amerika Syarikat.
Tetapi undian itu ditangguhkan sehingga 19 Disember kerana rundingan diteruskan mengenai teks dokumen itu, sumber diplomatik di PBB memberitahu agensi berita AFP.
Ketika melawat Israel pada 18 Disember, Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Lloyd Austin, berkata: “Kita mesti mendapatkan lebih banyak bantuan kemanusiaan kepada hampir dua juta orang yang kehilangan tempat tinggal di Gaza dan kita mesti mengagihkan bantuan itu dengan lebih baik.”
Beliau mengesahkan Washington adalah “sahabat terbesar Israel” dan akan terus menyediakan “senjata kritikal, kenderaan taktikal dan sistem pertahanan udara”.
Encik Austin menambah bahawa lawatannya tidak bertujuan untuk “menentukan garis masa atau syarat” untuk peperangan Hamas-Israel.
Beliau sedang melawat Timur Tengah ketika kebimbangan semakin meningkat mengenai semakin meluasnya perang di seluruh rantau itu, dengan pemberontak Houthi yang disokong Iran di Yaman giat menyerang perkapalan antarabangsa di Laut Merah sebagai lambang solidariti dengan Hamas.
Serangan itu telah mengganggu perdagangan global, menaikkan harga minyak, dengan syarikat gergasi tenaga BP antara firma utama terbaru untuk mengelakkan daripada menggunakan laluan penting yang menuju ke Terusan Suez.
Amerika pada 18 Disember mengumumkan gabungan 10 negara untuk menentang serangan Houthi di Laut Merah, dengan Britain, Perancis, Bahrain dan Italy merupakan antara negara menyertainya.
Peperangan di Gaza bermula apabila Hamas menyerang selatan Israel pada 7 Oktober, membunuh sekitar 1,200 orang, kebanyakannya orang awam, dan menahan lebih 240 orang sebagai tebusan.
Kementerian Kesihatan Gaza berkata tindak balas dan serangan berterusan Israel telah membunuh lebih 19,000 orang.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, pada 17 Disember, dilaporkan telah sekali lagi berikrar bahawa Israel akan memusnahkan Hamas, membebaskan tebusan dan memastikan Gaza tidak akan lagi menjadi “pusat keganasan”.
Tentera Israel telah melaporkan 129 kematian di Gaza sejak ia melancarkan operasi darat pada akhir Oktober.
Israel menuduh Hamas bersembunyi dalam kalangan orang awam dan dalam terowong di bawah hospital, sekolah, masjid dan infrastruktur awam yang lain.
Tekanan global kini semakin meningkat terhadap Israel sama ada memperlahankan, menangguhkan atau menghentikan permusuhan. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg