Topik diikuti
Pergi ke BHkuImej AI Trump seperti Jesus cetus kecaman dalam pertikaian dengan Pope Leo
Imej AI Trump seperti Jesus cetus kecaman dalam pertikaian dengan Pope Leo
Trump dakwa imej gambarkan dirinya doktor yang sembuhkan penyakit
Imej AI Trump seperti Jesus cetus kecaman dalam pertikaian dengan Pope Leo
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mencetuskan kontroversi selepas memuat naik imej janaan kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan dirinya seolah-olah figura keagamaan mirip Jesus pada 12 April sebelum hantaran itu dipadamkan sehari kemudian.
Imej yang dikongsi di platform Truth Social itu segera mengundang kritikan meluas, termasuk daripada kelompok konservatif agama yang selama ini menjadi penyokong setianya.
Kontroversi tersebut berlaku ketika ketegangan antara Encik Trump dan Paus (Pope) Leo XIV semakin memuncak, susulan kritikan Paus terhadap perang yang tercetus daripada serangan Amerika dan Israel ke atas Iran yang disifatkan sebagai tidak berperikemanusiaan.
Tidak lama sebelum imej itu dikongsi, Encik Trump turut menyerang Paus Leo secara terbuka, menyifatkannya sebagai “lemah dalam menangani jenayah dan teruk dalam dasar luar”.
Paus Leo, yang merupakan Paus pertama kelahiran Amerika, tidak berundur daripada kritikannya.
Dalam ucapan tegas di Algiers, beliau menegaskan tidak gentar dengan pentadbiran Encik Trump.
“Saya tidak takut,” katanya, sambil mengutuk kuasa dunia yang bersifat “neo-kolonial” dan melanggar undang-undang antarabangsa.
Walaupun tidak menyebut Amerika secara langsung, kenyataan itu dilihat sebagai sindiran jelas terhadap dasar luar Washington, khususnya dalam konflik Iran.
Imej AI tersebut memaparkan Encik Trump berjubah putih, dengan cahaya terang menyinari dirinya ketika meletakkan tangan pada kepala seorang lelaki yang kelihatan sakit.
Unsur seperti cahaya, bebola bercahaya, serta latar belakang yang memaparkan simbol Amerika menimbulkan tafsiran bahawa imej itu cuba menggambarkan beliau sebagai penyelamat atau figura suci.
Namun, Encik Trump menafikan perkara itu.
“Ia sepatutnya menunjukkan saya sebagai seorang doktor yang membantu menyembuhkan orang,” katanya kepada wartawan di Rumah Putih.
“Dan saya memang membantu orang menjadi lebih baik,” tambah beliau.
Penjelasan itu bagaimanapun dipersoalkan oleh ahli akademik.
Profesor sejarah seni dari Universiti Michigan, Encik Brendan McMahon, menyifatkan alasan tersebut sebagai meragukan.
“Imej ini jelas mengambil inspirasi daripada tradisi seni Kristian yang menggambarkan Kristus sebagai penyembuh,” katanya.
“Penggunaan cahaya terang dan simbolisme tangan itu bukan kebetulan,” jelasnya.
Kritikan turut disuarakan oleh tokoh konservatif yang selama ini menyokong Encik Trump.
Encik Brilyn Hollyhand menyifatkan imej itu sebagai satu bentuk penghinaan terhadap agama.
“Keimanan bukan alat politik,” katanya di media sosial.
Sementara itu, aktivis Cik Riley Gaines turut meluahkan kekeliruan terhadap tindakan Encik Trump.
“Saya tidak faham mengapa beliau memuat naik imej ini. Sedikit kerendahan hati amat diperlukan,” katanya.
Kritikan terbuka ini memberi isyarat awal bahawa isu tersebut berpotensi menggugat sokongan dalam kalangan pengundi Kristian, termasuk Katolik, yang memainkan peranan penting dalam kemenangan Encik Trump pada pilihan raya 2024.
Penganalisis melihat konflik terbuka antara Encik Trump dan Paus Leo sebagai satu titik penting dalam hubungan antara politik dan agama di Amerika Syarikat.
Encik David Gibson, seorang pakar agama dari Universiti Fordham berkata situasi ini boleh menjadi ujian besar kepada kesetiaan pengundi Katolik.
“Persoalannya, adakah ini garis merah bagi mereka? Adakah mereka akan memilih Paus atau Presiden?” katanya.
Pada masa sama, Uskup Robert Barron turut menegur Encik Trump, menyatakan bahawa presiden itu perlu memohon maaf atas kenyataan yang tidak wajar.
Namun, beliau dalam masa yang sama memuji usaha Encik Trump mendekati komuniti Katolik.
Encik Trump bagaimanapun menolak desakan tersebut.
“Saya tiada apa-apa untuk dipohon maaf,” katanya.
Pertikaian ini berlaku ketika Paus Leo semakin lantang mengkritik perang di Iran.
Beliau sebelum ini menggesa Encik Trump mencari jalan keluar bagi menamatkan konflik tersebut.
Menurut Paus Leo, agama tidak boleh digunakan untuk membenarkan peperangan.
“Jesus tidak boleh dijadikan alasan untuk memulakan konflik,” tegasnya dalam satu kenyataan terdahulu.
Kenyataan itu dilihat sebagai kritikan tidak langsung terhadap pegawai pentadbiran Encik Trump, termasuk Setiausaha Pertahanan Encik Pete Hegseth, yang pernah menggunakan rujukan kitab suci untuk mempertahankan penggunaan kekerasan dalam konflik.
Ini bukan kali pertama Encik Trump mencetuskan kontroversi melibatkan simbol agama.
Sebelum ini, beliau turut memuat naik imej dirinya sebagai Paus selepas kematian Paus Francis, yang turut mengundang kemarahan dalam kalangan penganut Katolik.
Namun, menurut penganalisis, serangan terhadap Paus Leo kali ini dilihat lebih serius.
“Perbezaan pendapat antara Presiden dan Paus bukan perkara baharu,” kata Encik Gibson.
“Tetapi ini bukan sekadar perbezaan. Ini adalah soal rasa hormat,” tambahnya. – Agensi berita.
