BEIRUT: Paus (Pope) Leo XIV menegur aktivis antipendatang yang, menurutnya, menyemai rasa takut terhadap Islam, sambil menegaskan bahawa kerjasama antara Muslim dan Kristian di Lebanon seharusnya menjadi contoh kepada Eropah dan Amerika Syarikat.
Kenyataan itu dibuat ketika beliau bercakap dengan wartawan dalam pesawat pada 2 Disember selepas menamatkan lawatan ke Turkey dan Lebanon – perjalanan luar negara pertama beliau sejak dilantik sebagai ketua kepada 1.4 bilion penganut Katolik pada Mei lalu.
Paus berusia 70 tahun itu berkata sentimen anti-Muslim selalunya “digembar-gemburkan oleh pihak yang menolak kemasukan pendatang, hanya kerana mereka datang dari negara, agama atau bangsa yang berbeza”.
Beliau menegaskan bahawa lawatannya ke Lebanon bertujuan menunjukkan bahawa “dialog dan persahabatan antara Muslim dengan Kristian adalah sesuatu yang mungkin”.
Menurutnya, kisah yang dikongsikan oleh penduduk tentang bagaimana Muslim dan Kristian saling membantu merupakan “peringatan bahawa kita tidak perlu hidup dalam ketakutan”.
Paus Leo seorang warganegara Amerika yang pernah berkhidmat selama dua dekad sebagai pendakwah di Peru telah lama mengkritik peningkatan ideologi nasionalisme di Barat.
Beliau secara terbuka mengecam “layanan tidak berperikemanusiaan” terhadap pendatang di bawah pentadbiran Presiden Donald Trump dan menyeru penganut Katolik agar menolak mentaliti pengecualian yang menurutnya menjadi punca ekstremisme nasionalis.
“Kita mesti membuka sempadan antara manusia dan meruntuhkan tembok antara kelas dan bangsa,” katanya dalam satu ucapannya yang pernah menarik perhatian global.
Kemuncak lawatan enam hari itu ialah misa besar-besaran yang dihadiri 150,000 orang di kawasan persisiran Beirut.
Paus Leo disambut meriah oleh rakyat Lebanon yang sedang bergelut dengan kejatuhan ekonomi berlarutan dan kesan peperangan tahun lalu antara Israel dengan Hezbollah, yang masih menimbulkan kegusaran akan tercetusnya keganasan baru.
Dalam misa berkenaan, Paus Leo menyeru agar pihak berkuasa “menghentikan serangan dan permusuhan,” dan menekankan aspirasi beliau terhadap keamanan yang berkekalan di rantau tersebut.
Walaupun gencatan senjata dicapai antara Israel dengan Hezbollah pada November 2024, Israel didakwa terus melancarkan serangan ke atas Lebanon dalam beberapa minggu kebelakangan ini — namun tiada serangan diumumkan ketika lawatan Paus berlangsung.
Paus Leo turut menggesa pihak yang mempunyai kuasa politik dan sosial supaya “mendengar rintihan rakyat yang menuntut keamanan”.
Beliau menegaskan bahawa Asia Barat sangat memerlukan pendekatan baharu untuk menolak budaya dendam, mengatasi perpecahan politik, sosial dan agama, serta membuka ruang kepada perdamaian.
Sebelum berangkat pulang, Paus Leo turut meluangkan masa melawat lokasi letupan dahsyat di Pelabuhan Beirut pada 4 Ogos 2020 yang mengorbankan lebih 220 nyawa dan mencederakan lebih 6,500 orang.
Letupan itu memusnahkan kawasan luas ibu negara dan sehingga kini tiada pihak dipertanggungjawabkan.
Di kawasan tugu peringatan mangsa, dengan runtuhan bangunan yang masih kelihatan, Paus Leo berbual dengan mangsa terselamat serta ahli keluarga mangsa yang membawa gambar insan tersayang.
“Saya amat tersentuh dengan lawatan singkat ke Pelabuhan Beirut,” katanya sebelum berlepas pulang.
“Saya membawa bersama saya kesedihan dan dahaga akan kebenaran dan keadilan bagi begitu ramai keluarga bagi seluruh negara.”
Seorang peguam, Cik Cecile Roukoz, yang kehilangan abangnya dalam tragedi itu, menghargai suara Paus dalam menuntut keadilan.
“Kami perlukan keadilan untuk abang kami dan semua mangsa letupan ini,” katanya.
Sebelum mendarat di Rome, Paus Leo menyatakan hasrat untuk membuat lawatan seterusnya ke Afrika, termasuk Algeria bagi menziarahi tempat-tempat berkaitan St Augustine.
Beliau turut menyebut kemungkinan melawat Amerika Latin, termasuk Argentina dan Uruguay.
Dengan mesej perdamaian yang lantang, lawatan Paus Leo ke Turkiey dan Lebanon dilihat sebagai isyarat penting tentang keutamaan kepimpinannya menolak ketakutan, merapatkan hubungan antara agama, dan memulihkan harapan di tengah konflik yang tidak berkesudahan. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg