Imej tercalar tapi UAE tegas Dubai kekal selamat susulan serangan Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Imej tercalar tapi UAE tegas Dubai kekal selamat susulan serangan Iran

Mar 15, 2026 | 4:38 PM

Imej tercalar tapi UAE tegas Dubai kekal selamat susulan serangan Iran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Imej negara paling selamat, UAE, Dubai, perang Iran
Asap kelihatan di Dubai selepas letupan menggoncang hab kewangan Timur Tengah itu pada 13 Mac. - Foto AFP

DUBAI: Dubai sedang giat berusaha mengekalkan imejnya sebagai tempat yang selamat meskipun berdepan serangan Iran.

Mesej pemerintah itu turut disokong pempengaruh media sosial, ketika pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap mereka yang berkongsi sebarang rakaman berkaitan serangan.

Selama beberapa dekad, rantau Teluk dilihat sebagai tempat selamat di tengah-tengah pergolakan di Timur Tengah, dengan Amiriah Arab Bersatu (UAE) menjenamakan dirinya sebagai negara paling selamat di dunia serta berbangga dengan kadar jenayah yang sangat rendah.

Namun, imej itu kini tercemar.

Iran telah melancarkan lebih 1,800 peluru berpandu dan dron ke arah UAE – jumlah yang lebih tinggi berbanding mana-mana negara lain yang menjadi sasaran Teheran dalam konflik ini.

Serangan Iran sekali gus menjejas imej UAE sebagai negara yang aman walaupun sistem pertahanan udaranya berjaya memintas sebahagian besar peluru berkenaan.

Sementara itu, pempengaruh media sosial yang berpangkalan di Dubai menyatakan sokongan mereka terhadap pemerintah dan menekankan semangat kenegaraan, sambil mengulang mesej bahawa negara itu kekal selamat seperti biasa.

Bintang Kuwait-Amerika Syarikat, Ebraheem Alsamadi, yang dikenali melalui program realiti Dubai Bling, dalam sebuah video berkata beliau akan kekal di UAE meskipun konsulat Amerika mengeluarkan nasihat keselamatan kepada warganya.

Alsamadi turut menyifatkan UAE sebagai “negara paling selamat di dunia, dan tiada apa yang boleh mengubah (hakikat) tersebut”.

Pihak berkuasa turut menekankan lagi mesej mereka ketika kebimbangan meningkat bahawa perang ini boleh memberi kesan jangka panjang kepada reputasi Dubai serta ekonominya.

Sebagai contoh, akaun Instagram Dubai berkongsi sebuah lagu menyentuh hati kepada 5.8 juta pengikutnya dengan lirik, “Dubai selamat, akan sentiasa selamat”.

Aspek keselamatan sekian lama dianggap sebagai sebahagian daripada identiti bandar itu.

“Mereka yang bertanggungjawab terhadap strategi itu kini sedang membincangkan cara untuk memperhalusi strategi mereka bagi berdepan kebimbangan jelas ini, tetapi buat masa ini mereka masih belum mengubah cara lama,” kata penganalisis geopolitik di Rane Network, Encik Ryan Bohl.

Encik Bohl berkata UAE juga “berharap perang ini tidak akan berlanjutan supaya orang ramai tidak mengaitkan negara itu dengan perang. Salah satu cara terbaik untuk berbuat demikian adalah dengan mengehadkan kesan konflik ke atas UAE sendiri”.

Sekitar 90 peratus penduduk UAE adalah warga asing yang merupakan tenaga kerja penting dalam usaha negara itu mempelbagaikan ekonomi serta beralih daripada bergantung kepada minyak kepada memperkukuh sektor pelancongan dan perkhidmatan.

Langkah menarik dan mengekalkan bakat asing kekal menjadi strategi utama program itu.

Sektor pelancongan sangat terdedah kepada isu keselamatan, tetapi “pelancong daripada bahagian dunia berbeza mempunyai tahap toleransi risiko yang berbeza”, kata Encik Bohl.

Bagi mengurangkan kesan lanjut, pihak berkuasa telah menekankan imej kehidupan biasa semasa perang, seperti melalui kehadiran Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan, di Dubai Mall ketika permulaan konflik.

Dari segi ekonomi, banyak syarikat telah memindahkan pekerja dari kawasan kewangan Dubai minggu ini apabila Iran mengancam akan menyasar pusat ekonomi yang mempunyai kaitan dengan Amerika dan Israel.

Bagi UAE – khususnya Dubai yang tidak boleh bergantung kepada hasil minyak – adalah penting untuk menonjolkan bahawa negara itu masih selamat untuk pelaburan.

“Jika pelabur besar, terutamanya dalam bidang prasarana, teknologi, hartanah dan sebagainya, tidak lagi yakin bahawa pelaburan mereka selamat, ini akan memberi kesan jauh lebih besar kepada rancangan pempelbagaian UAE,” katanya. – AFP

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg