Pelancong Britain antara 20 didakwa di UAE kerana kongsi video serangan Iran
Pelancong Britain antara 20 didakwa di UAE kerana kongsi video serangan Iran
DUBAI: Seorang lelaki warga Britain berusia 60 tahun antara 20 individu yang didakwa di Amiriah Arab Bersatu (UAE) di bawah undang-undang jenayah siber, selepas didakwa merakam dan berkongsi bahan berkaitan serangan Iran ke atas negara itu.
Lelaki tersebut, dipercayai seorang pelancong dari London yang sedang melawat Dubai, didakwa melanggar undang-undang yang melarang penyebaran kandungan yang boleh mengganggu keselamatan awam.
Kes itu didedahkan oleh organisasi bantuan guaman, Detained in Dubai, yang membantu individu yang berdepan masalah undang-undang di UAE.
Walaupun sekatan terhadap rakaman serangan semasa konflik bukan perkara luar biasa di banyak negara, kes ini menarik perhatian kerana UAE terkenal sebagai destinasi popular bagi pengaruh media sosial yang sering merakam dan berkongsi kandungan dalam talian.
Ini berlaku walaupun rakaman serangan Iran baru-baru ini tersebar luas di media sosial.
Ketua organisasi Detained in Dubai, Cik Radha Stirling, berkata lelaki tersebut didakwa bersama 20 individu lain selepas pihak polis menemui video serangan peluru berpandu Iran di telefon bimbitnya.
Menurut beliau, lelaki itu dipercayai telah memadamkan video tersebut sejurus selepas diminta berbuat demikian oleh pihak berkuasa.
Berdasarkan ringkasan kes rasmi, mereka yang didakwa dituduh menggunakan rangkaian maklumat atau alat teknologi untuk menyiarkan, menerbitkan atau menyebarkan berita palsu, khabar angin atau propaganda yang boleh mempengaruhi pandangan awam atau mengganggu keselamatan negara.
“Pertuduhan ini kedengaran sangat kabur tetapi serius di atas kertas. Pada hakikatnya, perbuatan yang didakwa mungkin hanya berkaitan dengan berkongsi atau mengulas video yang sudah pun beredar di internet,” kata Cik Stirling dalam satu kenyataan.
Beliau menambah bahawa di bawah undang-undang jenayah siber UAE, bukan sahaja individu yang memuat naik kandungan asal boleh didakwa, malah sesiapa yang menyiarkan semula atau mengulas kandungan tersebut juga boleh dikenakan tindakan.
“Di UAE, orang yang memuat naik kandungan asal boleh didakwa, tetapi begitu juga mereka yang berkongsi semula atau memberi komen terhadap kandungan itu,” katanya.
Jika disabitkan kesalahan, hukuman boleh termasuk penjara sehingga dua tahun, denda antara 20,000 dirham (S$7,300) hingga 200,000 dirham atau kedua-duanya sekali.
Warga asing yang terlibat juga boleh dihantar pulang dari negara tersebut.
Cik Stirling turut memberi amaran bahawa seseorang boleh berdepan beberapa pertuduhan serentak sekiranya berkongsi lebih daripada satu klip video atau artikel berkaitan konflik itu.
“Ramai orang beranggapan bahawa jika sesuatu video sudah tersebar luas atau dilaporkan oleh media, maka ia selamat untuk dikongsi atau dikomen. Di UAE, anggapan seperti itu boleh menjadi sangat berbahaya,” katanya.
Kes ini berlaku ketika pemerintah di Asia Barat memperketat kawalan terhadap penyebaran maklumat semasa konflik yang semakin memuncak di rantau itu.
Iran mengenakan sekatan ketat terhadap liputan media, manakala beberapa negara Teluk yang menjadi sasaran serangan dron dan peluru berpandu Iran turut memperkenalkan kawalan lebih tegas.
Israel pula melarang penyiaran kandungan yang boleh menjejaskan keselamatan negara, termasuk siaran langsung yang menunjukkan lokasi bandar ketika serangan peluru berpandu atau imej yang boleh mendedahkan lokasi jatuhan peluru.
Kebimbangan utama pemerintah ialah penyebaran imej yang boleh mendedahkan lokasi serangan dron atau peluru berpandu, serta rakaman yang menunjukkan sistem pertahanan udara.
Beberapa negara di rantau Teluk juga telah melakukan penangkapan berkaitan penyebaran maklumat konflik.
Di Qatar, lebih 300 orang ditahan kerana berkongsi imej dan maklumat yang dianggap mengelirukan semasa serangan Iran, menurut kementerian dalam negeri negara itu pada 9 Mac.
Di Bahrain pula, empat individu ditahan kerana merakam dan menyiarkan klip video mengenai kesan serangan Iran serta menyebarkan berita palsu.
Arab Saudi juga mengeluarkan amaran serupa.
Sementara itu di Kuwait, tiga individu ditahan selepas memuat naik video yang dilaporkan memperlekeh situasi keselamatan negara tersebut.
Di UAE sendiri, penduduk turut menerima mesej teks yang memberi amaran bahawa tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka yang berkongsi imej sensitif atau menyebarkan maklumat yang tidak disahkan.
Pejabat Peguam Negara UAE turut mengingatkan orang ramai supaya tidak merakam atau menyebarkan imej dan video yang menunjukkan lokasi insiden atau kerosakan akibat serpihan peluru.
Namun begitu, walaupun amaran keras diberikan oleh pihak berkuasa, rakaman peluru berpandu, dron serta kesan konflik terus tersebar di media sosial dan kumpulan sembang dalam talian. – Agensi berita.

