WASHINGTON: Tarif 25 peratus Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke atas kenderaan import yang berkuat kuasa pada 10 April sudah menggegar industri automotif, mendorong syarikat menghentikan penghantaran kereta ke Amerika, penutupan kilang di Canada dan Mexico serta pemberhentian pekerja di Michigan dan negeri lain.
Jaguar Land Rover, yang berpangkalan di Britain, berkata ia akan menghentikan sementara eksport kereta mewahnya ke Amerika.
Stellantis yang mengeluarkan kereta Chrysler dan Jeep, telah memberhentikan kilangnya di Canada dan Mexico serta membuang 900 pekerjanya di Amerika yang membekalkan kilang tersebut dengan enjin dan bahagian lain kereta.
Audi turut menghentikan eksport keretanya ke Amerika dari Eropah.
Ia juga mengarahkan pengedar menjual apa sahaja bekalan yang masih ada.
Jika pembuat kereta lain mengambil langkah serupa, kesan ekonomi boleh menjadi teruk, membawa kepada harga kereta yang lebih tinggi dan pemberhentian kerja secara meluas.
Tarif ke atas kereta adalah antara yang pertama daripada beberapa cukai khusus terhadap industri yang Encik Trump laksanakan.
Ia boleh menawarkan petunjuk awal tentang cara perniagaan akan bertindak balas terhadap dasar perdagangannya, termasuk menaikkan harga atau meningkatkan pembuatan di Amerika.
Tarif baru ke atas kereta import tentunya meningkatkan kos ribuan dolar kepada pengguna yang sekali gus mengurangkan permintaan terhadap kereta.
Bagi sesetengah model Jaguar Land Rover atau Audi, tarif boleh mencecah lebih AS$20,000 ($27,000) bagi setiap kereta.
Presiden Trump telah mengumumkan tarif 25 peratus ke atas kereta import dan trak ringan mulai 10 April.
Menurut penganalisis, tarif itu meliputi lebih AS$460 bilion ($622 bilion) import kenderaan dan alat ganti kereta setiap tahun.
Di sebalik tarif baru yang menjejas pasaran, langkah beliau itu sekurang-kurangnya mempunyai kesan yang diharapkan dengan syarikat General Motors berkata ia akan meningkatkan pengeluaran trak ringan di sebuah kilang berhampiran Fort Wayne.
Kesan jangka panjang tarif masih tidak jelas. Banyak pembuat kereta masih cuba memikirkan cara mengelakkan kenaikan harga.
Saham Ford Motor, G.M. dan Tesla jatuh beberapa hari lalu.
“Semua orang dalam rantaian bekalan automotif memberi tumpuan kepada perkara yang boleh mereka lakukan untuk mengurangkan kesan tarif terhadap pendapatan mereka dan harga,” kata Encik Kevin Roberts, pengarah risikan ekonomi dan pasaran di CarGurus, sebuah laman beli-belah dalam talian.
Dalam perkembangan yang sama, Korea Selatan pada 9 April mengumumkan langkah sokongan kecemasan untuk sektor automotifnya, berusaha untuk mengurangkan tamparan tarif Presiden Trump ke atas sektor yang telah menyaksikan peningkatan eksport yang mendadak ke Amerika selama bertahun-tahun.
Langkah itu termasuk sokongan kewangan untuk pembuat kereta serta pemotongan cukai dan subsidi bagi meningkatkan permintaan domestik.
Pemerintah turut berikrar berunding dengan Amerika dan membantu mengembangkan pasaran.
Pengilang di Korea Selatan dijangka menanggung sebahagian daripada kos tarif pada tahun pertama, tetapi akhirnya akan mengubah pengeluaran dan mungkin berhenti mengimport model kereta tertentu ke pasaran Amerika. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg