WASHINGTON: Rumah Putih mengesahkan pada 1 April Presiden Donald Trump akan mengenakan tarif baru pada 2 April.
Namun, ia tidak memberikan butiran saiz dan skop halangan perdagangan yang menyebabkan perniagaan, pengguna dan pelabur bimbang tentang perang dagangan sejagat yang kian sengit.
Encik Trump telah berminggu-minggu menyuarakan 2 April sebagai “Hari Pembebasan” yang akan menyaksikan usaha dramatik yang boleh menganjak sistem dagangan sejagat, dengan pengumuman Rumah Putih dijadualkan pada 4 petang 3 April.
Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata tarif timbal balik ke atas negara yang mengenakan duti ke atas barangan Amerika akan berkuat kuasa serta-merta selepas Encik Trump mengumumkannya, manakala tarif 25 peratus ke atas import kereta akan berkuat kuasa pada 3 April.
Setiausaha Perbendaharaan, Encik Scott Bessent, memberitahu penggubal undang-undang Dewan Republikan bahawa tarif timbal balik itu mewakili “had” tahap tarif tertinggi Amerika yang akan dihadapi oleh negara.
Bagaimanapun, ia boleh turun jika mereka memenuhi tuntutan pentadbiran, ujar wakil Republikan, Encik Kevin Hern, dari Oklahoma.
Jutawan Republikan itu telah mengenakan tarif ke atas import aluminium serta keluli dan telah meningkatkan duti ke atas semua barangan dari China.
Tetapi beliau juga berulang kali mengancam untuk mengenakan tarif lain.
Pengumuman Cik Leavitt itu membayangkan Encik Trump merancang meneruskannya kali ini.
“Presiden mempunyai pasukan penasihat cemerlang yang telah mengkaji isu-isu ini selama beberapa dekad dan kami memberi tumpuan untuk memulihkan zaman kegemilangan Amerika.”
Keazaman Encik Trump untuk terus mengenakan tarif telah menghakis keyakinan pelabur, pengguna dan perniagaan dalam cara yang boleh memperlahankan kegiatan perdagangan dan menaikkan harga.
Pakar ekonomi di Bank Simpanan Federal di Atlanta berkata tinjauan baru-baru ini menunjukkan, ketua kewangan korporat menjangkakan tarif akan mendorong kenaikan harga yang lebih tinggi pada 2025 serta mengurangkan pengambilan pekerja dan pertumbuhan.
Pentadbiran menjangkakan langkah tersebut boleh meningkatkan hasil mahsul lebih AS$6 trilion ($8 trilion) yang boleh disalurkan kepada rakyat Amerika sebagai rebat, lapor akhbar itu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg