NEW DELHI: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam India (DGCA) telah mengarahkan semua syarikat penerbangan negara itu untuk menjalankan pemeriksaan ke atas suis kawalan bahan api bagi beberapa model pesawat Boeing, susulan nahas tragis pesawat Air India bulan lalu yang mengorbankan 260 nyawa.
Arahan ini dikeluarkan selepas laporan awal siasatan oleh Biro Penyiasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB) mendapati bahawa dua suis bahan api telah bertukar daripada kedudukan ‘run’ kepada ‘cut-off’ beberapa saat selepas pesawat Boeing 787 Dreamliner berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad menuju ke London pada 12 Jun lalu.
“Kami mengambil maklum bahawa beberapa pengendali baik dalam negara mahupun luar negara telah memulakan pemeriksaan ke atas pesawat mereka susulan buletin daripada FAA,” kata kenyataan rasmi DGCA pada 14 Julai.
Pemeriksaan ini perlu diselesaikan sebelum 21 Julai, dan ia melibatkan pesawat Boeing 787 dan 737 yang dilengkapi dengan suis bahan api jenis sama.
Suis Terputus, Enjin Kehilangan Kuasa
Dalam laporan awal setebal 15 muka surat yang dikeluarkan 12 Julai lalu, AAIB menjelaskan bahawa suis bahan api dipindahkan secara tidak dijangka ke kedudukan ‘cut-off’, yang mengakibatkan gangguan bekalan bahan api ke enjin dan seterusnya kehilangan kuasa.
Data daripada perakam penerbangan menunjukkan enjin cuba dihidupkan semula, tetapi usaha itu gagal mengelakkan tragedi. Pesawat terhempas ke sebuah bangunan kurang daripada satu minit selepas berlepas, mengorbankan 241 daripada 242 penumpang serta 19 orang di darat. Seorang penumpang terselamat.
Misteri Di Kokpit
Laporan turut mendedahkan bahawa seorang juruterbang bertanya kepada rakannya, “mengapa kamu memotong bekalan bahan api?”, dan dijawab, “saya tidak lakukannya.” Namun, laporan tidak menyatakan dengan jelas siapa yang berkata demikian dan tidak menyertakan transkrip penuh daripada perakam suara kokpit.
“Mereka menyatakan perkara yang ingin kita tahu, tetapi menyembunyikan yang lain,” kata seorang juruterbang kepada media tempatan tanpa mahu dikenali. “Laporan ini tidak lengkap.”
Ketiadaan transkrip penuh menimbulkan kritikan.
Penganalisis aeroangkasa dari Leeham Company, Bjorn Fehrm, menyifatkan perkara itu sebagai “sangat tidak boleh diterima.” “Mereka ada semua data teknikal, tetapi rujukan kepada dialog itu kabur. Kita tidak tahu siapa bercakap,” ujar Fehrm kepada BBC.
Tambahnya lagi, tidak ada penjelasan mengenai apa yang berlaku dalam tempoh 10 saat antara suis ditukar dan cubaan menghidupkan semula enjin.
Spekulasi dan Keresahan Awal
Sejurus selepas laporan itu disiarkan, beberapa pihak membuat spekulasi bahawa nahas berpunca daripada tindakan disengajakan oleh juruterbang. Kenyataan ini segera dikecam oleh Persatuan Juruterbang Komersial India, yang menyifatkan tuduhan sebegitu sebagai “tidak bertanggungjawab dan amat tidak sensitif.” “Menuduh tanpa bukti sahih adalah satu pelanggaran etika pelaporan yang serius,” tegas persatuan itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Air India, Campbell Wilson, dalam nota kepada kakitangan, turut menggesa orang ramai agar tidak membuat kesimpulan awal. “Siasatan sedang berjalan. Adalah tidak wajar untuk membuat andaian terburu-buru,” katanya.
Perdebatan Tentang Suis
Laporan AAIB juga merujuk kepada Buletin Khas Kelayakan Udara (SAIB) yang dikeluarkan oleh Pentadbiran Penerbangan Persekutuan Amerika Syarikat (FAA) pada 2018, yang memberi amaran bahawa sesetengah suis bahan api Boeing mungkin tidak dikunci dengan betul dan boleh teralih secara tidak sengaja.
Walaupun FAA menyatakan isu itu “bukan ancaman keselamatan kritikal”, ia tetap mengesyorkan pemeriksaan berkala. Namun, menurut laporan, Air India tidak menjalankan pemeriksaan tersebut sebelum nahas berlaku.
Seorang jurutera penerbangan yang ditemu bual berkata laporan itu “amat selektif” dan tidak menyatakan maklumat enjin secara terperinci sebelum suis ditukar. Tambah beliau, suis hanya ditukar kepada ‘cut-off’ apabila enjin sudah mula kehilangan kuasa — satu prosedur yang diajar kepada juruterbang.
“Mereka cuba memberi petunjuk tanpa berterus terang,” kata bekas penyiasat nahas udara UK, Tim Atkinson. “Laporan begini tidak membantu kejelasan.”
Suara Industri dan Tanggapan Awam
Satu lagi unsur kontroversi ialah kenyataan bahawa modul kawalan pendikit dalam pesawat tersebut telah diganti dua kali, termasuk kali terakhir dua tahun lalu. Prosedur itu turut melibatkan penggantian suis bahan api — sekali gus menimbulkan persoalan sama ada suis tersebut dipasang dengan betul.
Bagaimanapun, FAA telah menegaskan semula dalam nota dalaman bahawa isu itu tidak menjejaskan keselamatan secara langsung. Namun, India tetap mengambil langkah berjaga-jaga dengan meminta semua pengendali pesawat berkaitan menjalankan pemeriksaan segera.
Di sebalik pelbagai teori dan kekeliruan, ramai dalam industri bersetuju bahawa maklumat penting masih belum didedahkan, dan sebarang kesimpulan hanya boleh dibuat selepas laporan penuh disiarkan.
Menurut protokol antarabangsa, laporan akhir perlu diterbitkan dalam tempoh setahun selepas kejadian. Namun, dalam praktiknya, banyak siasatan nahas mengambil masa lebih lama.
“Paling buruk ialah laporan yang ditulis untuk dibaca ‘di antara baris’, dan jika itu yang kita lihat di sini, ia mencalar kredibiliti penyiasat,” kata Atkinson. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg