Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Laporan nahas Air India: Keadaan keliru dalam kokpit sejurus sebelum pesawat terhempas

Jul 12, 2025 | 5:39 PM
Seorang anggota bomba berdiri di sebelah pesawat Air India yang terhempas, di Ahmedabad, India, pada 13 Jun.
Seorang anggota bomba berdiri di sebelah pesawat Air India yang terhempas, di Ahmedabad, India, pada 13 Jun. - Foto REUTERS

NEW DELHI: Laporan awal menunjukkan kekeliruan di kokpit sebelum pesawat Air India terhempas pada Jun, mengorbankan 260 nyawa.

Suis bahan api enjin didapati beralih serentak, menyebabkan enjin kehabisan bahan api dan pesawat Boeing 787 Dreamliner dari Ahmedabad, India ke London itu kehilangan kuasa.

Justeru, ia mula menurun sejurus selepas ia berlepas, menurut laporan nahas penerbangan paling teruk dalam dekad ini yang dikeluarkan pada 12 Julai.

Laporan oleh Biro Siasatan Kemalangan Pesawat India (AAIB) tentang nahas yang berlaku pada 12 Jun, tidak lama selepas berlepas, menimbulkan persoalan mengenai kedudukan suis pemotongan bahan api enjin yang kritikal.

Hampir sejurus selepas pesawat berlepas, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan turbin udara dikeluarkan, menandakan kehilangan kuasa dari enjin.

Dalam detik-detik terakhir penerbangan, seorang juruterbang kedengaran dalam rakaman suara kokpit bertanya kepada yang lain mengapa beliau mematikan bekalan bahan api.

“Juruterbang yang seorang lagi menjawab bahawa beliau tidak berbuat demikian,” menurut laporan tersebut.

Laporan itu tidak menyatakan siapa yang membuat komen tersebut, sama ada kapten atau pegawai pertama, serta juruterbang yang menghantar isyarat “Mayday” sebelum pesawat terhempas.

Juruterbang utama pesawat Air India itu adalah Kapten Sumeet Sabharwal, 56 tahun, yang mempunyai pengalaman terbang sebanyak 15,638 jam, dan menurut pemerintah India, beliau juga seorang jurulatih Air India. 

Pembantu juruterbangnya adalah Encik Clive Kunder, 32 tahun, yang mempunyai pengalaman terbang sebanyak 3,403 jam.

Suis bahan api hampir serentak beralih dari posisi ‘run’ ke ‘cutoff’ selepas pesawat berlepas.

Laporan awal tidak menyatakan bagaimana suis tersebut boleh teralih ke posisi “cutoff” semasa penerbangan.

Nahas ini menjadi cabaran besar bagi usaha Tata Group memulihkan reputasi Air India dan merombak armadanya selepas mengambil alih syarikat penerbangan itu pada 2022. 

Air India telah memberi pengesahan menerima laporan tersebut dan berkata mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa India, namun enggan memberi komen lanjut.

Suis Bahan Api

Pakar keselamatan penerbangan menyatakan juruterbang tidak mungkin secara tidak sengaja mengalihkan suis bahan api. 

“Jika suis itu dipindahkan oleh juruterbang, mengapa?” soal Encik Anthony Brickhouse, pakar keselamatan penerbangan Amerika Syarikat.

Suis tersebut beralih dalam satu saat, yang menunjukkan ia dipindahkan secara berturut-turut, menurut pakar penerbangan, Encik John Nance. 

Beliau menambah, juruterbang biasanya tidak akan mematikan suis semasa penerbangan, terutama ketika pesawat sedang mendaki.

Peralihan ke ‘cutoff’ segera mematikan enjin, yang biasanya digunakan untuk situasi kecemasan, tetapi laporan tidak menunjukkan kecemasan itu berlaku.

Di tapak nahas di Ahmedabad, kedua-dua suis bahan api ditemui dalam posisi “run”, dan terdapat tanda-tanda enjin menyala semula sebelum pesawat terhempas, menurut laporan yang dikeluarkan pada 12 Julai.

Penyiasatan Nahas

Laporan awal AAIB sedang menyiasat nahas pesawat Air India yang meragut 242 nyawa. Kotak hitam dan perakam data telah dipulihkan. Rakaman CCTV menunjukkan pesawat kehilangan ketinggian sebelum terhempas.

Air India kini di bawah pengawasan dan amaran dari pihak berkuasa India atas pelanggaran peraturan pesawat dan waktu tugas juruterbang. Agensi Keselamatan Penerbangan Kesatuan Eropah juga sedang menyiasat insiden itu.

India berharap industri penerbangannya dapat menjadi hab global seperti Dubai. - Reuters

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg