NEW DELHI: Dua persatuan juruterbang komersial utama telah menolak dakwaan kesilapan manusia telah menyebabkan berlakunya nahas pesawat Air India pada 12 Jun yang meragut nyawa 260 orang.
Ini selepas laporan siasatan awal mendapati suis bahan api enjin pesawat itu telah dimatikan.
Laporan tersebut, yang dikeluarkan oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB), tidak memberi sebarang kesimpulan atau menyalahkan mana-mana pihak atas tragedi pada 12 Jun itu.
Namun, ia melaporkan bahawa seorang juruterbang bertanya kepada juruterbang lain mengapa beliau mematikan suis bahan api dan juruterbang kedua menjawab beliau tidak melakukannya.
Tiada butir lanjut mengenai dialog dalam kokpit antara kedua-dua juruterbang itu didedahkan.
Persatuan Juruterbang Komersial India (ICPA) menyatakan bahawa mereka “amat terganggu dengan naratif spekulatif... terutama tuduhan tidak berasas dan melulu mengenai kemungkinan juruterbang membunuh diri”.
“Tiada asas sama sekali bagi dakwaan sedemikian setakat ini. Ia amat tidak sensitif terhadap individu dan keluarga terlibat.
“Membuat andaian secara sewenang-wenangnya bahawa juruterbang membunuh diri tanpa bukti sah adalah satu pelanggaran serius terhadap etika pelaporan dan mencemarkan maruah profesion ini,” kata ICPA dalam satu kenyataan pada 13 Julai.
Penemuan awal siasatan mencetuskan spekulasi oleh beberapa pakar penerbangan bebas bahawa tindakan juruterbang, sama ada disengajakan atau tidak, mungkin menyebabkan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner yang dalam perjalanan ke London itu terhempas sejurus selepas berlepas dari Ahmedabad di barat India.
ICPA merujuk kepada beberapa pakar penerbangan yang menyatakan bahawa suis kawalan bahan api enjin hanya boleh digerakkan secara sengaja dan manual.
Satu lagi persatuan juruterbang dengan 800 anggota di India, Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan India (Alpa India), turut menuduh agensi siasatan berkenaan “menyembunyikan maklumat siasatan”, sambil menyatakan bahawa ‘pegawai yang benar-benar berkelayakan’ tidak terlibat dalam siasatan tersebut.
“Kami rasa siasatan ini dijalankan dengan prasangka bahawa juruterbang bersalah dan kami amat menentang pemikiran sebegini,” kata Presiden Persatuan Juruterbang Syarikat Penerbangan (Alpa)-India, Encik Sam Thomas, dalam satu kenyataan pada 12 Julai.
Alpa – yang mendakwa mempunyai 100,000 ahli di seluruh dunia – turut meminta AAIB agar memasukkannya sebagai “pengamat supaya dapat memastikan ketelusan yang sewajarnya dalam siasatan”.
Nahas itu mengorbankan kesemua 242 penumpang kecuali seorang penumpang, serta meragut nyawa 19 individu di darat. – AFP.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg