MURIDKE (Pakistan): Rakaman video dari awal pagi 7 Mei menunjukkan cahaya terang-benderang dari kawasan kediaman di maktab yang terletak di luar Bahawalpur di tengah Pakistan ketika India menyerang jirannya sebagai tindak balas terhadap pembunuhan pelancong India di Kashmir.
Kawasan maktab itu telah dikosongkan dalam beberapa hari kebelakangan ini kerana spekulasi ia mungkin menjadi sasaran serangan India, tetapi keluarga Encik Masood Azhar, pengasas kumpulan militan Islam Jaish-e-Mohammed, masih berada di sana, menurut kumpulan itu.
Seramai 10 saudara-mara Encik Azhar adalah antara 13 orang yang terbunuh dalam serangan itu, termasuk wanita dan kanak-kanak, kata tentera Pakistan.
“Perdana Menteri India Narendra Modi telah begitu kejam dengan melanggar semua norma,” kata kumpulan itu dalam satu kenyataan.
“Kesedihan dan kejutan tidak dapat digambarkan,” kata kumpulan itu sambil menambah bahawa lima daripada mereka yang terbunuh adalah kanak-kanak dan yang lain termasuk kakak Encik Azhar dan suaminya.
Kumpulan itu tidak menjelaskan mengapa keluarga itu masih berada di tempat kejadian ketika serangan berlaku.
Azhar, yang sudah bertahun-tahun tidak kelihatan dan abangnya, Encik Abdul Rauf Asghar, timbalan ketua kumpulan itu, tidak menghadiri solat jenazah.
Lebih jauh ke utara, kira-kira setengah jam selepas tengah malam, empat peluru berpandu India melanda kompleks yang luas di Muridke selama enam minit, kata seorang pegawai pemerintah tempatan.
Serangan itu merobohkan sebuah masjid dan bangunan pentadbiran bersebelahan dan menimbus tiga orang di dalam runtuhan.
Papan tanda di luar menggambarkan tempat itu sebagai kompleks kesihatan dan pendidikan pemerintah, tetapi India mendakwa ia dikaitkan dengan kumpulan militan Lashkar-e-Taiba (LeT).
Delhi dan Washington pernah menyalahkan LeT atas serangan 2008 ke atas bandar Mumbai di India yang mengorbankan lebih 160 orang.
LeT telah pun diharamkan.
Serangan itu tidak menjejas bangunan lain di kompleks itu.
Seorang pegawai tempatan berkata bahawa biasanya terdapat sehingga 3,500 kakitangan dan pelajar di tempat itu, tetapi mereka telah dipindahkan sejak beberapa hari kebelakangan ini kerana bimbang ia akan menjadi sasaran.
Pakistan berkata India telah menyerang enam lokasi, membunuh 26 orang dan mencederakan 46, semuanya “orang awam yang tidak bersalah”.
Konflik antara India dengan Pakistan agak terhad dalam beberapa dekad kebelakangan ini kebanyakannya di kawasan pergunungan Kashmir yang dipertikaikan.
Tetapi serangan udara di bandar Bahawalpur dan Muridke dilihat di Islamabad sebagai peningkatan besar. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg