ISLAMABAD: India dan Pakistan saling melancarkan tembakan artileri berat di sempadan yang dipertikaikan pada 7 Mei.
Ini berlaku beberapa jam selepas New Delhi melancarkan serangan peluru berpandu ke atas seteru utamanya, dalam peningkatan ketegangan ketara antara dua negara bersenjata nuklear.
Sekurang-kurangnya 36 orang dilaporkan maut.
Islamabad memaklumkan bahawa 26 orang awam terbunuh akibat serangan dan tembakan dari India, manakala New Delhi pula menyatakan lapan maut akibat serangan balas dari Pakistan.
Pegawai tentera udara India, Encik Vyomika Singh, berkata “sembilan kem pengganas telah disasarkan dan berjaya dimusnahkan”, beberapa hari selepas India menuduh Islamabad bertanggungjawab ke atas serangan berdarah di wilayah Kashmir yang ditadbir India.
Tentera India menyatakan bahawa “keadilan telah ditegakkan” dan menambah bahawa tindakan mereka adalah “terarah, terkawal dan tidak bertujuan meningkatkan konflik.”
Menteri Pertahanan Pakistan, Encik Khawaja Muhammad Asif, menuduh Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, melancarkan serangan itu demi “mengukuhkan sokongan domestik,” namun menegaskan bahawa Pakistan telah pun bertindak balas.
“Tindakan balas telah pun bermula,” kata Encik Asif kepada AFP.
“Kami tidak akan mengambil masa lama untuk membalas.”
Jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, dalam sidang akhbar di Islamabad berkata Pakistan telah menembak jatuh lima jet pejuang India merentasi sempadan, termasuk tiga pesawat Rafale buatan Perancis, selepas pesawat itu menyerang wilayah Pakistan.
Beliau turut menambah bahawa sebuah loji jana kuasa hidro di Kashmir yang ditadbir Pakistan turut diserang, menyebabkan kerosakan pada struktur empangan.
Seorang pegawai kanan keselamatan India, yang enggan dinamakan, berkata tiga jet pejuang India terhempas di wilayahnya.
Jurufoto AFP turut melihat serpihan sebuah pesawat terhempas di Wuyan — di wilayah Kashmir yang ditadbir India.
Tentera Pakistan berkata 21 orang awam terbunuh akibat serangan, manakala lima lagi maut akibat tembakan senjata di sempadan.
Empat daripada mangsa adalah kanak-kanak, termasuk dua kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun.
Di Muzaffarabad, ibu kota Kashmir yang ditadbir Pakistan, tentera mengepung jalan-jalan berhampiran sebuah masjid yang menurut Islamabad telah terkena serangan.
Kesan letupan dapat dilihat pada dinding beberapa rumah.
Beberapa jam kemudian, tentera India menuduh Pakistan melakukan tembakan “tidak terkawal” merentasi Garisan Kawalan (LoC), sempadan de facto di Kashmir.
Wartawan AFP menyaksikan letusan api apabila peluru mendarat.
“Kami terjaga apabila terdengar bunyi tembakan,” kata Encik Farooq, seorang penduduk bandar Poonch di India, kepada agensi berita Press Trust of India dari katil hospitalnya. “Saya lihat tembakan merata-rata... dua orang cedera.”
Menurut pegawai tempatan, Ebcik Azhar Majid, kepada AFP, sekurang-kurangnya lapan orang terbunuh dan 29 lagi cedera di bandar itu.
India bertindak balas secara ketenteraan selepas serangan oleh lelaki bersenjata pada 22 April lalu ke atas pelancong di Kashmir, yang menyebabkan 26 orang mati, kebanyakannya lelaki Hindu, di kawasan pelancongan Pahalgam.
Tiada kumpulan mengaku bertanggungjawab setakat ini.
New Delhi menuduh Islamabad menyokong serangan tersebut, mencetuskan ancaman dan langkah diplomatik yang semakin tegang.
Pakistan menafikan tuduhan itu.
Kedua-dua negara telah berbalas tembakan hampir setiap malam sejak 24 April, menurut tentera India.
Pakistan juga memaklumkan bahawa dua ujian peluru berpandu telah dijalankan.
Serangan peluru berpandu pada 7 Mei ini dianggap sebagai peningkatan bahaya dalam konflik dua jiran Asia Selatan itu, yang telah berperang beberapa kali sejak merdeka daripada British pada 1947.
Serangan ini telah melebihi skala serangan India pada 2019, apabila New Delhi berkata ia menyasarkan “beberapa militan” selepas serangan berani mati membunuh 40 anggota keselamatan India.
“Serangan India kali ini jauh lebih besar berbanding tahun 2019... dan tindakan balas Pakistan juga melangkaui skala sebelumnya,” kata penganalisis berpangkalan di Amerika, Encik Michael Kugelman.
Pemimpin dunia kini turut menekan kedua-dua negara agar meredakan ketegangan.
Encik Stephane Dujarric, jurucakap kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Encik Antonio Guterres, berkata:
“Dunia tidak mampu menanggung konfrontasi ketenteraan antara India dan Pakistan.”
Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata kepada pemberita di Washington bahawa keadaan ini adalah “sesuatu yang menyedihkan”, dan beliau berharap pertempuran akan “segera dihentikan”.
Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, telah menghubungi pegawai keselamatan tertinggi di New Delhi dan Islamabad selepas serangan berlaku.
Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, mengutuk tindakan India sebagai “tidak berperikemanusiaan dan pengecut,” sambil berikrar bahawa “serangan kejam ini tidak akan dibiarkan tanpa pembalasan”.
Pemberontakan di Kashmir yang ditadbir India telah berlaku sejak 1989, dengan tuntutan kemerdekaan atau penggabungan bersama Pakistan.
India sering menuduh Pakistan menyokong kumpulan bersenjata yang menentangnya, satu tuduhan yang disangkal Islamabad.
Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, dijadualkan tiba di New Delhi pada 7 Mei, dua hari selepas lawatannya ke Islamabad, dalam usaha Teheran menjadi perantara.
India juga merancang beberapa latihan pertahanan awam pada 7 Mei, manakala pihak berkuasa tempatan Pakistan menutup sekolah-sekolah di Punjab.
Serangan itu berlaku hanya beberapa jam selepas Perdana Menteri Modi menyatakan bahawa India akan menghentikan aliran air merentasi sempadan.
Pakistan memberi amaran bahawa mengubah laluan sungai dari India ke wilayahnya adalah “tindakan perang.”
Ruang udara Pakistan dikesan tidak digunakan oleh pesawat dari dan ke India lewat malam 6 Mei hingga awal pagi 7 Mei, menurut data dari Flightradar24, susulan ketegangan yang meningkat antara dua negara jiran itu.
Syarikat penerbangan utama dunia telah membatalkan penerbangan di kawasan India dan Pakistan berikutan penutupan ruang udara serta lapangan terbang yang terjejas.
Singapore Airlines (SIA) dan syarikat penerbangan bajet miliknya, Scoot, telah menghentikan penggunaan ruang udara Pakistan berikutan pertempuran yang semakin memuncak antara Pakistan dengan India.
Kedua-dua syarikat penerbangan itu mula menggunakan laluan penerbangan alternatif sejak 6 Mei bagi mengelakkan kawasan konflik, sebagai langkah berjaga-jaga untuk keselamatan penumpang dan anak kapal.
Jurucakap SIA berkata penukaran laluan ini mungkin menyebabkan masa penerbangan menjadi sedikit lebih lama bagi beberapa destinasi, namun tidak menjelaskan secara terperinci laluan mana yang terjejas.
“Penumpang yang terjejas akan ditempatkan dalam penerbangan alternatif jika perlu, dan kami menggesa mereka untuk mengemas kini maklumat perhubungan mereka dengan SIA dan Scoot supaya maklumat terkini dapat disampaikan dengan segera,” kata jurucakap berkenaan.
SIA dan Scoot merupakan antara beberapa syarikat penerbangan Asia yang pada 7 Mei mengumumkan penukaran laluan atau pembatalan penerbangan ke dan dari Eropah, berikutan situasi keselamatan yang semakin memburuk antara dua negara bersenjata nuklear itu. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg