India–EU meterai perjanjian dagang di tengah ketidaktentuan era Trump
India–EU meterai perjanjian dagang di tengah ketidaktentuan era Trump
NEW DELHI: India dan Kesatuan Eropah (EU) akhirnya memuktamadkan satu perjanjian perdagangan bebas bersejarah selepas hampir dua dekad rundingan yang terhenti-henti, dalam langkah strategik untuk mengurangkan kebergantungan kepada Amerika Syarikat di tengah landskap geopolitik global yang semakin tidak menentu.
Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi, mengumumkan perkara itu pada 27 Januari, menyifatkan perjanjian tersebut sebagai satu pencapaian besar bukan sahaja untuk India dan Eropah, tetapi juga bagi ekonomi global.
“Semalam, satu perjanjian besar telah dimeterai antara Kesatuan Eropah dan India. Ramai di seluruh dunia menyifatkannya sebagai ‘ibu kepada semua perjanjian’,” kata Encik Modi dalam satu kenyataan video.
Beliau berkata perjanjian itu akan membuka peluang besar kepada 1.4 bilion penduduk India serta jutaan rakyat di Eropah. “Ini adalah contoh terbaik kerjasama antara dua ekonomi utama dunia,” katanya.
Encik Modi dijangka membuat pengumuman bersama Presiden Suruhanjaya Eropah, Cik Ursula von der Leyen, pada sidang kemuncak India–EU di New Delhi, dengan butiran lanjut mengenai perjanjian tersebut.
Perjanjian perdagangan bebas ini bakal membuka pasaran India yang besar, yang sebelum ini dilindungi ketat, kepada perdagangan bebas dengan 27 negara anggota EU, iaitu rakan dagang terbesar India..
Nilai perdagangan antara India dan EU mencecah AS$136.5 bilion (S$173.2 bilion) bagi tahun kewangan sehingga Mac 2025, menurut data rasmi. EU kini merupakan rakan dagang kesembilan terbesar India, manakala Amerika dan China masih mendominasi perdagangan Eropah.
Perjanjian itu dijangka membuka peluang besar dalam sektor automotif, apabila India bersetuju memberi akses pasaran yang lebih luas kepada syarikat Eropah, selain memudahkan kerjasama strategik antara pengeluar kereta di kedua-dua pihak.
Perjanjian ini dimeterai ketika hubungan global semakin rapuh, khususnya dengan pendekatan luar jangka Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, yang telah mencabar hubungan tradisional Barat melalui ancaman tarif dan langkah kontroversi di arena antarabangsa.
Encik Trump sebelum ini mengenakan tarif 50 peratus ke atas barangan dari India, manakala rundingan perdagangan India–Amerika gagal pada 2025 selepas hubungan antara kedua-dua pemerintah merosot.
Langkah India dan EU memeterai perjanjian ini dilihat sebagai usaha bersama untuk melindungi kepentingan ekonomi daripada ketidaktentuan dasar Washington.
Dalam tempoh yang sama, EU turut memeterai perjanjian perdagangan penting dengan blok Amerika Selatan Mercosur, selain perjanjian terdahulu dengan Indonesia, Mexico dan Switzerland. India pula memuktamadkan perjanjian perdagangan dengan Britain, New Zealand dan Oman dalam tempoh tujuh bulan lalu.
Rundingan perdagangan India–EU bermula pada 2007, namun terhenti pada 2013 akibat perbezaan ketara dalam isu akses pasaran. EU mendesak pengurangan duti import ke atas automotif, wain dan minuman keras, manakala India menuntut akses lebih luas bagi sektor farmaseutikal dan pergerakan profesionalnya.
Perbincangan itu hanya disambung semula pada 2022, didorong oleh gangguan rantaian bekalan global susulan pandemik Covid-19 dan perubahan landskap geopolitik.
Seorang pegawai kanan pemerintah India berkata perjanjian itu masih perlu melalui proses semakan perundangan, yang dijangka mengambil masa lima hingga enam bulan. “Kami menjangkakan perjanjian ini dapat dilaksanakan dalam tempoh setahun,” katanya.
Penganalisis melihat perjanjian ini sebagai satu anjakan strategik penting bagi kuasa pertengahan seperti India dan EU yang berusaha mempelbagaikan pergantungan ekonomi mereka, khususnya terhadap Amerika dan China.
Profesor Harsh V. Pant, Naib Presiden Kajian dan Dasar Luar di Yayasan Kajian Observer berkata perjanjian itu menghantar mesej jelas kepada Washington. “Bagi semua ketidaktentuan yang diwujudkan oleh Presiden Trump, masih ada rakan yang sehaluan dan sanggup bekerjasama antara satu sama lain,” katanya.
Beliau menambah bahawa perjanjian ini juga mencerminkan perubahan sikap EU yang kini lebih bersedia untuk terlibat dalam isu strategik dan keselamatan. “Ia menunjukkan sejauh mana susunan dunia telah berubah. EU yang sebelum ini berhati-hati dalam soal pertahanan dan strategi, kini sanggup mempertaruhkan hubungan lebih mendalam dengan India,” katanya.
Namun, hubungan EU–India tidak bebas daripada cabaran. Eropah masih memandang kritikal hubungan rapat India dengan Russia, khususnya dalam pembelian minyak, dan berharap New Delhi akan mengurangkan kebergantungannya kepada Moscow.
Walaupun begitu, EU melihat hubungan lebih rapat dengan India sebagai peluang untuk memperkukuh pengaruh strategik di Asia, selain membuka akses kepada pasaran pengguna yang besar dan berkembang pesat.
Kedua-dua pihak juga dijangka mengumumkan perjanjian pertahanan dalam sidang kemuncak sama, sejajar dengan kebimbangan terhadap perlindungan perdagangan Amerika dan pengunduran relatif Washington daripada peranan kepimpinan global.
Secara keseluruhan, perjanjian perdagangan India–EU ini menandakan satu langkah penting dalam pembentukan semula hubungan ekonomi global, ketika negara-negara utama mencari rakan baharu untuk menghadapi dunia yang semakin berpecah dan tidak menentu. - Agensi berita

