MUMBAI: India telah menggantung semua penerbangan awam di 24 lapangan terbang di utara negara itu, berikutan pertempuran yang semakin memuncak dengan seteru bersenjata nuklear, Pakistan.
Langkah ini diambil selepas ketegangan memuncak akibat serangan udara India pada 7 Mei yang menyasarkan apa yang didakwa sebagai “kem pengganas” di wilayah Kashmir yang dipertikaikan. Sejak itu, hampir 50 orang telah terkorban, kebanyakannya di wilayah Pakistan.
Lewat malam 8 Mei, pemerintah India mengeluarkan senarai 24 lapangan terbang yang ditutup sementara untuk penerbangan awam, termasuk di bandar Jodhpur, Ludhiana dan Amritsar yang terletak berhampiran sempadan barat dengan Pakistan.
Beberapa syarikat penerbangan utama India seperti Air India, IndiGo dan SpiceJet telah membatalkan lebih 100 penerbangan sejak 7 Mei. Media tempatan melaporkan bahawa penggantungan ini mungkin ditarik balik pada pagi 10 Mei bergantung kepada perkembangan situasi keselamatan.
Syarikat penerbangan India turut mengeluarkan nasihat perjalanan kepada penumpang di lapangan terbang lain, agar tiba sekurang-kurangnya tiga jam sebelum waktu berlepas, susulan notis pemerintah mengenai peningkatan langkah keselamatan di semua pintu masuk penerbangan.
Serangan udara pada 7 Mei berlaku dua minggu selepas New Delhi menuduh Islamabad menaja serangan ke atas pelancong di wilayah Kashmir yang ditadbir India, satu dakwaan yang telah dinafikan oleh Pakistan.
Sejak itu, kedua-dua negara telah berbalas serangan menggunakan dron, peluru berpandu dan tembakan artileri merentasi sempadan Kashmir yang dipertikaikan.
Peningkatan keganasan ini mencetuskan kebimbangan kemungkinan tercetusnya konflik lebih besar antara dua jiran yang telah lama bermusuhan. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg