TOKYO: Negara-negara di Asia termasuk Jepun, Korea Selatan serta India memantau dengan teliti kes mpox atau cacar monyet sedang Menteri Kesihatan Republik Demokratik Congo (DRC), Encik Samuel-Roger Kamba, mengisytiharkan wabak mpox yang sedang melanda kini sebagai “kecemasan benua”.
Encik Kamba melaporkan bahawa sejak awal 2024 ini, DRC merekodkan sebanyak 16,700 kes mpox yang disahkan atau disyaki, termasuk lebih 570 kematian – peningkatan berbanding 15,664 kes disyaki dan 548 kematian yang dilaporkan minggu lepas, lapor Xinhua.
Penyakit itu menjejas 17 negara di Afrika dan beberapa negara lain di luar benua itu, memberi impak ketara kepada golongan muda terutamanya kanak-kanak di bawah umur 15 tahun.
“Tetapi saya ingin mengingatkan bahawa vaksin hanyalah sebahagian daripada tindak balas... barisan pertahanan pertama ialah pematuhan kepada langkah-langkah pencegahan,” kata menteri itu sambil menegaskan bahawa negara itu akan menerima bekalan vaksin mpox minggu depan.
China dilaporkan akan perketat pengawasan di pintu-pintu masuk ke negara itu. Penerbangan dan kapal yang membawa kontena, serta kargo, yang tiba dari negara dan kawasan dengan kes mpox juga akan diteliti, lapor berita tempatan.
Langkah-langkah ini mula berkuat kuasa pada 15 Ogos, dan akan dilaksanakan selama enam bulan akan datang.
Walaupun kes terakhir mpox di India dikesan pada Mac, dan sehingga 18 Ogos tiada kes dilaporkan di negara itu, pihak berkuasa kesihatan juga telah mengumumkan bahawa mereka akan meningkatkan pengawasan. India akan berusaha mengesan potensi kes dengan segera, serta meningkatkan keupayaan ujian makmal untuk diagnosis awal.
Pegawai di Jepun pula bertemu pada 16 Ogos bagi membincangkan tindakan dan mengkaji semula strategi. Pihak berkuasa merancang untuk meningkatkan kesedaran tentang mpox dan penyebarannya di kalangan pelancong yang masuk dan keluar negara itu, lapor The Japan Times.
Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea (KDCA) mengatakan walaupun situasi mpox masih “boleh diurus” di bawah langkah-langkah sedia ada, ia tetap akan meningkatkan usaha kuarantin dan pengawasan.
Korea juga merancang untuk meningkatkan kempen kesedaran untuk menggesa mereka yang mempunyai simptom berjumpa doktor dengan segera.
Pada 15 Ogos lalu, Sweden melaporkan kes pertama yang diketahui di luar Afrika. Kemudian pada 19 Ogos, Filipina melaporkan kes pertama mpox sejak Disember 2023, walaupun ia masih belum mengenal pasti variannya. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg