Kesihatan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pengalaman pesakit mpox

Aug 26, 2024 | 5:30 AM
Pesakit mendengar nasihat doktor di luar bilik konsultasi pusat rawatan mpox di Hospital Rujukan Besar Nyiragongo, utara Goma, Republik Congo pada 17 Ogos 2024.
Pesakit mendengar nasihat doktor di luar bilik konsultasi pusat rawatan mpox di Hospital Rujukan Besar Nyiragongo, utara Goma, Republik Congo pada 17 Ogos 2024. - Foto AFP

LONDON/NEW YORK: Seorang lelaki dari London yang mengalami jangkitan mpox yang sebelum ini dikenali sebagai cacar monyet menyifatkan keadaan yang dialaminya sebagai lebih teruk berbanding Covid-19.

Lelaki tersebut, Encik Harun Tulunay, 35 tahun, berkongsi kisahnya untuk meningkatkan kesedaran ramai mengenai penyakit yang kini diisytiharkan sebagai darurat kesihatan sejagat oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Encik Harun pada awalnya menyangka beliau hanya mengalami kesan sampingan jangkitan Covid-19 yang baru dialaminya.

Namun, setelah beberapa hari mengalami demam dan kesakitan yang teruk, beliau mula sedar bahawa keadaan dirinya adalah lebih serius daripada jangkitan biasa.

Manakala seorang lelaki di Texas, Amerika Syarikat, memberi amaran bahawa mpox adalah “100 kali lebih teruk daripada Covid-19” selepas beliau dijangkiti penyakit itu.

Encik Luke Shannahan yang bekerja sebagai pelayan bar di Dallas, dalam satu temu bual mendedahkan penyakit itu menyebabkan beliau mengalami demam mencecah 38 darjah Celsius, sakit kepala dan kelenjar limfa membengkak.

Lepuh kemudian meletus di seluruh badannya yang sangat menyakitkan seperti “seseorang menggunakan pengupas kentang pada kulit anda” setiap kali menyentuh sesuatu, cerita Encik Shannahan.

Permulaan Gejala

Encik Harun menceritakan bahawa demamnya bermula pada 10 Jun, dengan suhu badannya meningkat sehingga 39.7 darjah Celsius.

Beliau rasa tidak sihat dan mengalami kesejukan yang luar biasa sehingga terpaksa menggunakan empat lapisan selimut untuk mengurangkan rasa sejuk.

Namun begitu, ujian Covid-19 yang dilakukan menunjukkan hasil negatif.

Keadaan itu menyebabkan Encik Harun bingung mengenai apakah yang sebenarnya sedang berlaku pada dirinya.

“Pada mulanya, saya hanya rasakan bahawa ini adalah kesan daripada demam biasa.

“Namun, selepas dua hari, saya perasan ada lepuh kecil pada hidung saya. Ketika itu, saya tidak memberi perhatian serius dan menyangka ia adalah jerawat,” kata Harun.

Keadaan Semakin Merosot

Keadaan Encik Harun tidak menunjukkan sebarang tanda pemulihan walaupun setelah seminggu berlalu.

Kesakitannya semakin bertambah teruk sehingga beliau tidak dapat tidur dan sering pengsan akibat suhu badan yang terlalu tinggi.

Biarpun telah beberapa kali menghubungi perkhidmatan kecemasan, beliau tidak mendapat jawapan yang memuaskan mengenai keadaannya.

“Saya telah menghubungi talian kecemasan beberapa kali, namun mereka hanya mengulangi nasihat yang sama.

“Saya diminta untuk menghubungi mereka kembali jika keadaan bertambah teruk, namun setiap kali saya hubungi, jawapan yang diberikan adalah sama,” jelasnya.

Encik Harun akhirnya dinasihatkan agar mengunjungi klinik kesihatan seksual bagi menjalani ujian mpox.

Ketika itu, beliau masih tidak pasti apakah penyakit sebenar yang dihidapinya.

Beliau memakai pelitup muka dan bergerak melalui laluan khas yang disediakan di klinik tersebut bagi memastikan dirinya tidak menjangkiti orang lain.

Diagnosis Mpox

Setelah menjalani ujian di klinik kesihatan seksual, Encik Harun akhirnya disahkan menghidap mpox dan dimasukkan ke hospital.

“Saya hanya mahu tahu apa yang berlaku kepada saya dan tindakan apa yang boleh diambil.

“Saya tidak mahu mati akibat demam yang tinggi, ketidakpastian mengenai apa yang saya alami adalah sesuatu yang sangat membimbangkan,” kata Encik Harun.

Pengalaman beliau di hospital juga tidak kurang mencabar. Beliau sukar menelan makanan dan berasa sangat lemah.

“Lepuh yang muncul pada wajah saya sangat besar dan menakutkan. Saya menangis kerana bimbang ia akan meninggalkan parut yang kekal.

“Bangun di tengah malam dalam keadaan menggigil kesejukan, dan berada dalam bilik pengasingan tanpa mengetahui sama ada ubat yang diberikan akan berkesan atau tidak, adalah pengalaman yang sangat menakutkan,” katanya.

Kesedaran Tentang Mpox

Encik Shannahan pula diberi vaksin mpox selepas beliau didiagnosis, tetapi masih terlantar di katil selama dua hari dan berasa sangat sakit.

Beliau tidak pasti bagaimana beliau dijangkiti. Namun mengakui pernah pergi ke bar, pesta kolam dan festival muzik pada hari-hari sebelumnya.

Menyifatkan pengalaman itu sebagai paling traumatik dan sakit paling teruk yang pernah beliau alami, Encik Shannahan menambah:

“Anda mempunyai lepuh ini dan bila-bila masa ia menyentuh sesuatu, benar-benar terasa seperti seseorang menggunakan pengupas kentang pada kulit anda.”.

Dua hari kemudian suhu badannya meningkat, sakit kepala berterusan dan nodus limfa bengkak. Ia diikuti dengan lepuh yang menyakitkan.

“Kesakitan dan kepedihannya adalah berterusan,” katanya.

Ditanya sama ada ia seperti Covid-19, beliau menambah: “Oh... 100 kali lebih teruk. Ini adalah tahap keletihan melampau yang berbeza sama sekali.”

Encik Shannahan menjalani kuarantin di rumah, sekurang-kurangnya selama tiga minggu.

Menurut garis panduan rasmi, pesakit perlu menjalani kuarantin sehingga semua lepuh mereka yang berkudis dan kudis telah hilang kerana ini juga boleh menyebarkan virus.

Melalui pengalaman mereka, Encik Harun dan Encik Shannahan ingin menyampaikan mesej kepada orang ramai mengenai bahaya mpox, terutama kerana pengetahuan tentang penyakit ini masih terhad.

Encik Harun berharap dengan berkongsi kisahnya, lebih ramai orang akan sedar dan mengambil langkah berjaga-jaga.

“Saya ingin berkongsi pengalaman saya untuk mendidik orang ramai mengenai mpox.

“Kes saya adalah sangat jarang berlaku... kesan kepada saya adalah jauh lebih teruk,” ujar Encik Harun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg