Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Ye Kung: Cacar monyet di Afrika sangat membimbangkan, virus dijangka tiba di S’pura

Aug 17, 2024 | 5:11 PM
Kes virus mpox atau cacar monyet yang melonjak pesat di beberapa negara Afrika, dijangka merebak ke Timur Tengah dan Eropah.
Kes virus mpox atau cacar monyet yang melonjak pesat di beberapa negara Afrika, dijangka merebak ke Timur Tengah dan Eropah. - Foto EPA-EFE

Wabak cacar monyet atau mpox di Afrika dan negara lain adalah “sangat membimbangkan” dan Singapura menjangkakan virus itu akan tiba kelak ke negara ini.

Memberi maklumat terkini pada 17 Ogos, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata risiko wabak itu merebak di Asia dan Singapura adalah rendah kerana tiada penerbangan langsung ke kawasan terjejas di Afrika.

Namun, kes virus berkenaan melonjak pesat di beberapa negara Afrika dan dijangka merebak ke Timur Tengah dan Eropah.

“Saya boleh katakan, secara umum, ini adalah situasi yang sangat membimbangkan, terutama untuk benua Afrika.

“Tetapi saya fikir kita harus menanganinya atas dasar bahawa cacar monyet akan tiba di Asia. Dan mungkin, Singapura akan menjadi salah satu tempat pertama yang mengesan kes ini kerana sambungan penerbangan kita (ke Timur Tengah dan Eropah),” kata Encik Ong.

Beliau berkata demikian di luar acara pameran kemahiran dan kerjaya di Bukit Canberra, Sembawang.

“Ini sesuatu yang membimbangkan. Kita sepatutnya berjaga-jaga. Kita seharusnya jangkakan ia akan tiba di Singapura, dan kemudian apabila ia berlaku, bertindak dengan sewajarnya dan berkesan,” tambah beliau.

Cacar monyet, menyebabkan simptom seperti selesema dan kudis bernanah pada badan.

Subvarian baru yang lebih bahaya – clade I – membimbangkan pakar kesihatan global kerana keupayaannya merebak dengan mudah melalui hubungan rapat termasuk hubungan seksual.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada 14 Ogos mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan awam global buat kali kedua dalam tempoh dua tahun.

Sebanyak 27,000 kes dan lebih 1,100 kematian terjadi kerana wabak terkini itu sejak Januari 2023, sebahagian besarnya menjejas kanak-kanak.

Pada Julai, lebih 100 kes varian baru dilaporkan di empat negara jiran Republik Demokratik Congo yang tidak pernah melaporkan cacar monyet sebelum ini iaitu Burundi, Kenya, Rwanda dan Uganda.

WHO berkata jumlah sebenar kes cacar monyet ini mungkin lebih tinggi kerana sebahagian besar kes belum diuji.

Berikutan wabak di Congo dan negara-negara sekitarnya, Sweden pada 15 Ogos mengumumkan kes pertama cacar monyet yang disebabkan varian clade I ini.

Sehingga kini, semua jangkitan yang dikesan di Singapura adalah yang lebih ringan atau tergolong dalam varian clade II. Kebanyakannya berlaku semasa wabak global antara 2022 dengan 2023.

Singapura mempunyai 12 kes cacar monyet sejak Januari 2024, yang disahkan Kementerian Kesihatan (MOH) dengan kededuanya varian clade II.

Terdapat 32 kes di sini pada 2023, manakala 18 kes pula disahkan pada 2022 sejak laporan penyakit itu bermula pada akhir Jun 2022.

Menurut Encik Ong lagi, apabila cacar monyet merebak ke sini, Singapura perlu pertimbangkan beberapa perkara bagi memahami apa yang berlaku.

Pertama, perlu difahami kadar keterukan virus itu. Menurutnya, varian clade II mempunyai kadar kematian rendah iaitu 0.2 peratus, bererti bagi setiap 1,000 orang yang dijangkiti, terdapat dua kematian. Varian clade I mempunyai kadar kematian 3.5 hingga 4 peratus manakala varian clade 1b pula mempunyai kadar kematian 0.7 peratus.

Kedua, perlu difahami siapa yang terjejas oleh virus ini, di mana dapat dilihat di Afrika, ia lebih menjejas kanak-kanak di bawah usia 15 tahun memandangkan mereka tidak diberi suntikan cacar.

Akhir sekali, penting memahami cara virus ini menjangkiti dan kaedah jangkitannya.

Encik Ong berkata: “Tidak ada bukti yang menunjukkan bahawa ia merebak seperti Covid-19, di mana ia boleh merebak jauh dan luas melalui partikel udara.”

Kementerian Kesihatan (MOH) sedang memantau rapi situasi cacar monyet ini sedang ia merebak ke negara lain tetapi menambah penduduk Singapura juga harus tahu tentang situasi ini dan memastikan diri mereka sihat.

“Jika anda sihat, anda kurang berkemungkinan terjejas dengan semua penyakit ini. Sama juga seperti dalam kes Covid-19, ia juga serupa dalam perihal cacar monyet,” tambahnya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg