Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

India: Letupan Delhi serangan pengganas, dikait tangkapan di Kashmir

Nov 13, 2025 | 12:48 PM
red fort, attack, india
Para pegawai keselamatan mengawal tempat berlakunya letupan melibatkan sebuah kereta di depan Red Fort, benteng bersejarah di Delhi, India, pada 12 November. - Foto REUTERS

NEW DELHI: Pemerintah India mengesahkan pada pada 12 November bahawa letupan kereta yang mengorbankan 12 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 20 lain di Delhi sebagai “insiden keganasan” dan berikrar untuk membawa pelaku ke muka pengadilan secepat mungkin.

Kabinet Perdana Menteri Encik Narendra Modi berkata: “Negara ini telah menyaksikan insiden keganasan keji, yang dilakukan oleh pasukan antinasional, melalui letupan kereta berhampiran Red Fort pada petang 10 November 2025. Letupan itu meragut banyak nyawa dan menyebabkan kecederaan kepada beberapa orang lain.

“Kabinet memberi penghormatan kepada mangsa-mangsa tindakan keganasan yang tidak masuk akal ini dan menyampaikan ucapan takziah yang tulus ikhlas kepada keluarga yang berduka.”

Kabinet telah mengarahkan agar siasatan terhadap insiden itu segera dijalankan supaya pelaku, rakan dan penaja mereka dikenal pasti dan dibawa ke muka pengadilan tanpa berlengah, tambahnya.

Terdahulu, tiga sumber yang biasa dengan siasatan terhadap insiden itu berkata polis sedang memeriksa sama ada terdapat kaitan antara letupan itu dengan penangkapan sebelumnya terhadap sekumpulan tujuh lelaki dari wilayah Kashmir yang bergolak dengan senjata dan bahan pembuatan bom.

Letupan pada petang 10 November di luar Red Fort bersejarah Delhi adalah letupan pertama seumpamanya di bandar yang dikawal ketat dengan lebih 30 juta orang sejak 2011.

Pihak berkuasa India sedang menyiasat daripada semua sudut letupan itu di bawah undang-undang antipengganasan yang ketat.

Namun, mereka tidak menamakan sesiapa atau membuat sebarang tangkapan berkaitan dengan letupan itu.

Amerika Syarikat telah menawarkan bantuan untuk India menyiasat letupan itu, kata Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio.

“Mereka tidak memerlukan bantuan kami, dan mereka melakukan tugas yang baik,” katanya kepada pemberita di Canada selepas mesyuarat menteri luar Kumpulan Tujuh (G7).

Beberapa jam sebelum letupan di Delhi, polis di wilayah Jammu dan Kashmir telah menahan tujuh lelaki, termasuk dua doktor, berkaitan dengan siasatan dan penggeledahan antikeganasan yang berasingan di Kashmir, dan di negeri Haryana dan Uttar Pradesh yang bersempadan dengan Delhi.

Polis menemui dua pistol, dua senapang dan 2,900 kilogram bahan pembuatan bom semasa serbuan itu, menurut kenyataan polis Kashmir.

Menurut polis, mereka yang ditahan itu dikaitkan dengan kumpulan militan yang berpangkalan di Pakistan, Jaish-e-Mohammad dan Ansar Ghazwat-ul-Hind.

Pejabat luar Pakistan tidak segera memberi respons kepada permintaan untuk komen. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg