ISLAMABAD/NEW DELHI: Hanya beberapa bulan selepas konflik antara India dan Pakistan pada Mei 2025 menggoncang Asia Selatan, gelombang baru keganasan kembali memburukkan hubungan dua jiran bersenjata nuklear itu.
Dalam tempoh 24 jam, dua letupan besar berlaku di ibu negara masing-masing, mengorbankan berpuluh-puluh nyawa dan mencederakan ramai, sekali gus mencetuskan kebimbangan terhadap kemungkinan tercetusnya satu lagi krisis ketenteraan di rantau tersebut.
Pada petang Isnin, 10 November 2025, sebuah kereta meletup berhampiran kubu bersejarah Red Fort di New Delhi selepas berhenti di lampu isyarat. Letupan itu menggegarkan kawasan pelancongan popular itu dan meragut sekurang-kurangnya 20 nyawa. “Saya memberi jaminan bahawa pihak berkuasa akan memburu dalang di sebalik serangan ini. Tiada siapa akan terlepas daripada hukuman,” tegas Perdana Menteri India, Encik Narendra Modi.
Pihak berkuasa India percaya kumpulan Islamis berpangkalan di Kashmir mungkin terlibat, namun belum menuduh mana-mana pihak secara rasmi. Siasatan masih dijalankan oleh unit khas keselamatan negara itu, sementara New Delhi diletakkan dalam tahap berjaga-jaga tertinggi.
Namun belum sempat India pulih daripada kejutan tersebut, tragedi berdarah melanda Islamabad pada keesokan harinya. Pada tengah hari Selasa, 11 November, seorang pengebom bunuh diri meletupkan diri berhampiran kenderaan polis di luar bangunan mahkamah daerah selepas dihalang daripada memasuki kawasan kompleks itu. Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan 27 lagi cedera dalam insiden tersebut.
Kumpulan militan Jamaat-ul-Ahrar, cabang kecil daripada Tehreek-e-Taliban Pakistan (TTP), mendakwa bertanggungjawab terhadap serangan itu. Namun, jurucakap rasmi TTP menafikan penglibatan kumpulan induk mereka.
Tanpa mengemukakan bukti, Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, menuduh India sebagai dalang serangan berkenaan dan mendakwa penyerang mendapat perlindungan di Afghanistan. “Sudah tiba masanya dunia mengecam konspirasi jahat India ini. Kedua-dua serangan merupakan contoh terburuk keganasan negara yang disokong oleh India,” katanya dalam kenyataan rasmi.
Kenyataan itu pantas dibidas oleh jurucakap Kementerian Luar India, Encik Randhir Jaiswal, yang menegaskan: “India menolak sekeras-kerasnya tuduhan tidak berasas dan tidak berfakta tersebut.”
Sementara itu, Menteri Pertahanan Pakistan, Encik Khawaja Asif, menyatakan negaranya kini berada dalam keadaan perang. “Sesiapa yang berfikir bahawa Tentera Pakistan hanya berperang di sempadan Afghanistan atau di Balochistan perlu sedar bahawa serangan berani mati di Mahkamah Daerah Islamabad ini adalah amaran. Ini adalah peperangan untuk seluruh Pakistan,” ujarnya.
Serangan yang berlaku hampir serentak di kedua-dua negara meningkatkan ketegangan diplomatik dan menimbulkan kebimbangan akan tercetusnya konfrontasi baru. India dan Pakistan telah lama saling menuduh antara satu sama lain menaja kumpulan militan proksi, dan peristiwa terbaru ini mengukuhkan lagi rasa tidak percaya yang mendalam antara kedua-duanya.
Bagi ramai pemerhati, keadaan ini mengingatkan kembali kepada perang singkat tetapi sengit antara kedua-dua negara pada Mei 2025, yang tercetus selepas pembunuhan pelancong India di Kashmir. Konflik tersebut berakhir hanya selepas gencatan senjata yang ditengahi oleh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada bulan Mac. Namun, ketegangan asas di antara New Delhi dan Islamabad kekal tidak terselesaikan.
Di sebalik serangan ini, muncul pula dimensi baru dalam dasar pertahanan Pakistan. Pada Ogos 2025, bersempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-78, negara itu menubuhkan Pasukan Pemerintah Roket Tentera Darat (ARFC) - pasukan khas yang mengendalikan sistem misil konvensional secara berasingan daripada keupayaan nuklear. Langkah ini dilihat sebagai usaha untuk memperkukuh daya gentar ketenteraan sambil mengurangkan risiko eskalasi nuklear.
ARFC berfungsi untuk meningkatkan keupayaan Pakistan melancarkan serangan konvensional dengan lebih tepat melalui siri misil berpandu Fatah I dan II, yang mampu mengelak pertahanan udara musuh. Menurut penganalisis pertahanan, langkah ini mencerminkan strategi baharu Islamabad untuk membalas sebarang tindakan India dengan tindak balas konvensional yang pantas dan bersasar.
Ketika berucap pada perbarisan tamat latihan di Akademi Ketenteraan Pakistan pada Oktober lalu, Field Marshal Asim Munir memberi amaran bahawa Pakistan akan bertindak balas “melebihi kadar” terhadap sebarang pencerobohan India, termasuk mengenakan “kerugian ketenteraan dan ekonomi” besar-besaran. Kenyataan beliau turut menyebut kemungkinan menyasarkan kilang penapisan minyak utama India — mesej yang segera menarik perhatian New Delhi.
Namun, strategi ini juga menimbulkan kebimbangan baru. Pemisahan antara kemampuan konvensional dan nuklear mungkin mengurangkan risiko perang nuklear, tetapi ia juga meningkatkan kemungkinan konflik konvensional yang lebih memusnahkan sejak awal.
“Mengurangkan risiko nuklear tidak bermakna menghapuskan bahaya perang besar. Risiko kematian ratusan orang dalam konflik misil konvensional tetap satu realiti menakutkan,” menurut seorang penganalisis pertahanan tempatan.
India pula tidak berdiam diri. Negara itu sedang mempercepat program Misi Sudarshan Chakra, sebuah sistem pertahanan udara dan misil bersepadu yang bertujuan melindungi infrastruktur strategik serta awam menjelang tahun 2035. Dalam konflik terdahulu, sistem pertahanan udara India berjaya memintas beberapa misil Pakistan, menunjukkan betapa pentingnya perlumbaan teknologi ketenteraan kini bagi kedua-dua negara.
Dengan kedua-dua pihak memperkukuh kekuatan ketenteraan masing-masing dan retorik keras terus bergema, Asia Selatan kini berada di ambang satu lagi ketegangan besar. Seperti yang diingatkan oleh penganalisis serantau, “Setiap kali peluru meletup di Delhi atau Islamabad, risiko perang yang lebih besar tidak pernah jauh dan dunia perlu bimbang akan apa yang berlaku seterusnya.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg