ISLAMABAD: India dan Pakistan saling tuduh menuduh satu sama lain kerana melanggar gencatan senjata pada awal 11 Mei – beberapa jam selepas Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump mengumumkan bahawa negara jiran bersenjata nuklear itu telah berundur dari ambang perang besar-besaran.
Setiausaha Luar India berkata Pakistan telah melakukan “pelanggaran berulang” terhadap gencatan senjata dan bahawa ia terpaksa bertindak balas.
Pakistan pula berkata ia “tetap komited” kepada gencatan senjata – bahawa tenteranya mengendalikan pelanggaran oleh India dengan “tanggungjawab dan kekangan.”
Sebelum ini, kakitangan AFP di Srinagar, Kashmir yang ditadbir India melaporkan mendengar beberapa siri letupan kuat.
Seorang pegawai kanan di Kashmir yang dikendalikan Pakistan memberitahu AFP bahawa “pertukaran tembakan sekejap-sekejap sedang berlangsung” merentasi sempadan de facto di wilayah yang dipertikaikan, Garisan Kawalan (LoC).
Pada 10 Mei, Pakistan dan India telah bersetuju melaksanakan gencatan senjata penuh dan segera selepas beberapa hari serangan jet pejuang, peluru berpandu, dron dan artileri maut yang membunuh sekurang-kurangnya 60 orang.
Serangan juga telah memaksa beribu-ribu orang awam meninggalkan kediaman mereka di sepanjang sempadan mereka di Kashmir yang berpecah itu.
Berita itu telah diumumkan secara mengejutkan oleh Encik Trump.
“Selepas rundingan malam yang panjang dengan Amerika Syarikat sebagai pengantara, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa India dan Pakistan telah bersetuju dengan gencatan senjata penuh dan segera.
“Tahniah kepada kedua-dua negara kerana menggunakan akal dan kepintaran,” tulis Encik Trump.
Setiausaha Luar India, Encik Vikram Misri, berkata sebelum ini bahawa kedua-dua pihak akan “menghentikan semua serangan dan tindakan ketenteraan di darat, udara dan laut” berkuat kuasa 5 petang (7.30 malam di Singapura).
Namun, beliau kemudian menuduh Pakistan melakukan “pelanggaran berulang” dan berkata angkatan bersenjata India “memberi tindak balas yang mencukupi dan wajar.”
Sementara itu, kementerian luar di Islamabad berkata Pakistan “tetap komited kepada pelaksanaan” gencatan senjata.
Menuduh India melakukan pelanggaran sendiri, ia berkata tentera Pakistan “sedang mengendalikan keadaan dengan penuh tanggungjawab dan kekangan.”
Ia menggesa isu gencatan senjata dikendalikan “melalui komunikasi pada tahap yang sesuai” dan menggesa tentera di darat supaya turut menahan diri.
Menerusi platform X, Perdana Menteri Pakistan Encik Shehbaz Sharif berkata negaranya “menghargai” campur tangan Amerika.
“Pakistan percaya ini menandakan permulaan baru dalam penyelesaian isu yang melanda rantau ini dan sedang menghala ke arah mencapai keamanan, kemakmuran dan kestabilan,” tulisnya.
Konflik itu dicetuskan oleh serangan pada April di bahagian Kashmir yang ditadbir India yang mengorbankan 26 pelancong, yang Delhi persalahkan Islamabad.
India menuduh kumpulan militan Lashkar-e-Taiba yang berpangkalan di Pakistan, melakukan serangan itu tetapi Islamabad menafikannya.
Militan telah meningkatkan operasi di Kashmir sejak 2019, apabila Perdana Menteri India Encik Narendra Modi membatalkan autonomi terhadnya dan meletakkan negeri itu di bawah pemerintahan langsung dari New Delhi.
Kedua-dua negara telah berperang beberapa kali, menuntut sepenuhnya wilayah Kashmir tetapi mentadbir bahagian berasingan sejak memperoleh kemerdekaan daripada pemerintahan British pada 1947. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg