ISLAMABAD: India dan Pakistan telah bersetuju dengan “gencatan senjata sepenuhnya dan segera,” kata Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump dalam satu hantaran di media sosial pada 10 Mei.
Dalam hantaran di Truth Social, Encik Trump berkata:
“Selepas rundingan malam yang panjang dengan Amerika Syarikat sebagai pengantara, saya dengan sukacitanya mengumumkan bahawa India dan Pakistan telah bersetuju dengan gencatan senjata penuh dan segera.
“Tahniah kepada kedua-dua negara kerana menggunakan akal dan kepintaran.
“Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini!”
Sebelum ini, Pakistan berkata ia melancarkan operasi ketenteraan terhadap India pada awal 10 Mei, menyasarkan beberapa pangkalan termasuk tapak penyimpanan peluru berpandu di utara India ketika kededua negara jiran itu melanjutkan pertempuran terburuk mereka dalam hampir tiga dekad.
Serangan Pakistan berlaku sejurus selepas ia berkata India telah melepaskan peluru berpandu ke tiga pangkalan udara lebih awal pada 10 Mei, termasuk satu berhampiran dengan ibu negara, Islamabad.
Namun pertahanan udara Pakistan memintas kebanyakan daripada peluru berpandu tersebut.
Terpalit dalam pertikaian lama mengenai Kashmir, kedua-dua negara terlibat dalam pertempuran setiap hari sejak 7 Mei apabila India melancarkan serangan ke atas Pakistan dengan apa yang disifatkan sebagai pangkalan militan.
Pakistan berikrar untuk membalas.
“Tapak simpanan BrahmMos telah dimusnahkan di kawasan umum Beas,” kata tentera Pakistan dalam satu mesej kepada wartawan, sambil menambah bahawa Lapangan Terbang Pathankot di Punjab, barat India dan Stesen Tentera Udara Udhampur di Kashmir India turut musnah.
Kementerian pertahanan dan luar India tidak segera menjawab permintaan untuk mengulas.
Tentera India dijangka memberi taklimat kepada media tidak lama lagi, kata kementerian pertahanan.
Menteri Penerangan Pakistan berkata dalam catatan di laman sosial X bahawa operasi ketenteraan itu dinamakan “Operasi Bunyanun Marsoos”.
Istilah ini diambil daripada Al-Quran yang bermaksud struktur yang kukuh dan bersatu.
Menteri Perancangan Pakistan berkata pada televisyen tempatan bahawa “langkah-langkah khas” telah diambil untuk mengelak tempat orang awam dengan menyasar lokasi yang telah digunakan India untuk menyasar Pakistan.
Tentera Pakistan berkata perdana menteri telah mengadakan mesyuarat Pihak Berkuasa Perintah Kebangsaan, badan tertinggi pegawai awam dan tentera, yang menyelia keputusan mengenai senjata nuklearnya.
Bunyi letupan dilaporkan di Srinagar dan Jammu di India, tempat semboyan dibunyikan, kata seorang saksi kepada Reuters.
“Menerusi pesawatnya, India melancarkan peluru berpandu udara ke permukaan... pangkalan Nur Khan, pangkalan Mureed dan pangkalan Shorkot dijadikan sasaran,” kata jurucakap tentera Pakistan, Leftenan Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry dalam satu kenyataan televisyen lewat malam.
Ketua menteri Kashmir India, Encik Omar Abdullah berkata dalam satu kenyataan bahawa seorang pegawai pentadbiran tempatan telah terbunuh akibat tembakan di Rajouri, berhampiran garis kawalan yang membahagikan wilayah yang dipertandingkan.
Salah satu pangkalan udara terletak di bandar garisan Rawalpindi, tepat di luar ibu kota Islamabad dan dua lagi berada di wilayah timur Pakistan, Punjab, yang bersempadan dengan India.
Jurucakap tentera Pakistan berkata hanya beberapa peluru berpandu berjaya melepasi pertahanan udara dan ia tidak mengena mana-mana “aset udara”, menurut penilaian kerosakan awal.
India berkata serangannya pada 7 Mei, yang memulakan pertempuran antara kededua negara itu, adalah sebagai tindakan balas terhadap serangan maut ke atas pelancong Hindu di Kashmir India pada April. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg