NEW DELHI/ISLAMABAD: India dan Pakistan bertukar-tukar askar yang ditawan pada 14 Mei sebagai tanda lanjutan gencatan senjata yang menamatkan pertempuran paling sengit dalam beberapa dekad.
Pertukaran itu berlaku di sempadan Attari-Wagah, kawasan utama yang melintasi India dan Pakistan.
Pasukan Keselamatan Sempadan India berkata salah seorang askarnya telah dikembalikan selepas tiga minggu ditahan.
Seorang pegawai Pakistan pula berkata menambah, seorang pengawal sempadan India telah diserahkan sebagai pertukaran seorang anggota Renjer Pakistan, pasukan separa tentera, yang ditahan di India selama hampir dua minggu.
Setiap askar telah memasuki negara satu sama lain secara tidak sengaja dan telah ditahan pada hari-hari menjelang konfrontasi tentera minggu lalu.
India telah menyerang sasaran di dalam Pakistan sebagai tindak balas terhadap serangan pengganas pada April di bahagian India di Kashmir.
India menyalahkan serangan yang mengorbankan 26 orang pelancong ke atas Pakistan.
Pakistan bagaimanapun telah menafikan penglibatannya itu.
Serangan itu dengan cepat meningkat kepada konfrontasi ketenteraan yang sengit selama empat hari antara dua negara berjiran itu.
Namun, ketegangan itu reda setelah Amerika Syarikat membantu kedua-dua negara mencapai persetujuan melaksanakan gencatan senjata pada 10 Mei.
Ekorannya, keadaan mula kembali normal di kedua-dua belah sempadan pada hari-hari sejak gencatan senjata dilaksanakan.
Penerbangan komersial telah disambung semula, dan warga Kashmir telah mula kembali ke rumah mereka yang rosak semasa konfrontasi ketenteraan antara kedua-dua negara itu.
Pertukaran tawanan askar itu berlaku dua hari selepas India mengarahkan seorang diplomat Pakistan meninggalkan negara itu dalam tempoh 24 jam ketika ketegangan memuncak berikutan serangan sengit antara dua jiran bersenjata nuklear itu sebelum gencatan senjata dipersetujui minggu lalu.
Pegawai yang tidak dinamakan itu dan ditempatkan di Kedutaan Pakistan di New Delhi telah dituduh oleh Kementerian Ehwal Luar India pada 13 Mei kerana “melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak sesuai dengan status rasminya”.
Tindakan itu dibuat selepas konfrontasi ketenteraan yang singkat tetapi sengit minggu lalu yang mengancam meletusnya perang berskala besar antara kedua-dua negara.
Meskipun gencatan senjata yang telah dikuatkuasakan telah menghentikan sementara serangan peluru berpandu dan dron rentas sempadan, pertempuran sekali sekala masih berterusan di sepanjang Garis Kawalan (LoC), sempadan de facto di Kashmir yang dituntut oleh kedua-dua negara. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg