ISLAMABAD/NEW DELHI: Perdana Menteri Pakistan, Encik Muhammad Shehbaz Sharif, pada 13 Mei mengumumkan bahawa operasi ketenteraan negaranya terhadap India pada 10 Mei lalu merupakan “kejayaan besar” dan akan diraikan sebagai sambutan kebangsaan setiap tahun.
Dalam satu kenyataan rasmi yang disiarkan di platform X, pemerintah Pakistan menamakan tarikh itu sebagai Hari Perjuangan untuk Kebenaran dan menyeru seluruh rakyat agar memperingatinya dengan semangat perpaduan nasional.
“Kejayaan ini adalah bukti kekuatan tentera dan semangat rakyat Pakistan. Kami berjaya mencapai objektif ketenteraan yang strategik, dan kini masa untuk seluruh negara meraikan pencapaian ini,” kata Encik Shehbaz.
Pada 10 Mei, Pakistan melancarkan serangan menyasarkan beberapa kemudahan ketenteraan di India, termasuk stor peluru berpandu dan pangkalan udara.
Serangan itu mencetuskan tindak balas ketenteraan daripada India dan membawa kepada empat hari pertempuran sengit melibatkan jet pejuang, peluru berpandu, dron dan artileri – menjadikannya antara konflik paling ganas sejak Perang Kargil pada 1999.
Gencatan senjata kemudian dicapai pada hari yang sama, selepas rundingan tidak rasmi melibatkan beberapa kuasa besar, termasuk Amerika Syarikat.
Presiden Amerika, Encik Donald Trump, mengisytiharkan pada 10 Mei bahawa beliau telah menjadi perantara utama dalam menamatkan pertempuran tersebut. Namun, kenyataan itu tidak dihargai secara terbuka oleh India.
Dalam ucapan pertamanya selepas konflik, Perdana Menteri India Encik Narendra Modi pada 12 Mei berkata bahawa India tidak akan berkompromi dalam soal keselamatan negara.
Beliau juga memberi amaran bahawa sebarang serangan pengganas pada masa hadapan akan dibalas dengan tindakan ketenteraan yang tegas.
“Jika satu lagi serangan pengganas berlaku terhadap India, kami tidak akan berdiam diri. Kami akan bertindak balas tanpa ragu. Ini adalah dasar baru kami, satu normal baru dalam hubungan dengan Pakistan,” kata Encik Modi dalam siaran langsung di televisyen.
Encik Modi turut menyatakan bahawa sebarang rundingan masa hadapan dengan Islamabad hanya akan berkisar tentang isu pengganasan dan wilayah Kashmir yang kini dikuasai Pakistan.
“Kami tidak akan berbincang tentang apa-apa selain pengganasan. Dan jika ada rundingan, ia hanya berkaitan Kashmir yang dijajah Pakistan,” tegas beliau.
Kenyataan Encik Modi itu menerima kecaman segera dari pemimpin politik Pakistan.
Menteri Pertahanan Pakistan, Encik Khawaja Asif, menyifatkan ucapan Encik Modi sebagai “luahan dari seorang penjudi yang tewas” manakala Senator Irfan Siddiqui berkata ia adalah “pengakuan secara tidak langsung akan kekalahan memalukan India dalam konflik ini”.
Encik Asif juga menuduh India menyokong kumpulan ekstremis yang telah diharamkan untuk menggugat kestabilan di dalam Pakistan.
“India perlu sedar bahawa Pakistan juga mangsa pengganasan. Mereka menyokong elemen yang cuba menghancurkan keamanan kami,” katanya kepada saluran Geo News.
Kashmir kekal menjadi titik panas yang mencetuskan ketegangan antara dua negara jiran itu.
Kedua-dua India dan Pakistan menuntut wilayah tersebut secara keseluruhan tetapi hanya mentadbir sebahagiannya. India mengawal Lembah Kashmir, Jammu dan Ladakh, manakala Pakistan menguasai Azad Kashmir dan wilayah utara.
Sementara itu, tentera Pakistan memberi amaran bahawa mereka tetap bersedia bertindak balas jika terdapat sebarang pelanggaran baru oleh India.
“Tiada siapa patut meragui kesungguhan Pakistan. Jika kedaulatan kami dicabar, tindakan balas akan dilakukan secara menyeluruh dan tegas,” menurut kenyataan rasmi dari pihak tentera.
Di Washington, Presiden Trump sekali lagi menegaskan bahawa beliau memainkan peranan utama dalam memastikan konflik tidak berlarutan.
“Saya kata kepada mereka, jika kamu hentikan serangan, kita akan teruskan urusan perdagangan. Kalau tidak, kita hentikan semuanya,” kata Encik Trump kepada wartawan di Rumah Putih.
“Kami sedang berunding dengan India. Tidak lama lagi, kami akan mula berunding dengan Pakistan juga. Kami berjaya elakkan konflik nuklear,” katanya, merujuk kepada ketegangan yang hampir mencetuskan peperangan berskala penuh antara dua kuasa nuklear itu.
Walaupun kedua-dua pihak bersetuju untuk mengurangkan jumlah tentera di sepanjang sempadan buat masa ini, situasi keselamatan masih rapuh.
Rundingan jangka panjang masih belum dimuktamadkan dan sebarang insiden kecil berpotensi mencetuskan semula keganasan yang lebih besar. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg