JAMMU (India): Letupan kuat menggegarkan bandar Jammu pada malam 8 Mei apabila India mendakwa Pakistan melancarkan serangan dron dan peluru berpandu ke atas beberapa stesen ketenteraan di sekitar wilayah Kashmir.
Ia berlaku pada hari kedua pertempuran antara dua negara berjiran yang bersenjata nuklear itu.
Menurut wartawan Reuters, siren kecemasan bergema selama hampir dua setengah jam, diikuti dengan cahaya merah dan pancaran peluru yang menerangi langit malam di Jammu.
Kejadian itu menandakan peningkatan ketara dalam konflik paling serius antara kedua-dua negara sejak lebih dua dekad lalu.
Dua hari pertempuran telah meragut hampir 50 nyawa.
“Stesen ketenteraan di Jammu, Pathankot dan Udhampur telah menjadi sasaran dron dan peluru berpandu buatan Pakistan di sepanjang sempadan antarabangsa di Jammu dan Kashmir,” kata Kementerian Pertahanan India di wadah X.
“Ancaman itu berjaya ditumpaskan dengan pantas... Tiada kematian atau kerosakan dilaporkan,” tambahnya.
Saluran televisyen India turut menyiarkan rakaman cahaya dan letupan di langit kota Jaisalmer, negeri Rajasthan, yang bersempadan dengan wilayah Sindh di Pakistan.
Pemerintah Pakistan dalam satu kenyataan menafikan sekeras-kerasnya menyerang kawasan seperti Pathankot, Srinagar dan Jaisalmer.
“Tuduhan ini tidak berasas, bermotif politik, dan sebahagian daripada kempen propaganda liar untuk memburukkan nama Pakistan,” kata Kementerian Luar Pakistan.
“Pakistan akan bertindak balas terhadap sebarang bentuk peningkatan dengan penuh azam dan komitmen bagi mempertahankan kedaulatan dan kewibawaan wilayahnya,” tegas kenyataan itu.
Wartawan agensi berita, Reuters, melaporkan bekalan elektrik di Jammu kembali dipulihkan secara berperingkat selepas gangguan yang berlaku semasa serangan.
Menurut sumber tentera India yang enggan dinamakan, lapan peluru berpandu yang dilancarkan dari Pakistan ke kawasan Satwari, Samba, Ranbir Singh Pura dan Arnia di Jammu telah dipintas oleh sistem pertahanan udara India.
Menteri Pertahanan Pakistan, Encik Khawaja Muhammad Asif, sebelum ini berkata tindak balas lanjut kini “semakin pasti” selepas kedua-dua negara saling menuduh melancarkan serangan dron.
Kuasa besar dunia termasuk Amerika Syarikat, China dan Russia telah menyeru kedua-dua pihak yang memiliki senjata nuklear agar bertenang, dalam salah satu wilayah paling berbahaya di dunia.
Konsulat Amerika di Lahore mengarahkan kakitangannya berlindung di tempat masing-masing, manakala Setiausaha Negara Amerika, Encik Marco Rubio, menghubungi Menteri Luar India, Encik Subrahmanyam Jaishankar, dan Perdana Menteri Pakistan, Encik Shehbaz Sharif, bagi menggesa pengurangan ketegangan.
Hubungan antara India dengan Pakistan terus tegang sejak kedua-duanya mencapai kemerdekaan daripada penjajahan British pada 1947.
Mereka telah berperang tiga kali, dua daripadanya melibatkan isu Kashmir.
Dalam kejadian terkini, India mendakwa telah menyerang sembilan “prasarana pengganas” di Pakistan pada 7 Mei sebagai tindak balas terhadap serangan yang didakwa disokong Islamabad ke atas pelancong di Kashmir yang ditadbir India pada 22 April.
Pakistan menafikan sebarang penglibatan serta menolak bahawa lokasi yang diserang India merupakan pangkalan militan.
Ia turut mendakwa telah menembak jatuh lima pesawat India, satu dakwaan yang disifatkan sebagai “maklumat palsu” oleh Kedutaan India di Beijing.
Tentera Pakistan sebelum ini turut melaporkan mereka menembak jatuh 29 dron dari India di beberapa lokasi termasuk Karachi, Lahore dan Rawalpindi.
Kementerian Pertahanan India pula menyatakan bahawa Pakistan cuba menyerang beberapa sasaran ketenteraan di utara dan barat India dari malam 7 Mei hingga awal pagi 8 Mei, namun semua ancaman berjaya dipintas.
Sebagai tindak balas, tentera India telah menyasarkan radar dan sistem pertahanan udara di beberapa lokasi di Pakistan pada 8 Mei.
Kesan ketegangan itu turut dirasai dalam pasaran kewangan apabila pasaran saham, bon dan mata wang kedua-dua negara jatuh.
Indeks saham utama Pakistan ditutup susut 5.9 peratus.
Sementara itu, media tempatan India melaporkan pembelian panik berlaku di beberapa bandar di negeri Punjab apabila penduduk mula menyimpan barangan keperluan.– Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg