JAMMU, India: Ketua operasi tentera India dan Pakistan bersedia untuk membincangkan langkah seterusnya pada 12 Mei, kata India, sedang gencatan senjata kembali tenang di sempadan dan pasaran ekuiti mereka semakin pulih.
Tiada laporan mengenai letupan atau tembakan peluru semalaman pada 11 Mei, selepas beberapa pelanggaran gencatan senjata awal sebelum ini.
Tentera India berkata keadaan kini kembali aman di sepanjang sempadan, walaupun beberapa sekolah masih ditutup.
Gencatan senjata 10 Mei di rantau Himalaya, diumumkan oleh Presiden Amerika Syarikat Encik Donald Trump, menyusuli kejadian berbalas tembakan, usaha diplomasi selama empat hari dan tekanan dari Washington.
Tentera India menghantar mesej menerusi “talian hangat” kepada Pakistan pada 11 Mei mengenai pelanggaran gencatan senjata pada hari sebelumnya, menandakan niat New Delhi untuk bertindak balas terhadap insiden sedemikian, kata seorang pegawai tentera tertinggi India.
Jurucakap tentera Pakistan menafikan sebarang pelanggaran.
Dalam satu kenyataan pada 10 Mei, Kementerian Luar India berkata ketua pengarah operasi tentera kedua-dua pihak akan bercakap dengan satu sama lain pada tengah hari (2.30 petang waktu Singapura) pada 12 Mei.
Pakistan tidak segera menjawab permintaan Reuters untuk mengulas mengenai rundingan itu.
Kedua-dua pihak saling menyerang kemudahan tentera satu sama lain dengan menggunakan peluru berpandu dan dron, membunuh berpuluh-puluh orang awam apabila hubungan semakin tegang selepas India menyalahkan Pakistan atas serangan yang mengorbankan 26 pelancong.
Pakistan menafikan tuduhan itu dan menggesa siasatan bebas dijalankan.
India berkata ia melancarkan serangan ke atas sembilan “infrastruktur pengganas” di Pakistan dan Kashmir di bahagian Pakistan pada 30 April, tetapi Islamabad berkata ia adalah kawasan orang awam.
Pakistan menghentikan dagangan pada 12 Mei selama sejam selepas indeks saham penanda arasnya meningkat hampir sembilan peratus, setelah memulihkan sebahagian besar kerugian dalam tiga sesi lalu selepas serangan India.
Lewat 9 Mei, Dana Kewangan Antarabangsa meluluskan pinjaman baru AS$1.4 bilion ($1.8 bilion) kepada Pakistan di bawah dana ketahanan iklimnya dan meluluskan semakan pertama program melibatkan AS$7 bilion.
Penanda aras India melonjak kira-kira 2.5 peratus pada awal dagangan, selepas indeks Nifty kehilangan 1.5 peratus dalam tiga sesi sebelumnya.
Kebimbangan tentang konflik itu turut meleburkan AS$83 bilion daripada ekuiti dalam tempoh dua hari hingga 9 Mei.
Dalam pada itu, Islamabad mengucapkan terima kasih kepada Washington kerana memudahkan pelaksanaan gencatan senjata dan mengalu-alukan tawaran Encik Trump untuk menjadi orang tengah dalam pertikaian Kashmir dengan India.
Parti Kongres, pembangkang utama India, yang telah menyokong Perdana Menteri Encik Narendra Modi selepas serangan 22 April, menggesa diadakan sidang Parlimen khas mengenai perkembangan terkini dengan Pakistan.
India, yang menyatakan pertikaian dengan Pakistan perlu diselesaikan secara langsung oleh negara jiran, telah menolak penglibatan mana-mana pihak ketiga.
India dan Pakistan memerintah sebahagian daripada wilayah Himalaya Kashmir, tetapi kedua-dua pihak menuntutnya sepenuhnya.
India menyalahkan Pakistan atas pemberontakan di bahagiannya di Kashmir yang bermula pada 1989, tetapi Pakistan berkata ia hanya memberikan sokongan moral, politik dan diplomatik kepada pemisah Kashmir. – Reuters
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg