Topic followed successfully
Go to BHkuIndonesia bakal hantar 742 askar keamanan PBB ke Lebanon
Indonesia bakal hantar 742 askar keamanan PBB ke Lebanon
Keselamatan askar jadi keutamaan memandangkan kawasan operasi masih jauh daripada aman
Indonesia bakal hantar 742 askar keamanan PBB ke Lebanon
JAKARTA: Indonesia dijadual mengerahkan 742 anggota tenteranya ke Lebanon pada 22 Mei sebagai sebahagian daripada misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pengerahan itu bertujuan untuk mengikut giliran dan menggantikan pasukan pengaman Indonesia yang sedang berkhidmat di Lebanon, kata Ketua Staf Presiden, Encik Dudung Abdurachman.
“Saya melihat pasukan sudah bersedia. Sudah tentu, ini adalah misi PBB, tetapi yang lebih penting ia adalah misi untuk negara Indonesia,” kata Encik Dudung di Pusat Misi Pengaman Tentera Nasional Indonesia (TNI) di Sentul, Jawa Barat, pada 11 Mei.
Beliau menekankan peri perlunya memastikan keselamatan anggota tentera, menjaga nama baik Indonesia, dan melaksanakan tugas mereka dengan sebaik mungkin.
Encik Dudung turut menekankan reputasi kukuh tentera Indonesia dalam kalangan masyarakat antarabangsa.
“Tentera Indonesia sangat dihormati di sana kerana keramahan, keprihatinan, dan kesungguhan mereka dalam menjalankan tugas,” tambahnya.
Beliau memohon dipanjatkan doa dan sokongan daripada semua rakyat Indonesia agar misi itu dapat berjalan lancar dan semua tentera pulang ke rumah dengan selamat kelak.
Pada kesempatan yang sama, Menteri Luar Indonesia, Encik Sugiono, menggalakkan anggota tentera agar menjalankan tugas mereka dengan ikhlas, bersemangat dan dengan keyakinan untuk menegakkan reputasi Indonesia di peringkat antarabangsa.
Menurut beliau, meskipun mereka berkhidmat sebagai penjaga keamanan, kawasan operasi masih jauh daripada aman, menjadikan keselamatan menjadi keutamaan utama.
“Saya berbesar hati dapat bertemu anda hari ini, dan lebih berbesar hati lagi dapat mengalu-alukan kepulangan anda dalam keadaan sihat walafiat,” kata Encik Sugiono.
Pada April, media melaporkan TNI sedang mempertimbangkan untuk mengurangkan jumlah anggota pengamannya di Lebanon pada Mei susulan siri serangan yang mengorbankan dan mencederakan anggota pengaman negara itu di selatan Lebanon.
Perkembangan itu berlaku tatkala keadaan keselamatan di kawasan misi Pasukan Pendamai PBB di Lebanon (Unifil) semakin meruncing susulan konflik yang kian memuncak di Asia Barat.
Tiga anggota tentera Indonesia yang bertugas di bawah Unifil cedera dalam satu letupan di kemudahan PPB berhampiran El Adeisse di selatan Lebanon pada lewat Mac, dengan dua daripada mereka dilaporkan cedera parah.
Tragedi itu berlaku hanya beberapa hari selepas tiga anggota pengaman Indonesia terbunuh dalam dua letupan berasingan pada 29 dan 30 Mac, ketika Israel memperluas pencerobohan daratnya di Lebanon.
Dalam dua kejadian berasingan, tiga lagi anggota pengaman Indonesia cedera.
Jenazah tiga anggota yang terkorban diterbangkan ke Jakarta untuk istiadat ketenteraan pada malam 4 April yang dihadiri Presiden Prabowo Subianto dan mantan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.
Mangsa kemudian dikebumikan di kampung halaman masing-masing pada 5 April.
Seramai 753 askar Indonesia yang kini berada di Lebanon dijadual diganti dengan kumpulan baru pada 22 dan 30 Mei.
Namun, Komander Pusat Misi Pemeliharaan Perdamaian TNI, Mejar Jeneral Iwan Bambang Setiawan, menyatakan perbincangan mengenai pengurangan jumlah anggota yang dihantar boleh dipertimbangkan memandangkan sebahagian besar anggota kini “lebih banyak berlindung di kubu bawah tanah akibat pertempuran antara Hezbollah dengan tentera Israel”. – Agensi berita.
