Topic followed successfully
Go to BHkuIndonesia ambil langkah kekang kos haji 2026 di sebalik lonjakan harga bahan api
Indonesia ambil langkah kekang kos haji 2026 di sebalik lonjakan harga bahan api
Prabowo kekalkan kos lebih rendah, sebarang kenaikan ditanggung pemerintah
Indonesia ambil langkah kekang kos haji 2026 di sebalik lonjakan harga bahan api
JAKARTA: Perbelanjaan operasi ibadah haji 2026 dijangka berdepan peningkatan ketara susulan lonjakan harga bahan api pesawat akibat konflik di Timur Tengah, kata Menteri Haji dan Umrah, Encik Mochamad Irfan Yusuf.
Perkara itu dibangkitkan dalam mesyuarat bersama Suruhanjaya VIII Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) pada 8 April ketika pemerintah meneliti langkah untuk mengekang kesan kenaikan kos terhadap jemaah.
Menurut Encik Irfan, situasi geopolitik sejagat yang semakin tidak menentu telah memberi tekanan langsung kepada kos operasi haji, khususnya dalam sektor penerbangan.
“Tahun ini (2026), ibadah haji berdepan tekanan daripada faktor sejagat yang semakin kompleks. Oleh itu, kita memerlukan kecekapan, koordinasi dan langkah mitigasi bagi memastikan pembiayaan haji kekal mampan,” katanya.
Beliau berkata dua faktor utama yang mendorong kenaikan kos ialah peningkatan harga bahan api pesawat dan penyusutan nilai rupiah.
Kededua faktor memberi kesan besar kepada kos penerbangan, yang merupakan komponen utama dalam perbelanjaan haji.
Dalam senario laluan penerbangan asal dikekalkan, kos purata penerbangan bagi setiap anggota jemaah dijangka meningkat daripada 33.5 juta rupiah ($2,900) kepada 46.9 juta rupiah, iaitu peningkatan hampir 40 peratus.
Namun, jika syarikat penerbangan terpaksa mengubah laluan bagi mengelak kawasan konflik, kos boleh meningkat lebih tinggi kepada 50.8 juta rupiah seorang, iaitu lonjakan lebih 50 peratus.
“Perubahan laluan ini akan menambah tempoh penerbangan sekitar empat jam dan memerlukan penggunaan tambahan kira-kira 12,000 tan bahan api pesawat,” jelas Encik Irfan.
Anggaran tersebut berdasarkan cadangan daripada syarikat penerbangan.
Syarikat milik negara, Garuda Indonesia, mencadangkan tambahan kos sekitar 7.9 juta rupiah bagi setiap anggota jemaah, manakala Saudi Airlines mencadangkan kenaikan sekitar AS$480 ($612) seorang berikutan peningkatan harga bahan api sejagat.
Walaupun tekanan kos semakin meningkat, pemerintah menegaskan bahawa beban tersebut tidak akan dipindahkan kepada jemaah.
Presiden Indonesia, Encik Prabowo Subianto, memberi arahan jelas agar sebarang kenaikan kos ditanggung oleh pemerintah.
“Presiden berharap apa pun yang berlaku, jika terdapat peningkatan kos haji, ia tidak boleh dibebankan kepada jemaah,” kata Encik Irfan, merujuk kepada pendirian tegas ketua negara itu.
Sehubungan itu, Timbalan Menteri Haji dan Umrah, Encik Dahnil Anzar Simanjuntak, memaklumkan bahawa pemerintah akan menampung kos tambahan melalui peruntukan belanjawan negara berjumlah 1.77 trilion rupiah.
“Jemaah tidak perlu membayar tambahan kerana kenaikan kos ini akan ditanggung sepenuhnya oleh negara,” katanya.
Dalam masa yang sama, pemerintah masih menjalankan pengiraan terperinci bagi menentukan keperluan sebenar kos operasi haji 2026 susulan perubahan harga sejagat.
Namun, Encik Irfan memberi jaminan pentadbiran semasa komited mencari penyelesaian terbaik bagi melindungi kepentingan jemaah.
Di sebalik tekanan kos yang meningkat, Encik Prabowo menegaskan kos keseluruhan haji yang ditanggung jemaah tetap berjaya dikurangkan berbanding tahun sebelumnya.
“Kita memastikan kos haji 2026 dapat dikurangkan sekitar 2 juta rupiah walaupun harga bahan api pesawat meningkat,” katanya ketika memberi taklimat kepada anggota kabinet di Istana Presiden.
Kos rasmi penyelenggaraan ibadah haji (BPIH) bagi 2026 ditetapkan pada 87.4 juta rupiah bagi setiap jemaah, berbanding 89.4 juta rupiah pada 2025.
Penetapan itu dipersetujui bersama antara pemerintah dengan DPR dalam mesyuarat kerja sebelum ini.
Encik Prabowo menegaskan pemerintah tidak mahu menambah beban kewangan kepada rakyat, khususnya dalam keadaan harga minyak mentah sejagat yang terus meningkat.
“Kita tidak mahu jemaah rasa beban, terutama ketika kos sejagat meningkat,” katanya. – Agensi berita.

