Topik diikuti
Pergi ke BHkuIndonesia, AS meterai kerjasama pertahanan dipertingkat
Indonesia, AS meterai kerjasama pertahanan dipertingkat
Antara bidang kerjasama termasuk pembangunan kapasiti, teknologi pertahanan generasi baharu, pendidikan ketenteraan
Indonesia, AS meterai kerjasama pertahanan dipertingkat
Indonesia dan Amerika Syarikat pada 13 April mengumumkan satu perjanjian bagi mewujudkan kerjasama pertahanan baharu sebagai rangka panduan untuk memperkukuh hubungan pertahanan dua hala antara kedua-dua negara.
Perjanjian itu selaras dengan komitmen bersama dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan di rantau Indo-Pasifik.
Perjanjian itu dimeterai di Washington D.C. selepas delegasi Kementerian Pertahanan Indonesia yang diketuai Menteri Pertahanan, Encik Sjafrie Sjamsoeddin, mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari Amerika yang dipimpin Setiausaha Pertahanan, Encik Pete Hegseth, di Pentagon.
Pertemuan tersebut memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara dalam rangka dua hala berteras prinsip saling menghormati, kepercayaan dan manfaat bersama.
Kementerian Pertahanan dalam kenyataan pada 14 April berkata, Indonesia dan Amerika akan meneroka daya usaha yang dipersetujui bersama di bawah rangka itu.
Ia termasuk kerjasama dalam pembangunan kapasiti, teknologi pertahanan generasi baharu, peningkatan kesiapsiagaan operasi serta pendidikan ketenteraan profesional.
“Indonesia melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk memperkukuh kapasiti pertahanan negara, sambil kekal selaras dengan dasar luar bebas dan aktif, kepentingan nasional serta penghormatan penuh terhadap kedaulatan negara,” kata jurucakap kementerian, Brigedier Jeneral (BG) Rico Sirait.
Menurut Amerika, kerjasama pertahanan yang dipertingkat itu, “dibina atas dekad kerjasama sedia ada” dan dikenali sebagai Perkongsian Kerjasama Pertahanan Utama (MDCP).
Ia menjadi kerangka rujukan bagi kedua-dua negara memperluas kerjasama ketenteraan secara lebih strategik.
Di bawah kerangka itu, kedua-dua pihak akan meneroka inisiatif lanjutan termasuk pembangunan keupayaan asimetri berteknologi tinggi serta memperkukuh kerjasama dalam aspek penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan operasi.
Di bawah MDCP, Indonesia dan Amerika turut komited mempergiat latihan bersama pasukan khas serta mengukuhkan hubungan antara anggota masyarakat pertahanan kedua-dua negara.
Penganalisis daripada badan pemikir pertahanan dan keselamatan Lembaga Keris, Encik Hanif Rahadian, berkata masih terlalu awal bagi menilai pelaksanaan perjanjian itu memandangkan Memorandum Persefahaman (MOU) tersebut baru ditandatangani.
“Setakat ini, kita belum melihat bentuk akhir perjanjian ini sepenuhnya, termasuk skop dan batasannya.
“Jika kerjasama ini dilaksanakan, ia perlu dimuktamadkan melalui undang-undang dan peraturan,” katanya.
Pengumuman MDCP dibuat selepas muncul beberapa laporan media mengenai draf bocor Surat Hasrat (LoI) yang mencadangkan Indonesia mungkin memberi akses luas kepada Amerika untuk operasi kecemasan dan tindak balas krisis pesawat tenteranya melalui ruang udara negara itu.
Menurut laporan media India, Sunday Guardian, dokumen “sulit” itu dihantar kepada Kementerian Pertahanan Indonesia pada akhir Februari.
Ia selepas Presiden Prabowo Subianto menghadiri Sidang Puncak Lembaga Keamanan dan bertemu Presiden Amerika, Encik Donald Trump, di Washington beberapa hari sebelumnya, di mana cadangan tersebut dilapor telah dipersetujui.
Namun, Kementerian Pertahanan Indonesia dalam kenyataan pada 13 April menjelaskan draf tersebut masih di peringkat awal dan sedang melalui perbincangan dalaman antara jabatan untuk semakan rapi berdasarkan kepentingan nasional serta pematuhan kepada undang-undang domestik dan antarabangsa, termasuk dalam kerangka melindungi kedaulatan negara.
“Dalam proses semakan ini, Indonesia telah membuat beberapa pelarasan penting dan menegaskan bahawa dokumen ini tidak mengikat serta tidak berkuat kuasa secara automatik.
“Ia masih memerlukan perbincangan lanjut melalui mekanisme teknikal dan prosedur nasional yang berkenaan,” kata BG Rico.
