Panglima Tentera Nasional Indonesia (TNI), Jeneral Agus Subiyanto, telah diberikan anugerah ketenteraan tertinggi Singapura.
Beliau menerima Darjah Utama Bakti Cemerlang (Tentera) oleh Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 7 Januari, dalam satu majlis yang diadakan di bangunan Kementerian Pertahanan (Mindef).
Beliau dianugerahkan pingat tersebut atas peranan pentingnya dalam memperkukuh hubungan pertahanan antara TNI dengan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF).
Di bawah kepimpinan Jeneral Agus, pelaksanaan Perjanjian Kerjasama Pertahanan, yang mula berkuat kuasa pada 2024, terus berjalan lancar.
Perjanjian itu memperkukuh lagi hubungan strategik antara kedua-dua institusi pertahanan, membolehkan interaksi yang lebih rapat antara SAF dengan TNI, serta membentuk asas bagi kerjasama erat dengan Indonesia dalam bidang-bidang baru kerjasama pertahanan.
Kedua-dua angkatan tentera itu turut mengekalkan tahap pertukaran profesional yang tinggi serta latihan dua hala secara berkala seperti Latihan Safkar Indopura, Latihan Eagle Indopura, Latihan Elang Indopura, Latihan Chandrapura dan Latihan Manyar Indopura.
TNI dan SAF juga berjaya melaksanakan latihan dua hala untuk membanteras pengganasan, iaitu Latihan Griffin Cakti, pada 2025.
Interaksi tersebut telah banyak menggalak angkatan bersenjata kedua-dua negara itu beroperasi bersama antara satu sama lain, di samping memperkukuh hubungan persahabatan.
Majlis tersebut turut dihadiri Menteri Pertahanan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Negara Kanan (Pertahanan merangkap Kemampanan dan Sekitaran), Encik Zaqy Mohamad; Panglima SAF, Panglima Pasukan Pertahanan, Laksamana Madya (VADM) Aaron Beng; serta para pegawai kanan pemerintah dan pegawai tentera dari Singapura dan Indonesia.
Jeneral Agus, yang berada di Singapura dari 6 hingga 7 Januari 2026, turut bertemu Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Encik Lawrence Wong, di Istana.
Kedua-dua pihak menegaskan semula hubungan pertahanan dua hala yang erat dan telah lama terjalin antara Singapura dengan Indonesia.
Selain itu, Jeneral Agus turut bertemu Encik Chan dan VADM Beng di Mindef selepas memeriksa Kawalan Kehormatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg