Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia bangunkan aplikasi ‘super GovTech’, percepat bantuan sosial ke akaun bank

Mar 20, 2025 | 4:33 PM
Encik Luhut Binsar Pandjaitan (tengah), Pengerusi Majlis Ekonomi Nasional Indonesia, mengumumkan inisiatif aplikasi super GovTech pada 19 Mac 2025.
Encik Luhut Binsar Pandjaitan (tengah), Pengerusi Majlis Ekonomi Nasional Indonesia, mengumumkan inisiatif aplikasi super GovTech pada 19 Mac 2025. - Foto Sekretariat Presiden Indonesia

JAKARTA: Pemerintah Indonesia bakal melancarkan sebuah aplikasi super dikenali sebagai GovTech, yang akan menggabungkan semua perkhidmatan dalam talian pemerintah termasuk kementerian dan agensi negara.

Selain itu, setiap keluarga di negara itu akan diwajibkan mempunyai akaun bank bagi memastikan bantuan sosial dapat disalurkan secara terus dan tepat pada masanya.

Pengumuman itu dibuat oleh Encik Luhut Binsar Pandjaitan, Pengerusi Majlis Ekonomi Nasional, selepas menghadiri mesyuarat bersama Presiden Prabowo Subianto dan para menteri ekonomi di Istana Negara Jakarta.

“Presiden mahu perkenalkan GovTech sebagai satu platform pusat untuk menyatukan semua aplikasi kementerian dan agensi pemerinah bagi meningkatkan kecekapan serta mengurangkan peluang penyelewengan,” kata Encik Luhut, lapor Jakarta Globe pada 19 Mac.

Aplikasi GovTech dijadual dilancarkan secara rasmi oleh Presiden Prabowo sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Indonesia pada 17 Ogos ini. Presiden juga dijangka bertemu ratusan pembangun web muda yang terlibat secara langsung dalam pembangunan aplikasi tersebut.

Menurut Encik Luhut, pemerintah menjangkakan pelaksanaan sistem digital bersepadu ini mampu menjimatkan perbelanjaan negara sehingga 100 trilion rupiah (8.09 bilion), yang selama ini digunakan untuk kos-kos yang tidak diperlukan akibat sistem yang berpecah-belah.

Walaupun kos pembangunan aplikasi ini tidak didedahkan, usaha untuk menyatukan perkhidmatan digital pemerintah bukanlah sesuatu yang baharu. Pada Mei 2024, Presiden ketika itu Encik Joko Widodo telah mengarahkan supaya tiada lagi aplikasi pemerintah baharu dibangunkan, dan melancarkan inisiatif INA Digital untuk mengintegrasikan sekitar 27,000 aplikasi sedia ada milik kementerian dan pentadbiran daerah.

Aplikasi GovTech ini akan mempunyai empat fungsi utama:

+ Mengoptimumkan kutipan hasil negara melalui penyelarasan pembayaran cukai secara dalam talian dan kutipan royalti dari sektor perlombongan serta arang batu.

+ Meningkatkan kecekapan perbelanjaan negara dengan membolehkan pemantauan masa nyata terhadap projek-projek kerajaan serta penilaian vendor berdasarkan data.

+ Memusatkan perkhidmatan awam penting seperti pentadbiran kewarganegaraan, lesen memandu, pasport, pendidikan dan kesihatan.

+ Menyalurkan bantuan kewangan pemerintah secara terus ke akaun bank individu yang telah dipautkan kepada aplikasi GovTech.

Selain itu, sistem Penyerahan Tunggal Dalam Talian atau Online Single Submission (OSS) akan diperbaik dalam aplikasi ini bagi memudahkan pengeluaran lesen perniagaan, sekali gus menyokong pertumbuhan usaha kecil dan sederhana (PKS) serta meningkatkan daya saing pelaburan.

Inisiatif ini muncul di tengah-tengah kebimbangan pelabur terhadap situasi kewangan Indonesia, apabila negara mencatat defisit belanjawan dalam dua bulan pertama 2025, dengan hasil pendapatan negara merosot sekitar 20 peratus.

Terdapat juga persoalan mengenai dasar-dasar lain seperti pelancaran Penubuhan Agensi Pengurusan Pelaburan Daya Anagata Nusantara, atau Danantara yang bakal mengurus semua aset syarikat milik negara, termasuk tiga bank terbesar Indonesia.

Awal tahun 2025, Presiden Prabowo turut mengumumkan pemotongan belanjawan sebanyak 256 trilion rupiah melibatkan kementerian dan agensi pemerintah pusat, serta pengurangan 50 trilion rupiah dalam pemindahan dana ke daerah.

Langkah penjimatan ini dilaporkan telah menjejas semangat kakitangan awam dan menimbulkan kesan besar, termasuk pengurangan penyelenggaraan jalan serta kekurangan dana untuk membantu mangsa keganasan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg