Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Jawatan awam bagi pegawai tentera: Parlimen Indonesia luluskan pindaan kontroversi

Mar 20, 2025 | 1:00 PM
Penunjuk perasaan memegang poster sebagai tanda protes di luar bangunan Parlimen Indonesia terhadap rang undang-undang ketenteraan kontroversi yang akan memperuntukkan lebih banyak jawatan awam kepada pegawai tentera, di Jakarta, Indonesia, pada 20 Mac 2025.
Penunjuk perasaan memegang poster sebagai tanda protes di luar bangunan Parlimen Indonesia terhadap rang undang-undang ketenteraan kontroversi yang akan memperuntukkan lebih banyak jawatan awam kepada pegawai tentera, di Jakarta, Indonesia, pada 20 Mac 2025. - Foto REUTERS

JAKARTA: Dewan Perwakilan Rakyat Indonesia meluluskan pada 19 Mac pindaan kontroversi terhadap undang-undang tentera negara itu, yang akan memperuntuk lebih banyak jawatan awam bagi pegawai tentera.

Langkah itu mencetuskan bantahan kumpulan masyarakat sivil yang bimbang akan potensi kemunduran demokrasi dan kebangkitan semula dominasi tentera seperti pada era Orde Baru di bawah mantan presiden Suharto.

Keputusan undian sebulat suara itu dipimpin oleh Speaker Dewan Perwakilan, Cik Puan Maharani, dalam satu sesi parlimen yang yang dihadiri sepenuhnya oleh ahli dewan. Beliau berkata pindaan itu dibuat berdasarkan prinsip demokrasi dan hak asasi manusia.

“Pindaan ini selari dengan semangat reformasi. Ia tidak menjejaskan prinsip demokrasi dan akan dilaksanakan dengan telus,” ujar Cik Puan ketika membentangkan undang-undang tersebut.

Presiden Prabowo Subianto, yang memegang jawatan itu saejak Oktober 2024 dan pernah berkhidmat sebagai komander pasukan khas di bawah pemerintahan Suharto, dilihat semakin memperluas peranan angkatan tentera dalam sektor awam, termasuk dalam program utama beliau, seperti penyediaan makanan percuma kepada kanak-kanak.

Kumpulan hak asasi manusia menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan peranan tentera dalam bidang awam, kerana khuatir ia akan membuka ruang kepada penyalahgunaan kuasa, pelanggaran hak asasi dan kekebalan daripada tindakan undang-undang.

Pemerintah mempertahankan pindaan itu dengan menegaskan pegawai tentera yang akan dilantik ke jawatan awam perlu meletak jawatan terlebih dahulu daripada perkhidmatan ketenteraan.

Mereka juga dilarang menyertai syarikat milik pemerintah bagi meredakan kebimbangan terhadap pelibatan tentera dalam urusan perniagaan dan ekonomi negara.

Menurut seorang ahli parlimen, pegawai tentera hanya dibenarkan memegang jawatan di jabatan seperti Sekretariat Negara dan Pejabat Peguam Negara, dan tidak lebih daripada itu.

Pindaan itu mendapat tentangan pelbagai kumpulan prodemokrasi dan mahasiswa, yang merancang mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan parlimen di Jakarta.

Beberapa penunjuk perasaan, terutamanya pelajar universiti, dilaporkan telah berkhemah di pintu belakang bangunan parlimen sejak malam 19 Mac. Mereka menuntut pemerintah menarik balik pelantikan sembarang anggota tentera dalam sektor awam. Polis cuba mengarahkan mereka beredar, namun mereka enggan mematuhi arahan tersebut.

“Kami di sini kerana kami mahu demokrasi sebenar. Undang-undang ini membuka semula pintu kepada pengaruh tentera dalam kehidupan awam,” kata seorang penunjuk perasaan yang enggan dinamakan kepada Reuters.

Beberapa anggota tentera turut dikerahkan membantu pasukan polis dalam kawalan keselamatan di sekitar bangunan parlimen ketika undang-undang tersebut diluluskan.

Dalam sesi parlimen itu, Menteri Pertahanan, Encik Sjafrie Sjamsoeddin, mempertahankan pindaan berkenaan dengan menyatakan keperluan ketenteraan negara untuk menyesuaikan diri dengan cabaran global.

“Perubahan geopolitik dan kemajuan teknologi ketenteraan dunia menuntut transformasi ketenteraan untuk menghadapi konflik konvensional dan bukan konvensional,” katanya.

“Kami tidak akan mengecewakan rakyat Indonesia dalam mempertahankan kedaulatan negara,” tambah Encik Sjafrie, walaupun tidak menjelaskan secara terperinci bentuk cabaran geopolitik yang dimaksudkan. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg