JAKARTA: Pusat Anti-Penipuan Indonesia sedang membangunkan Portal Penipuan Kebangsaan, platform bersepadu yang bertujuan untuk mempercepatkan pengendalian kes penipuan kewangan dan memperkukuhkan penyelarasan antara institusi bagi melindungi pengguna daripada aktiviti kewangan haram.

Penguas Perkhidmatan Kewangan (OJK) berkata portal khusus itu kini berada dalam peringkat penyelarasan merentas agensi bagi memastikan kesediaan tadbir urus dan operasi serta penyepaduan data.

“Proses ini merangkumi penyelarasan aspek tadbir urus, kesediaan operasi dan penyepaduan data yang diperlukan untuk memastikan sistem dapat beroperasi dengan berkesan,” kata Ketua Eksekutif Perlindungan Pengguna OJK, Encik Dicky Kartikoyono, dalam satu kenyataan pada 24 Mei.

Beliau berkata Portal Penipuan Kebangsaan direka bentuk sebagai platform bersepadu untuk membolehkan pengendalian penipuan yang lebih pantas dan lebih terselaras.

“Sistem ini akan memudahkan pengumpulan laporan, pertukaran maklumat dan menyokong pengesanan transaksi yang disyaki terlibat dalam penipuan, membolehkan tindak balas yang lebih cekap terhadap kes,” katanya.

Menurut Encik Dicky, objektif utama portal ini adalah untuk mempercepatkan pengenalpastian penipuan, mempercepatkan tindakan susulan, dan memperkukuh kerjasama antara agensi dalam melindungi orang ramai daripada kerugian kewangan.

Pusat Anti-Penipuan Indonesia kini berfungsi sebagai hab utama negara untuk mengendalikan penipuan transaksi kewangan.

Sejak memulakan operasi pada 22 November 2024, pusat ini telah menerima 548,093 laporan mengenai kes penipuan.

Daripada laporan tersebut, pihak berkuasa telah menyekat 485,758 akaun bank berkaitan dengan dakwaan penipuan yang menyebabkan mangsa kerugian sebanyak Rp 614.3 bilion (S$44.3 juta).

Pusat tersebut juga telah mencatatkan 106,477 nombor telefon yang dilaporkan berkaitan dengan kes penipuan.

Bagi memperkukuh tindakan penguatkuasaan, Penguasa Perkhidmatan Kewangan berkata Pusat Anti-Penipuan Kebangsaan akan bekerjasama dengan pengendali rangkaian mudah alih dalam usaha menindaklanjuti aduan awam.

Media sebelum ini melaporkan bahawa Indonesia kini berdepan risiko menjadi pusat operasi baharu bagi sindiket perjudian dalam talian dan penipuan siber rentas negara susulan tindakan keras pihak berkuasa di beberapa negara Indochina seperti Kemboja, Myanmar, Laos dan Vietnam.

Amaran itu dikeluarkan Polis Nasional Indonesia selepas beberapa serbuan besar dilakukan di Jakarta dan Batam membabitkan ratusan warga asing dipercayai terlibat dalam operasi jenayah siber antarabangsa.

Perkembangan itu mencetuskan kebimbangan baharu terhadap kemampuan Indonesia mengawal kemasukan warga asing, kelemahan pemantauan visa serta ancaman jenayah digital yang kian kompleks dan terancang. - Agensi berita