Prabowo arah batalkan lesen 28 syarikat susulan bencana di Sumatera
Prabowo arah batalkan lesen 28 syarikat susulan bencana di Sumatera
JAKARTA: Presiden Prabowo Subianto mengarahkan pembatalan lesen perniagaan milik 28 syarikat dalam sektor perhutanan, perlombongan dan perladangan selepas didapati melanggar peraturan serta menyebabkan kerosakan alam sekitar yang serius, kata pembantu kanan presiden pada 20 Januari.
Langkah tegas itu dibuat susulan banjir besar dan tanah runtuh yang melanda tiga wilayah di Pulau Sumatera antara November dan Disember lalu, dengan kesannya masih dirasai sehingga kini.
“Presiden telah memutuskan untuk menarik balik lesen 28 syarikat yang terbukti melakukan pelanggaran,” kata Menteri Setiausaha Negara, Encik Prasetyo Hadi, dalam sidang media di Istana Presiden, Jakarta.
Menurut beliau, syarikat terbabit merangkumi 22 pemegang permit perhutanan yang beroperasi di kawasan hutan seluas kira-kira satu juta hektar, selain enam syarikat dalam sektor perlombongan dan perladangan.
Keputusan itu, katanya, dimuktamadkan dalam satu mesyuarat Kabinet terhad secara dalam talian pada 19 Januari, yang melibatkan beberapa kementerian, agensi berkaitan serta Pasukan Petugas Penguatkuasaan Kawasan Hutan.
Presiden Prabowo mempengerusikan mesyuarat tersebut menerusi sidang video dari London.
“Berdasarkan dapatan siasatan yang dibentangkan oleh pasukan petugas, presiden memutuskan untuk membatalkan lesen syarikat yang didapati melanggar peraturan,” jelas Encik Prasetyo.
Pasukan Petugas Penguatkuasaan Kawasan Hutan diketuai bersama oleh Menteri Pertahanan Encik Sjafrie Sjamsoeddin; Ketua Polis Negara Encik Listyo Sigit Prabowo, dan Peguam Negara Encik Sanitiar Burhanuddin.
Banjir dan tanah runtuh yang melanda Aceh, Sumatera Barat dan Sumatera Utara telah mengorbankan sekurang-kurangnya 1,100 nyawa, selain memusnahkan infrastruktur, kediaman serta kemudahan awam secara meluas, menurut data pemerintah.
Ribuan penduduk terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara, manakala banyak sekolah ditutup selama beberapa minggu akibat kerosakan bangunan. Bekalan elektrik dan perkhidmatan telekomunikasi turut terjejas di pelbagai daerah, sementara puluhan kampung sama ada dihanyutkan banjir atau tertimbus tanah runtuh.
Pemerintah secara terbuka mengaitkan kemerosotan alam sekitar, termasuk pembalakan haram dan pencerobohan hutan, sebagai antara faktor utama yang memperbesarkan skala dan tahap kemusnahan bencana tersebut.
Dalam perkembangan berkaitan, Kementerian Alam Sekitar turut memfailkan enam saman sivil terhadap enam syarikat swasta yang didakwa menyumbang kepada kemerosotan alam sekitar yang teruk di Sumatera Utara selepas kejadian banjir maut di wilayah itu. Syarikat terbabit ialah PT NSHE, PT AR, PT Toba Pulp Lestari, PT PN, PT MST dan PT TBS.
Enam saman berasingan itu telah didaftarkan di Mahkamah Daerah Medan, Jakarta Selatan dan Jakarta Pusat, susulan siasatan pasukan petugas terhadap pembalakan haram serta konsesi tidak terkawal yang dipercayai memburukkan kesan banjir dan tanah runtuh pada hujung November lalu.
Menteri Alam Sekitar Encik Hanif Faisol Nurofiq mengakui bahawa kemerosotan alam sekitar yang serius telah memburukkan kesan bencana terhadap komuniti setempat.
“Negara tidak boleh berdiam diri apabila alam sekitar dimusnahkan dan rakyat terpaksa menanggung akibatnya seorang diri,” katanya dalam satu kenyataan. “Kami berpegang teguh kepada prinsip bahawa pelanggar mesti membayar. Mana-mana syarikat yang meraih keuntungan daripada pemusnahan ekosistem memikul tanggungjawab mutlak untuk memulihkannya,” tambah beliau.
Kementerian mendakwa syarikat-syarikat berkenaan telah merosakkan kira-kira 2,516 hektar tanah berhampiran dua kawasan tadahan air utama, iaitu Garoga dan Batang Toru.
Ketua bahagian penguatkuasaan undang-undang kementerian, Encik Rizal Irawan, berkata pemerintah menuntut pampasan sebanyak 4.8 trilion rupiah ($363 juta) bagi kerugian ekologi.
Saman tersebut difailkan di bawah Undang-Undang Perlindungan dan Pengurusan Alam Sekitar 2009 yang memperuntukkan prinsip liabiliti ketat terhadap pihak yang menimbulkan ancaman serius kepada alam sekitar.
Namun, kumpulan alam sekitar mengingatkan bahawa tindakan undang-undang sahaja tidak mencukupi. Pengarah penguatkuasaan undang-undang pertubuhan bukan pemerintah (NGO) Auriga Nusantara, Encik Roni Saputra, berkata kes ini perlu disusuli penilaian menyeluruh terhadap tadbir urus hutan. “Tindakan lain yang perlu diambil termasuk menyiasat sama ada wujud unsur rasuah dalam proses pemberian permit ini,” katanya.
Laporan bersama Earthsight dan Auriga Nusantara pada 5 Januari mendapati 758 hektar hutan dara telah dibersihkan antara 2021 hingga 2025 di kawasan konsesi Aek Raja, milik PT Toba Pulp Lestari, yang terletak dalam lembangan Sungai Batang Toru, antara kawasan paling teruk terjejas akibat banjir November lalu. Syarikat itu menafikan dapatan berkenaan.
Forum Alam Sekitar Indonesia, Walhi, pula merekodkan kehilangan kira-kira 10,800 hektar hutan di kawasan Batang Toru sepanjang sedekad lalu akibat pembangunan industri, bersamaan lebih 5.4 juta pokok ditebang.
Pada Disember, Kementerian Alam Sekitar turut menggantung sementara operasi empat syarikat di hulu Batang Toru, termasuk syarikat kelapa sawit PT Sago Nauli, syarikat perladangan milik pemerintah PT Perkebunan Nusantara III, pelombong emas PT Agincourt Resources, serta pengeluar tenaga bebas PT North Sumatera Hydro Energy.
Kumpulan Satya Bumi mendakwa pembinaan Loji Hidroelektrik Batang Toru telah membersihkan hampir 500 hektar hutan sejak 2017, sekali gus meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh. PT Agincourt Resources bagaimanapun menolak dakwaan tersebut dan menegaskan bencana berpunca daripada hujan ekstrem serta faktor semula jadi.
“Syarikat menghormati proses undang-undang yang sedang berjalan dan akan bertindak selaras dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” kata pengurus kanan komunikasi korporatnya, Cik Katarina Siburian Hardono. - Agensi berita

