Topik diikuti
Pergi ke BHkuRiau isytihar amaran darurat kebakaran hutan di 11 wilayah jelang musim kemarau
Riau isytihar amaran darurat kebakaran hutan di 11 wilayah jelang musim kemarau
Riau isytihar amaran darurat kebakaran hutan di 11 wilayah jelang musim kemarau
PEKANBARU: Sebelas daerah di wilayah Riau mengisytiharkan status amaran darurat kebakaran hutan dan tanah susulan peningkatan risiko kebakaran menjelang musim kemarau tahun 2026 ini.
Pemerintah Wilayah Riau berkata langkah itu diambil bagi memperkukuh usaha pencegahan, mempercepat penyelarasan bantuan serta meningkatkan kesiapsiagaan pihak berkuasa tempatan, wilayah dan pusat sekiranya berlaku kebakaran besar.
Ketua Bahagian Kecemasan dan Logistik Badan Pengurusan Bencana Daerah dan Pemadam Kebakaran (BPBD Damkar) Riau, Encik Jim Gafur, berkata ketika ini hanya satu daerah iaitu Kuantan Singingi (Kuansing) yang belum mengisytiharkan status amaran darurat.
“Ketika ini pemerintah Wilayah Riau dan 11 pemerintah daerah sudah menetapkan status siaga darurat kebakaran hutan dan tanah. Hanya Kuansing yang belum berbuat demikian,” katanya di Pekanbaru pada 1 Jun.
Menurut beliau, penetapan status itu amat penting kerana ia membolehkan bantuan dan penyelarasan operasi dilakukan dengan lebih cepat apabila berlaku kecemasan.
“Apabila status sudah ditetapkan, penyelarasan dan penghantaran bantuan akan menjadi lebih mudah sekali gus mempercepat pengurusan kebakaran hutan dan tanah,” katanya.
Beliau berharap Kuansing turut segera mengisytiharkan status sama bagi memudahkan kerjasama antara pemerintah pusat dan wilayah.
Dalam pada itu, operasi pemadaman kebakaran masih dijalankan di beberapa kawasan yang terjejas akibat kebakaran termasuk di Rokan Hilir, Pelalawan dan Siak.
Pasukan Manggala Agni dari Pusat Pengurusan Kebakaran Hutan Wilayah Sumatera terus digerakkan ke lokasi panas bagi memadamkan api dan melakukan kerja penyejukan.
Kebakaran di Pasir Limau Kapas, Rokan Hilir, bagaimanapun dilaporkan berjaya dipadamkan selepas lima hari operasi intensif dijalankan.
Ketua Pusat Pengurusan Kebakaran Hutan Sumatera, Encik Ferdian Krisnanto, berkata pasukan di lapangan masih berdepan pelbagai cabaran termasuk cuaca panas, angin kencang dan keadaan tanah gambut yang mudah terbakar.
“Pasukan Manggala Agni terus bekerja secara maksimum di semua lokasi kebakaran,” katanya.
“Walaupun berdepan cuaca mencabar dan medan yang sukar, anggota tetap fokus memadam titik panas dan menjalankan operasi penyejukan.”
Menurut beliau, keadaan tanah gambut menyebabkan api mudah merebak dan sukar dipadam sepenuhnya.
Di kawasan Rantau Bais, Rokan Hilir, anggota pemadam kebakaran dilaporkan menghadapi keadaan sukar apabila tiupan angin kuat menyebabkan asap menjadi semakin tebal dan api merebak dengan cepat.
Berdasarkan pemantauan awal, keluasan kawasan terjejas di daerah itu dianggarkan mencecah kira-kira 44 hektar.
Pihak berkuasa bercadang menambah jumlah anggota pemadam kebakaran bagi mempercepat usaha mengawal api.
Sumber air di kawasan berkenaan dilaporkan masih mencukupi untuk menyokong operasi pemadaman.
Pemerintah Wilayah Riau terus mengingatkan masyarakat supaya tidak membuka tanah dengan cara pembakaran kerana tindakan itu boleh mencetuskan kebakaran lebih besar ketika musim kemarau.
Orang ramai juga diminta segera melaporkan sebarang titik panas atau kebakaran kecil kepada pihak berkuasa bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain.
Riau merupakan antara wilayah di Indonesia yang sering berdepan masalah kebakaran hutan dan tanah setiap kali musim kemarau, khususnya di kawasan tanah gambut.
Kebakaran besar di wilayah itu sebelum ini pernah menyebabkan pencemaran udara rentas sempadan sehingga menjejaskan beberapa negara jiran termasuk Singapura dan Malaysia.
Pemerhati alam sekitar berkata langkah awal seperti pengisytiharan amaran darurat penting bagi mengelakkan situasi menjadi lebih buruk seperti yang pernah berlaku pada tahun-tahun terdahulu.
Selain ancaman terhadap kesihatan awam akibat jerebu, kebakaran hutan dan tanah turut memberi kesan kepada ekonomi penduduk, sektor pertanian dan ekosistem semulajadi.
Pihak berkuasa Indonesia kini meningkatkan pemantauan di kawasan berisiko tinggi susulan ramalan cuaca panas dan kering dalam beberapa bulan akan datang.
Dengan pengalaman kebakaran besar sebelum ini, kerajaan berharap tindakan awal dan kerjasama antara agensi dapat membantu mengurangkan risiko kebakaran hutan dan tanah daripada menjadi bencana besar tahun 2026 ini. - Agensi berita
