Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Indonesia berhasrat beli 42 jet pejuang China, pesawat bukan Barat yang pertama

Oct 16, 2025 | 2:02 PM
Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Sjafrie Sjamsoeddin, berkata Indonesia tidak lama lagi akan membeli jet pejuang dari China sebagai sebahagian daripada rancangan untuk memodenkan tenteranya.
Menteri Pertahanan Indonesia, Encik Sjafrie Sjamsoeddin, berkata Indonesia tidak lama lagi akan membeli jet pejuang dari China sebagai sebahagian daripada rancangan untuk memodenkan tenteranya. - Foto: AFP

JAKARTA: Pegawai pertahanan tertinggi Indonesia berkata pada 15 Oktober bahawa Jakarta akan memperoleh sekurang-kurangnya 42 jet pejuang Chengdu J-10C buatan China, menandakan perjanjian pembelian pesawat bukan Barat pertama negara itu.

Menteri Pertahanan Encik Sjafrie Sjamsoeddin memberitahu pemberita di ibu negara, Jakarta, bahawa Indonesia tidak lama lagi akan membeli jet pejuang dari China sebagai sebahagian daripada rancangan untuk memodenkan tenteranya.

Penganalisis berkata perjanjian itu boleh menyentuh sensitiviti serantau dan mempunyai implikasi geopolitik.

Bagaimanapun, Encik Sjafrie tidak memberikan jangka masa bila pembelian itu akan dilakukan.

“J-10 akan terbang di Jakarta tidak lama lagi,” kata Encik Sjafrie, seperti yang dilaporkan oleh agensi berita Antara.

Jurucakapnya, Encik Frega Wenas Inkriwang tidak lama dahulu memberitahu media bahawa Tentera Udara Indonesia masih mengkaji kemungkinan pembelian jet pejuang Chengdu J-10.

“Kami mahukan senjata tentera terbaik untuk tentera kami,” kata Encik Frega bulan lalu.

Menurut beliau, Kementerian Pertahanan masih belum membincangkan berapa banyak yang mereka sanggup belanjakan untuk membeli pesawat tempur berbilang peranan China itu.

Seorang pakar China berkata bahawa J-10 adalah pesawat yang mempunyai keupayaan kukuh dan keberkesanan kos yang tinggi, dipercayai secara meluas telah terbukti mempunyai keupayaan tempur, menjadikannya pilihan yang kompetitif dan diterima baik di pasaran senjata antarabangsa.

Indonesia telah mencapai beberapa perjanjian pembelian jet pejuang, termasuk 42 unit pesawat Rafale buatan Perancis. Tiga Rafale pertama dijangka tiba di Indonesia pada suku pertama 2026.

Encik Frega berkata, Tentera Udara sudah mempunyai jet pejuang iaitu T-80, Hawk 100/200, Sukhoi Su-30, dan F-16.

Awal tahun ini, Indonesia secara rasmi telah menandatangani kontrak pembelian 48 buah jet pejuang generasi kelima KAAN dari Turkey, menjadikan negara ini pelanggan antarabangsa pertama bagi pesawat tempur baru yang sedang dibangunkan oleh Turkish Aerospace Industries (TAI).

Kontrak itu ditandatangani pada 26 Julai lalu di Istanbul, bersempena Pameran Industri Pertahanan Antarabangsa (IDEF).

Indonesia juga sudah membangunkan pesawat tempur KF-21 bersama Korea Selatan. - Agensi berita

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg